7 Bulan Tiada ‘Job’ Sebab Lantang Bersuara Isu Dibayar Murah
Pelakon Jalil Hamid mendedahkan dia sudah tujuh bulan tidak mendapat sebarang tawaran lakonan daripada mana-mana pihak disebabkan kelantangannya dalam bersuara mengenai jumlah gaji yang ditawarkan kepadanya sebelum ini.
Menurut pelakon berkaliber itu, perkara itu menjadi ‘hukuman’ di atas kelantangannya menyuarakan isu itu secara terbuka pada awal tahun ini.
“Perkara ini bukan saya seorang sahaja yang bersuara tetapi ramai juga pelakon lama meluahkan perkara sama, namun situasi tetap sama. Alasannya, pelakon popular perlu dibayar mahal manakala pelakon ‘tak berapa ada’ seperti saya kena bersedia terima bayaran murah.
“Walaupun isu bayaran untuk pelakon lama seperti saya sudah banyak kali disuarakan tetapi hingga kini masih tidak nampak perubahannya lagi.
“Penerbit kata harga dibayar stesen TV masih sama seperti dulu sejak drama diswastakan pada tahun 1986. Keuntungan diperoleh kurang jadi bayaran yang dikenakan murah,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran program Stand Up Comedy Otai yang berlangsung di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelakon filem Bisik Pada Langit itu sebelum ini ada membuat pendedahan tentang sebuah produksi yang hanya mahu membayarnya sebanyak RM1,500 bagi sebuah telefilem yang mahukan khidmatnya.
Berasa ‘terhina’ dengan jumlah yang ditawarkan itu, Jalil kemudiannya berkongsi perkara itu di laman sosialnya sehingga ia menjadi antara isu yang hangat diperkatakan tentang warga industri seni sehingga kini.
Sementara itu, menerusi program Stand Up Comedy Otai, pelakon-pelakon lama diberi peluang muncul dalam rancangan sketsa bagi mengembalikan nostalgia peminat terhadap diri mereka.
Selain Jalil, 17 pelakon veteran lain yang mengambil bahagian dalam rancangan itu ialah Ebby Yus, Fauziah Nawi, Azlee Senario, Hamdan Senario, Saiful Apek, Wan Maimunah, Pak Ya Senario, Shamsul Ghau Ghau, Sathiya, Imuda, Datuk Shah Reza, Angeline Tan, Sheila Mambo, Salih Yaacob, Mr Rama, Jaafar Onn dan AR Badul.
Program Stand Up Comedy Otai akan bersiaran pada setiap hari Khamis bermula 5 Disember ini jam 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Pada setiap minggu, setiap pelakon berpengalaman ini akan diberi sebuah tema untuk dikongsikan menerusi sketsa yang akan diolah secara kreatif oleh masing-masing. – KopiPlanet.com
The post 7 Bulan Tiada ‘Job’ Sebab Lantang Bersuara Isu Dibayar Murah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: