Proses Untuk Berubah Seperti Susahnya Memutar Skru Yang Berkarat
Seseorang yang baru saya kenali memberikan saya analogi yang menarik tentang perubahan diri.
Katanya, proses untuk berubah ibarat ingin memusingkan skru yang sudah berkarat lama. Susah. Payah, dan juga menyakitkan. Kadang-kadang perlu diletakkan minyak dan digunakan beberapa alatan, barulah boleh menjadikan ia longgar dan bersinar semula.
Perumpamaan lainnya, seseorang sudah lama berjalan secara terbalik, hanya kepala yang menghadap kehadapan. Kemudian dia diajar untuk memusingkan seluruh badan ke hadapan, untuk berjalan dengan lebih mudah, dan lebih laju. Pasti proses perubahan itu sangat sukar kerana dia ‘sudah terbiasa’. Sudah tentu badannya mengambil masa untuk selesa dengan postur badan yang baru.
Begitu juga dalam proses berfikir dan bertindak. Untuk mengubah cara berfikir dan cara bertindak yang sudah sekian lama menjadi tabiat bukan perkara yang mudah. Ia proses yang sukar dan menguji ketahanan emosi, mental dan fizikal. Kita ditekan untuk berfikir dalam masa yang sekejap, digesa untuk menyiapkan kerja dengan lebih laju dan sebagainya. .
Dalam proses tersebut juga kita barangkali geram dan memberontak kerana berfikir bahawa tidak ada apa yang salah dengan cara kita selama ini. Mengapa perlu berubah? Ego tercabar.
Di sinilah pentingnya orang yang berada di sekeliling kita, yang bukan sahaja menyedari kekurangan tersebut tetapi sudi membantu. Kita perlukan perubahan supaya dapat bergerak lebih laju, supaya dapat melakukan apa jua perkara dengan lebih efektif dan produktif.
Mari ambil satu situasi – anda cenderung untuk berfikir terlalu lama sebelum membuat keputusan.
Kata Jeff Bezos, suatu keputusan harus dibuat apabila anda mempunyai sekitar 70 peratus daripada informasi yang anda perlukan. Jika anda menunggu sehingga 90 peratus, besar kemungkinan anda bergerak sangat lambat.
Mereka yang berpengalaman juga bersetuju bahawa semakin lama anda menunggu untuk membuat keputusan, semakin ia menjadi lebih berisiko.
Apabila anda menunggu sehingga 90 peratus informasi sebelum membuat keputusan, ia akan menyebabkan anda mengalami ‘analysis paralysis’. Ia keadaan di mana anda berlebihan dalam menganalisa keadaan sehingga akhirnya anda langsung tidak melakukan sebarang tindakan.
Sebelumnya, anda berfikir bahawa ia adalah tabiat yang bagus untuk berfikir dan menganalisa banyak perkara secara matang sebelum membuat keputusan. Tetapi impaknya dapat dirasakan apabila anda menyedari progres yang anda lalui dalam hidup menjadi sangat lambat.
Beruntunglah jika anda berjumpa dengan orang-orang yang sudi membantu dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Ia proses yang sukar, namun berbaloi untuk jangka masa panjang.
Dan setiap kali saya memikirkan bahawa perubahan adalah satu keperluan, saya akan sentiasa mengingati analogi yang diberikan ini. Skru berkarat.
Terima kasih.
No comments: