Seni Bina Kediaman Mengikut Nilai Islam
Seorang muslim yang menjalani kehidupan berlandaskan Islam memerlukan persekitaran dan ruang lingkup yang dapat memenuhi kriteria syariat Islam. Oleh itu, kediaman tempat tinggal juga adalah antara perkara penting yang perlu diambil perhatian.
Dua perkataan dalam Bahasa Arab yang sangat sinonim dengan kediaman atau rumah ialah ‘dar’ dan ‘bayt’. ‘Dar’ membawa maksud mengelilingi (to surround, an enclosure), biasanya merujuk kepada kediaman yang besar seperti istana atau banglo. Manakala ‘bayt’ bermaksud tempat berlindung yang tertutup (a cover shelter). Ia sebenarnya berasal daripada perkataan ba-ta bermaksud tempat meluangkan masa untuk semalaman, dalam erti kata lain, ia merujuk kepada rumah yang kecil, pangsapuri atau bilik.
Perkataan lain yang seumpamanya juga ada disebut dalam Al-Quran contohnya sakan, ghurfa, ma’wa dan lain-lain.
Menurut pandangan Syeikh Yusof Qardawi, rumah adalah tempat kediaman bagi muslim di mana muslim wajib mempertahankan dirinya dari elemen-elemen luar di mana dia akan merasa bebas dari kekangan serta tekanan dari masyarakat sekeliling. Oleh itu, rumah perlu memiliki elemen yang menenangkan dan dapat merehatkan diri.
Tujuan Dibina Kediaman
1. Tempat untuk membangunkan keluarga, membentuk peribadi muslim yang sejati khususnya bagi anak-anak dan ahli keluarga.
2. Ruang menenangkan hati, jiwa dan merehatkan diri.
3. Tempat untuk melindungi dan menjaga maruah diri.
4. Ruang untuk bersosial berlandaskan kehendak dan adab-adab Islam.
5. Ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Aspek Yang Perlu Diberi Perhatian Dalam Memilih Tempat Tinggal
1. Memilih Lokasi Yang Selamat
Seorang muslim itu harus mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan sesiapa sahaja di bawah tanggungannya. Aspek keselamatan ini termasuklah selamat dari bahaya manusia, haiwan mahupun bencana semulajadi.
2. Membina Rumah Yang Cukup Keluasannya
Membina rumah yang cukup keluasannya tidak semestinya besar dan luas, tetapi cukup untuk keperluan dan aktiviti keluarga. Contohnya, cukup bilik tidur untuk anak-anak, untuk diri dan pasangan, untuk tetamu, dan lain-lain, sehingga tidak bercampur dan urusan peribadi setiap individu dalam keluarga terjaga.
3. Susun Atur Ruang Mengikut Tujuan
Penting untuk menentukan bahagian yang privasi dan tidak privasi. Contohnya ruang tamu, adalah ruang yang tidak privasi. Tujuannya adalah untuk berkumpul sesama ahli keluarga atau untuk tetamu duduk.
Ruang dapur adalah untuk aktiviti memasak dan makan. Maka perlu ada susun atur yang khusus untuk memastikan keperluan dan alatan memasak berada di tempat yang selamat dan sesuai.
Lokasi tandas pula perlulah sesuai, tidak mengahadap kearah kiblat, manakala ruang untuk aktiviti ibadah pula perlulah menghadap kiblat.
4. Konsep Ruang Dan Reka Bentuk Rumah Yang Baik
Konsep ruang yang baik merujuk kepada reka bentuk yang memberikan pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada rumah. Hal ini bertujuan untuk memastikan keadaan rumah tidak terlalu lembap dan tidak terlalu panas, serta dapat memberi keselesaan kepada penguhuninya.
5. Binaan Yang Kuat Dan Kukuh
Binaan yang kuat dan kukuh dapat mengelakkan penghuninya ditimpa bahaya terutama bahaya bencana alam sekitar. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan daripada pembaziran kerana binaan yang tahan lama dan tidak memerlukan kos yang banyak untuk penjagaan dan proses baik pulih.
6. Tiada Hiasan Yang Tidak Dibenarkan oleh Islam
Aspek hiasan dan tatarias rumah juga perlu diberi perhatian. Tujuan untuk menghias bukan hanya untuk rumah kelihatan cantik malah jauh daripada unsur-unsur yang dikhuatiri dapat memesongkan akidah. Contohnya:
– Tidak menggantung atau mempamerkan patung atau gambar binatang.
– Menghias rumah dengan aksesori yang mempunyai unsur amalan agama lain.
Kesimpulan
Terakhir sekali, rumah juga perlu mempunyai ‘cahaya’ supaya rumah itu ada serinya dan tidak hanya sekadar tempat singgah sahaja. Apakah cahaya bagi rumah? Ia sudah pasti perkara-perkara yang dilakukan di dalamnya merangkumi ibadah, amalan sesama ahli keluarga serta adab-adab yang perlu dipelihara.
Kediaman kita, sekalipun kecil, akan terasa luas dan tenteram dengan nilai yang dijaga ini, apatah lagi rumah yang sedia ada besar dan luas, pasti lebih terasa lapang dan tenangnya.
Tempat tinggal secara tidak langsung adalah cerminan peribadi kita. Maka peliharalah ia sebaiknya. Akhir sekali, amalkanlah doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW ini agar kehidupan dan tempat tinggal kita diberkati.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي، وَوَسِّعِ لي فِي داري، وَبارِكْ لي في رِزْقِي
Maksudnya : “Ya Allah, ampunkan dosaku, luaskan bagiku rumahku dan berkatilah aku di dalam rezekiku.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 363)
No comments: