Ads Top

Dah Memang Bercinta, Kenapa Perlu Bercinta Lagi Di Set Penggambaran?

Pelakon Syafiq Kyle, 27, mengakui dia berasa sedikit keberatan untuk menjayakan mana-mana karya filem mahupun drama yang menuntutnya bercinta dengan kekasih sendiri, aktres Mimi Lana.

Menurut Syafiq, dia lebih senang sekiranya mereka digandingkan menjayakan watak bukan pasangan kekasih seperti mana filem pertama yang menampilkan lakonan mereka bersama iaitu Pusaka.

“Kami sudah bosan melakukan adegan-adegan bercinta. Kami sedang bercinta, kenapa perlu bercinta lagi dalam set penggambaran?

“Hakikatnya, kami boleh beri lebih daripada watak pasangan bercinta. Misalnya, watak pasangan kembar tak seiras. Kami nak dalami banyak watak lain lagi walaupun berlakon bersama,” kata Syafiq kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media filem Pusaka yang berlangsung di Restoran Subak, Sungai Penchala, semalam.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat lebih serius, Syafiq berkata dia dan Mimi belum memikirkan tentang perkara itu lagi.

“Kami masing-masing ada impian nak dikejar dalam kerjaya kami. Lagipun Mimi masih muda, baru 24 tahun.

“Kalau dia kahwin pada masa sekarang, saya tak nak impiannya jadi terbatas. Jadi, biarlah kami fokus pada karier masing-masing dahulu,” katanya lagi.

Pasangan ini mengakui sudah empat tahun menjalinkan hubungan namun mengambil pendekatan enggan terlalu menghebahkan mengenai perkara tersebut.

Syafiq dan Mimi bakal tampil dengan filem seram Pusaka arahan Razaisyam yang akan mula ditayangkan pada 31 Oktober depan.

Filem terbitan Astro Shaw itu turut dibintangi Fauziah Datuk Ahmad Daud, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina dan Aloy Paradox. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.