Surah Yang Boleh Diamalkan Semasa Hamil Untuk Menjaga Emosi Ibu
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan kedatangan cahaya mata. Ia ibarat penyeri dan pelengkap kepada kehidupan suami isteri. Ada yang mudah dikurniakan cahaya mata, namun ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya.
Ia bergantung kepada sejauh mana kesabaran untuk menghadapi ujian yang diberikanNya. Malah, buat golongan yang tidak pernah putus berdoa dan berusaha untuk mendapatkan cahaya mata, terdapat pelbagai cara perubatan sama ada tradisional mahupun moden yang boleh dilakukan.
Banyak bantuan yang diberikan kepada golongan ini antaranya ialah bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk melakukan IVF dan sebagainya. Kini, sesiapa sahaja boleh mendapatkan cahaya mata.
Walau bagaimanapun, terdapat juga wanita yang takut untuk melahirkan kerana sakitnya bersalin ibarat sakit separuh mati.
Disebabkan itu, kita diajar untuk mentaati ibu melebihi segalanya kerana si ibu telah berkorban nyawa dan raga bermula dari proses kehamilan sehingga selepas melahirkan.
Bukan agama Islam sahaja yang menganjurkan suruhan menghormati ibu malah kebanyakan agama lain juga demikian kerana ia merupakan sifat ihsan yang perlu ada dalam nurani setiap orang.
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Mafhum: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dah telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” (Surah Al-Ahqaf, 46:15)
Buat pasangan yang dikhabarkan dengan kedatangan cahaya mata yang bakal menjadi penyeri tidak lama lagi, pasti banyak persediaan dari segi mental dan juga fizikal yang perlu dilakukan.
Namun, apa yang paling utama ialah perkembangan mental si ibu yang perlu dijaga kerana ia bersangkut-paut dengan anak yang dikandungkan.
Kebanyakan kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa antara faktor berlakunya keguguran ialah disebabkan emosi ibu yang tidak stabil dan mudah tertekan serta merasa sedih dengan perkara yang terjadi.
Antara cara yang paling berkesan untuk menjaga emosi ibu adalah dengan mendengar muzik yang menenangkan. Ia bukan sahaja baik untuk ibu tetapi juga untuk bayi dalam kandungan.
Malah, banyak penyelidikan yang dilakukan menunjukkan bahawa pembaacaan yang dilakukan oleh si ibu dengan nada yang lembut dan penuh kasih sayang, mampu memberikan kadar mental dan emosi yang baik terhadap bayi.
Terdapat juga kajian yang telah dilakukan oleh beberapa doktor di Eropah pada tahun 2013 menunjukkan bahawa muzik dan bunyi yang lembut mampu memberikan kesan jangka panjang yang baik kepada otak bayi.
Disebabkan itu, dalam Islam, kita dianjurkan untuk memperdengarkan bunyi yang tenang kepada bayi seperti alunan ayat al-Quran dan ia akan menjadi lebih berkesan jika dibacakan sendiri oleh si ibu.
Terdapat beberapa surah yang bukan sahaja mampu membantu perkembangan otak bayi tetapi juga melancarkan proses kehamilan dan kelahiran.
#1 – Surah Al-Fatihah
Surah ini merupakan pembuka kepada sesuatu perkara. Malah, golongan ilmuwan juga sentiasa menggalakkan agar mengamalkan surah ini dalam memulakan setiap pekerjaan harian.
Malah, surah ini sebenarnya mengandungi maksud yang cukup lengkap dan mendalam. Jika diamati, ia lengkap bermula dari pujian dan syukur kepadaNya, doa supaya dipermudahkan urusan di dunia dan juga di akhirat serta peringatan-peringatan berkenaan suruhan dan laranganNya.
#2 – Surah Maryam
Surah ini sangat sinonim dengan wanita yang hamil. Jika menyingkap sejarah juga, ia merupakan surah amalan yang telah diamalkan oleh seorang wanita hebat yang mengandungkan Nabi Isa, iaitu Maryam.
Sakitnya proses melahirkan, namun beliau berjaya melakukannya seorang diri dengan dan meletakkan pergantungan dengan penuh harap hanya kepadaNya.
Malah, ramai wanita di luar sana yang menginginkan agar proses kelahiran bayi mereka berlaku dengan mudah dan selamat. Sepanjang proses kelahiran, banyak risiko yang boleh berlaku. Disebabkan itu, surah ini merupakan antara surah amalan sebagai doa dan benteng agar tiada berlaku komplikasi yang serius.
#3 – Surah Yaasin
Kita biasanya akan membacakan surah Yaasin apabila berada di majlis keramaian seperti tahlil atau ketika melawat mereka yang meninggal dunia. Ia dibacakan sebagai doa untuk memudahkan urusan si mati di alam sana.
Oleh itu, surah ini juga boleh dibacakan oleh ibu atau suami kepada isteri mereka agar proses kehamilan berjalan dengan lancar dan semoga Allah mempermudahkan urusan melahirkan agar tidak terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.
Ramai wanita yang berkongsi pengalaman pahit semasa mengandung dan bersalin seperti terlambat tempoh melahirkan sehingga mengambil masa antara 40 minggu. Bayi pula perlu disedut dengan vacuum dan sebagainya sehingga tidak dapat dibayangkan perasaan takutnya itu.
Oleh itu, mudah-mudahan dengan mengamalkan surah ini, Allah akan mempermudahkan segala urusan buat si ibu dan kandungan.
#4- Surah Yusuf
Ramai yang mengidamkan untuk mendapatkan anak yang comel dan cantik. Sesetengah budaya pula ada yang percaya, dengan mengamalkan tindakan menggantung gambar bayi yang comel, ia dapat memberi kesan kepada bayi yang bakal dilahirkan.
Namun, tahukah anda di dalam Islam, salah satu surah yang elok untuk diamalkan ialah surah Yusuf. Ia bukan sahaja elok untuk perkembangan fizikal dan wajah bayi namun juga untuk pembentukan akhlak dan peribadinya.
Peribadi yang elok mampu memantulkan yang cantik dan kacak.
Kesimpulan
Pembentukan mental dan fizikal bayi bermula daripada awal, iaitu sejak proses kehamilan lagi. Oleh itu, pasangan suami isteri perlulah mengatur strategi jangka masa panjang untuk menyambut cahaya mata dengan persediaan yang sebaiknya.
Wallahu a’lam.
No comments: