Ads Top

Ulasan Buku – Ulama Hadis: Makhluk Asing Dari Bumi Oleh Kamilin Jamilin

Bacaan ini ringan tetapi mantap dalam menyampaikan kisah-kisah muhaddithin (ahli-ahli hadis) terkenal sepanjang zaman yang terlalu banyak jasa mereka kepada umat Islam.

Golongan ini digelar penulisnya sebagai ‘makhluk asing dari Bumi’ dek keunikan mereka dari segi keperibadian, kepakaran ilmu, dan juga kekuatan memori mereka yang tidak terjangkau oleh manusia biasa seperti kita. Imam al-Bukhari misalnya, dapat menghafal bukan setakat seratus dua, tetapi 200,000 hadis!

Kisah-kisah mereka disampaikan dalam bentuk 60 cerita pendek yang hanya mengambil sekitar tiga hingga empat halaman sahaja, memang sesuai kepada pembaca yang tak punya banyak masa atau kurang gemar naratif yang panjang berjela.

Kisah-kisah mereka ini wajar diketahui oleh kita selaku umat Islam era ICT yang semakin lama semakin leka dengan benda-benda mengarut, sehingga kita tidak kenal siapakah Sulayman bin Mihran al-A’masy, Abu Hatim al-Razi dan Sufyan al-Thawri, apatah lagi tentang jasa-jasa mereka dalam memelihara keaslian hadis-hadis Rasulullah SAW hingga ke hari ni.

Kisah Abu Hatim al-Razi mencerminkan ketabahan seorang pemuda menuntut ilmu hadis hingga sanggup berulang-alik antara Mesir, Iraq, Palestin dan Syria hanya dengan berjalan kaki!

Manakala kisah Sulayman bin Mihran al-A’masy pulak unik sedikit, sebab beliau pernah mencabut bulu ketiaknya di tengah-tengah majlis ceramah dalam sebuah masjid! Apabila ditanya oleh si penceramah kenapa beliau begitu biadap, jawapannya mudah sahaja:

“Apa yang aku buat ini sunnah Nabi, tetapi kamu (si penceramah) pula berbohong dengan mengatakan aku pernah menyampaikan hadis yang kamu sebutkan tadi!”

Rupa-rupanya beliau marah sebab namanya difitnah oleh si penceramah sedangkan beliau langsung tidak pernah meriwayatkan hadis tersebut.

Kisah ini berkait rapat dengan kewujudan golongan ‘agamawan penglipur lara’ yang turut digelar ‘Kadzdzab’ (pendusta) kerana hadis-hadis yang disebut mereka selalunya palsu atau diragui kesahihannya.

Namun mereka ini sebenarnya mempunyai pengikut yang ramai dan taksub hingga sanggup memukul seorang tabi’in bernama ‘Amir al-Sya’bi dengan selipar hanya kerana beliau menegur kesalahan mereka! Dahsyat!

Namun sikap ‘samseng’ ini sebenarnya turut dimiliki oleh sebilangan kecil muhaddithin yang terbilang, contohnya seperti ‘Ali bin ‘Asim, Syuhayb al-Wasiti dan Hajjaj bin Artah. Walaupun dada mereka penuh ilmu, namun sayangnya mereka ini agak sombong dan berlagak, misalnya ‘Ali bin ‘Asim dengan selambanya mengutuk muhaddith lain yang pernah mempertikai kualiti periwayatan hadisnya sebagai budak hingusan.

Manakala Hajjaj bin Artah pula ‘geli’ untuk solat berjemaah bersama golongan marhaen yang dianggap tidak sama taraf dengannya. Pelik bukan? Sebab itulah perlu diingat bahawa golongan ilmuwan tidaklah maksum dan mereka juga tidak terlepas dari dosa. Semoga Allah membalas sumbangan mereka kepada umat Islam dengan pahala yang berlipat ganda dan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Secara keseluruhannya, buku ini merupakan bahan bacaan yang baik kerana kekuatannya terletak pada pilihan kisah-kisah yang pelbagai ragam ini. Ada muhaddith yang alim sejak lahir, ada yang asalnya penyair atau perompak kemudian jadi alim, ada yang cacat fizikal namun cemerlang mentalnya, dan banyak lagi.

Namun yang pastinya, kesemua kisah-kisah ini akan membuka mata pembacanya tentang betapa tingginya darjat ilmu di kalangan ilmuan yang hidup beratus-ratus tahun dulu tanpa bantuan teknologi canggih, berbanding dengan generasi kita yang mempunyai segala macam gajet yang sepatutnya mendekatkan lagi kita dengan ilmu, namun sayangnya, yang sebaliknya pula berlaku.

4/5 bintang!

#UlasanBukuTzkrh
#KamilinJamilin
#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku




No comments:

Powered by Blogger.