Ads Top

Lawati Muzium Penjara Malaysia Untuk Melihat Bagaimana Kehidupan Banduan

“Mahalnya nikmat kebebasan.”

Itu mungkin salah satu ayat yang bakal meniti di bibir anda secara spontan sejurus selepas anda keluar daripada Muzium Penjara, sebuah penjara pada asalnya namun telah ditutup dan dijadikan muzium.

Ia telah dibina sekitar tahun 1860-an oleh Kolonel Cavenagh Gavenor dan dinamakan sebagai Penjara Bandar Hilir atau H.M. Jail serta merupakan penjara kedua tertua di Malaysia.

Muzium ini telah mula dirasmikan pada 20 November 2014 yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Yang Dipertua Melaka.

Bangunan ini terletak di Jalan Parameswara, Bandar Hilir Melaka dengan ketinggian tiga tingkat.

Penubuhan Muzium Jabatan Penjara Malaysia ini ditubuhkan bertepatan dengan arus pembangunan Jabatan Penjara Malaysia untuk meningkatkan imejnya.

Ia juga bagi mengimbau kembali sejarah Jabatan Penjara Malaysia yang wajar dijadikan muzium agar sejarah dan kegemilangan jabatan ini tidak luput ditelan zaman.

Antara tarikan muzium ini ialah peninggalan bahan yang merangkumi koleksi dokumen, catatan dan artifak yang turut dipamerkan bukan sahaja sebagai bahan ilmu namun untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.

Anda juga boleh melihat koleksi baju banduan yang dipamerkan mengikut warna dan kategori yang sehingga kini digunakan untuk menentukan jenis banduan.

Terdapat juga ruangan hukuman gantung, sel-sel bilik banduan, klinik dan ruangan sebatan. Anda boleh memegang dan merasa sendiri rotan yang digunakan untuk menyebat banduan.

Malah, menariknya apabila anda boleh membaca sendiri tulisan-tulisan ‘luahan’ hati mereka yang pernah dipenjara di sini melalui hasil contengan mereka.

Buat anda yang berminat untuk melihat sendiri bagaimana penjara berfungsi, anda boleh melawat sendiri di Muzium Penjara Malaysia.

Waktu operasinya adalah pada setiap hari Selasa hingga Ahad, pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang manakala ia ditutup pada setiap hari Isnin.

Untuk harga tiket, anda boleh dapatkannya serendah RM3 bagi kategori dewasa manakala RM1 sahaja untuk kanak-kanak dan percuma bagi kanak-kanak yang berumur bawah 6 tahun serta orang kelainan upaya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari Muzium Penjara Malaysia secara terus.




No comments:

Powered by Blogger.