Ads Top

Sering Cedera Jalani Penggambaran, Hairul Akui Hanis Risau Namun…

Pelakon Hairul Azreen Idris, 31, bersyukur dikurniakan suri hidup, Hanis Zalikha yang cukup memahami minat mendalamnya terhadap aksi lasak atau stunt dalam lakonan.

Hairul yang memulakan kerjaya dalam bidang seni lakon sebagai seorang stuntman berkata, pada awalnya, Hanis risau dengan keadaan diri suaminya yang sering terdedah dengan bahaya dan kecederaan ketika membintangi filem dan drama aksi. Namun lama-kelamaan, Hanis memahami tuntutan tugas suaminya yang menuntutnya untuk melakukan aksi lasak dalam sesebuah naskhah yang dilakonnya.

“Masa kami kenal, Hanis dah tahu saya orangnya macam mana. Bayangkan, sebelum ini saya berada di tengah laut dengan ‘line’ telefon yang langsung tak ada dan saya sendiri tidak tahu apa yang terjadi di rumah, sama juga dengan Hanis…tanpa khabar berita daripada saya di sana.

“Isteri mana yang tidak risau, tapi lama kelamaan dia faham apa yang saya lakukan itu bersebab. Hanis tahu dengan kerja serta bidang yang saya minat dan dia memang seorang isteri yang memahami suaminya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hairul ditemui pada majlis pelancaran filem aksi terbaharu lakonannya, Wira yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur semalam. Filem arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Fify Azmi, Henley Hii, Josiah Hogan, Dain Said dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhian dan Ismi Melinda.

Pernah mengalami kecederaan ketika menjalani filem Paskal tahun lalu, Hairul berharap dia tidak akan mengalami nasib malang sekali lagi di set penggambaran Wira namun nampaknya perkara itu tidak menjadi kenyataan apabila dia terlibat dengan satu ‘kemalangan’ ketika sedang ‘shooting’ filem Wira pada bulan Ramadan lalu.

“Kecederaan itu berlaku selepas saya selesai bersahur dan dalam masa yang sama, saya masih berada dalam keadaan mamai dan mengantuk. Ada satu babak yang memerlukan saya terjun dan itu menjadi punca kepada kecederaan di bahagian kaki. Walaupun sering mengalami kecederaan, namun ia adalah satu kepuasan buat saya apabila dapat melakonkan sendiri aksi lasak dan tidak menggunakan pelakon gantian bagi babak-babak aksi.

“Saya menjadikan Jackie Chan dan Tom Cruise sebagai idola sebab mereka boleh sahaja kalau hendak guna pelakon gantian namun mereka lebih senang melakukan aksi lasak sendiri. Itulah seorang stuntman sejati dan memang daripada dulu saya bercita-cita nak lakonkan aksi sendiri dan ia terlaksana menerusi filem Paskal dan Wira,” katanya lagi.

Wira mengisahkan tentang seorang bekas komando yang terpaksa bertarung di pentas seni bela diri campuran (MMA) demi mempertahankan keluarganya daripada diganggu musuh mereka. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.