Ulasan Buku – ‘Menjawab Pemikiran Islam Liberal’
Ketika saya sedang mencari idea untuk menulis artikel untuk Tzkrh.com, saya terpandang satu buku yang berada di dalam rak buku di rumah saya.
Buku itu bertajuk Menjawab Islam Liberal Pendedahan Agenda Jaringan Islam Liberal (JIL) & Sisters in Islam (SiS), ditulis oleh Ahmad Yumni Abu Bakar dan Mohd Fairuz Jamaluddin.
Tergerak di hati saya untuk mengulas secara ringkas tentang buku ini yang mengupas secara lanjut mengenai gerakan dan agenda Islam liberal.
Mungkin ada yang sudah tahu dan ada juga yang masih tertanya-tanya siapakah golongan yang disebut Islam liberal ini. Oleh itu buku ini patut diketengahkan untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Islam liberal.
Apa Itu Liberalisme?
Liberalisme boleh difahami sebagai fahaman yang memberikan kebebasan. Ia bukanlah satu ideologi yang dapat bertahan dengan sendirinya, tanpa unsur-unsur ataupun sifat-sifat lain yang menyokong fahaman ini.
Banyak cetusan idea yang ditimbulkan dalam liberalisme ini. Antara idea-idea liberalisme yang dikupas dalam buku ini adalah:
#1- Sekularisme
Sekularisme ini boleh diertikan sebagai fahaman yang memisahkan urusan-urusan keduniaan daripada urusan keagamaan (akhirat).
#2- Kebebasan Mutlak
Pada kefahaman barat, kebebasan adalah segala-galanya. Tidak ada kekangan atau halangan. Tidak perlukan persetujuan pihak lain.
Lakukan mengikut kehendak sendiri. Sesungguhnya kefahaman ini agar menakutkan sekali. Terutama sekali apabila melibatkan sekali dengan isu agama.
#3- Rasionalisme
Seorang rasionalis adalah seseorang yang menggunakan akal fikirannya secara maksimum berserta keyakinan bahawa akal fikirannya itu mampu menemukan kebenaran yang hakiki.
Mereka meletakkan akal fikiran lebih tinggi daripada yang lain. Ia mengatasi daripada wahyu dan perkara-perkara yang lebih utama.
Untuk info yang lebih lanjut eloklah dapatkan buku ini. Ia menceritakan secara jelas mengenai idea-idea fahaman liberalisme.
Isu Yang Dikupas
Buku ini banyak mengupas tentang isu-isu yang dibangkitkan dalam Islam liberal ini. Di sini saya senaraikan beberapa isu yang ditimbulkan dalam Islam liberal. Antara isunya adalah:
#1- Semua Agama Adalah Sama
Menganggap semua agama adalah sama. Ia menuju kepada tuhan yang satu.
#2- Boleh Berkahwin Walaupun Berbeza Agama
Berbeza agama tidak menjadi kesalahan untuk berkahwin. Menurut golongan Jaringan Islam Liberal (JIL), mereka membolehkan perkahwinan antara orang Muslim dengan orang bukan Islam.
#3- Orang Islam Bebas Menukar Agama (Boleh Murtad)
Menurut aliran liberal, mereka menganggap murtad adalah satu kebebasan untuk manusia. Orang Islam bebas untuk meninggalkan agama Islam dan mereka tidak perlu diberi tindakan undang-undang kerana ia bukan satu kesalahan.
#4- Homoseksual Itu Dibenarkan
Hubungan sejenis lelaki dengan lelaki (gay) dan perempuan dengan perempuan (lesbian) adalah satu perbuatan yang tidak salah dan ia dibenarkan.
#5- Menolak Menutup Aurat
Mereka menganggap memakai hijab ini adalah satu kemunduran kepada orang Islam. Ia tidak menunjukkan kemajuan dan ia adalah adat jahiliah arab kuno.
Masih banyak lagi isu yang dibangkitkan dalam Islam liberal. Baiklah hendaknya sama-sama kita memiliki buku ini untuk mengetahui lebih banyak isu lain yang dibawa dan diterima oleh pihak Islam liberal.
Selain itu, buku ini turut memberi jawaban kepada isu-isu yang dibangkitkan di atas. Buku ini cukup menarik kerana ia turut memberi hujah untuk kita supaya tidak mudah terpengaruh dan terjebak dengan kefahaman liberal mereka.
Di samping itu, buku ini juga tidak lupa menceritakan sejarah munculnya kefahaman liberalisme, bagaimana Barat mensekularkan Islam liberal, perkembangan Islam liberal di Malaysia, teknik dan strategi Islam liberal menyebarkan kefahaman mereka, apakah tindakan yang perlu dilakukan supaya tidak berleluasanya kefahaman liberal dan pelbagai lagi.
Kesimpulan
Buku ini mempunyai 204 muka surat. Ia antara buku yang patut kita miliki bersama. Memandangkan dunia kini yang semakin moden dan dunia tanpa sempadan maka kita sering diuji dengan pelbagai ujian termasuklah datangnya kefahaman Islam liberal ini.
Mungkin hari ini kita tidak terlalu merasa kesannya. Namun, bagaimana keadaan anak-anak kita dan generasi akan datang?
Dengan kehadiran buku ini, ia membuktikan bahawa betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan kita. Ilmu yang bermanfaat untuk kita supaya menjadi insan yang hidup berpandukan al-Quran dan sunnah yang sebenar.
Semoga kita semua terhindar daripada anasir-anasir yang tidak baik. Dan janganlah kita lupa berdoa kepada Allah supaya kita ditetapkan iman dan dimatikan dalam Islam yang sebenar. Waallahu a’lam.
* Ulasan daripada buku ‘Menjawab Islam Liberal Pendedahan Agenda Jaringan Islam Liberal (JIL) & Sisters in Islam (SiS) hasil penulisan Ahmad Yumni Abu Bakar dan Mohd Fairuz Jamaluddin. Penerbit PTS Islamika.
No comments: