Ads Top

Wahai Ayah Ibu! Kasihilah Anakmu Seperti Nabi Nuh Dan Ya’qub A.S

Isteri boleh dicerai atau terhakis kasihnya tetapi tidak pada anak. Kasih pada anak sangat ajaib kerana demi anak-anak manusia sanggup berhabis harta atau berperit jerih demi kebahagiaan mereka.

Kasih pada anak seumpama akar tunjang yang menjalar mendasar ke dalam bumi. Ia sukar dicabut atau disentap begitu sahaja. Ia menjadi sebab duka atau bahagia seseorang manusia.

Oleh itu, Allah menuntut ibu bapa agar menjadikan kasih sejati ini kenderaan membawa anak-anak ke lorong syurga dan bukannya lubang neraka:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkanSurah al-Tahrim 66:6

Nabi Nuh A.S adalah bapa contoh yang tidak berputus asa memujuk anaknya (Kan’an bin Nuh) yang degil tidak mahu beriman kepada Allah agar menaiki bahteranya. Kisah itu diabadikan buat tatapan dan pengajaran semua ibu bapa sehingga kiamat:

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh Memanggil Anaknya, Yang Sedang Berada Di Tempat Yang Terpisah Daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”. anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. Surah Hud 11:42- 43

Kasih baginda memang kasih sejati. Kecaknaan baginda tidak berakhir setakat itu sahaja sebaliknya baginda panjangkan setelah banjir mulai reda. Allah memanjangkan kisah resah hati dek kerana kasih nabi Nuh A.S terhadap anaknya ini:

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”. “Dan Nabi Nuh merayu kepada tuhannya dengan berkata: “Wahai tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjimu itu adalah benar, dan engkau adalah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”. Allah berfirman: “Wahai Nuh! sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya);” sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”. Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi” Surah Hud 1:44-47

Setelah ditegur tentang kekufuran anaknya, Nuh A.S akur kerana baginda faham benar bahawa hubungan “kasih berasas agama” tetap mengatasi hubungan kasih bersandarkan darah.

Nuh A.S juga sedar bahawa tugasnya mendidik sudah selesai dan hidayah tetap milik mutlak Allah. Perkara yang sama pernah diajukan kepada Rasulullah S.A.W ketika baginda bersedih melihat kematian bapa saudaranya Abu Talib dalam kekufuran (Sahih al-Bukhari dan Muslim):

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam) Surah al-Qasas 28:56

Bukti lain kasih sejati para nabi kepada anak mereka adalah nabi Ya’qub A.S. Perhatikan wasiat agama yang baginda sampaikan kepada anak baginda di saat ajal bakal menjemput:

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آَبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)” Surah al-Baqarah 2:133

Buktikan kasih sayang kita kepada anak kita dengan mendidik mereka mengikut kehendak Pemilik sebenar mereka iaitu Allah S.W.T. Semoga “kasih sebenar” yang kita curahkan kepada mereka menjadi sebab kebahagiaan kita bersama mereka di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ فَيَقُولُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Sesungguhnya Allah akan benar-benar mengangkat kedudukan hamba yang soleh dalam syurga kelak. Dia pun akan bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku mendapat kedudukan (yang tinggi sebegini sedangkan amalku tidak seberapa). Allah lalu menjawab: Ia berkat anakmu yang selalu memohon pengampunan (kepada Allah terhadap) dosamu Musnad Ahmad

Ya Allah! Satukan kasih sejati berasaskan iman dan amal soleh antara kami dan zuriat keturunan kami di dunia ini dalam mahligai rumah tangga dan di akhirat kelak dalam istana syurga.




No comments:

Powered by Blogger.