Ads Top

Mengenang Neerja Bhanot – Pramugari Yang Menyelamatkan 359 Penumpang Sebelum Terbunuh

Menelusuri sejarah, anda pasti pernah mendengar mengenai kisah pesawat penerbangan yang membawa seramai 380 penumpang dan 14 anak kapal dirampas oleh pengganas seramai empat orang yang lengkap bersenjata api.

Namun, sebuah kisah yang mungkin menjadi tinggalan dan kenangan buat semua ialah kisah keberanian seorang pramugari muda yang berusaha sehabis baik untuk melindungi penumpang dan rakan-rakan sejawatnya.

Beliau ialah Neerja Bhanot yang tewas terhadap empat peluru ketika berusaha untuk melindungi tiga anak kecil ketika mereka berusaha untuk melepaskan diri melalui pintu kecemasan sebelum disedari oleh pengganas tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau telah berjaya menyelamatkan seramai 359 orang penumpang dengan mencuri masa yang ada sementara datangnya bantuan keselamatan oleh pihak berkuasa.

Neerja merupakan salah seorang pramugari yang telah berkhidmat di pesawat Pan Am Penerbangan 73, India dan telah dilantik sebagai pramugari senior pada waktu itu.

Pesawat Pan Am sepatutnya terbang ke Amerika Syarikat pada 5 September 1986. Walau bagaimanapun, apabila berhenti sementara di Bandar Karachi, Pakistan, mereka telah diserang oleh sekumpulan pengganas dari Abu Nidal.

Para pengganas telah menyuruh Neerja dan rakan sejawatnya mengumpulkan pasport para penumpang untuk mengetahui siapa di kalangan mereka yang merupakan warga Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, hasil kecekapan Neerja, beliau berjaya menyembunyikan pasport beberapa warga Amerika Syarikat daripada diketahui pengganas.

Pelbagai ujian yang telah dilalui oleh mereka sehingga akhirnya Neerja berjaya menemukan jalan keluar daripada pesawat tanpa diketahui pengganas.

Walau bagaimanapun, malang tidak berbau apabila beliau telah ditembak oleh pengganas saat cuba melindungi kanak-kanak tersebut.

Sumbangan Yang Diterima

Usaha selama 17 jam bertahan dan melindungi penumpang dicatat dalam sejarah kemanusiaan sebagai pahlawan yang cukup berani.

Sikap beliau yang profesional dan tenang dalam menghadapi situasi tersebut perlu dicontohi agar setiap situasi tidak akan memakan diri sendiri walau sesukar mana ia.

Beliau telah dianugerahkan Anugerah Ashok Chakra dan merupakan wanita pertama dan termuda yang pernah menerima anugerah tersebut.

Selain itu, sebagai penghargaan pihak Amerika kepada beliau di atas keberaniannya menyelamatkan warga Amerika Syarikat, beliau telah diberi anugerah Heroism Award dari Flight Safety Foundation.

Pramugari ini lahir pada 7 September 1963 dan telah terbunuh pada 5 September 1986. Kisahnya telah diabadikan melalui sebuah filem yang berjudul Neerja Bhanot pada tahun 2016.

Sehingga ke hari ini seluruh penduduk India dan Amerika Syarikat serta seluruh warga dunia mengenang keperwiraan beliau sebagai seorang hero yang cukup berani, pintar, tenang dan profesional yang wajar dicontohi dan diambil iktibar oleh sesiapa sahaja.




No comments:

Powered by Blogger.