Ads Top

Kisah Ajaib Tentang Sahabat Nabi SAW Yang Mengamalkan Zikir ‘La Hawla Wala Quwwata Illa Billah’

Zikir ‘La Hawla Wala Quwwata Illa Billah’ adalah zikir yang sangat mudah dan merupakan antara khazanah yang Allah simpan di syurga. Apabila sesuatu itu tersimpan sebagai khazanah, pastilah ia perkara yang sangat bernilai dan berharga.

Dalam banyak riwayat, Rasulullah SAW sering menasihati para sahabat agar menjadikan zikir ini sebagai amalan.

Dalam suatu kisah seperti yang diceritakan oleh Ustaz Hanan Attaki, pada suatu hari seorang sahabat Rasulullah SAW (diceritakan bahawa namanya Auf Al-Asyja’i) datang menemui baginda untuk meluahkan ujian yang telah menimpa keluarganya.

“Anakku ditawan musuh, ibunya pula sangat gelisah, apakah yang perlu aku lakukan?”

Saat itu tidak ada sahabat lain yang berharta boleh membantu dengan wang dinar kerana ramai yang sedang berada di medan perang.

Lalu Rasulullah SAW memerintahkan beliau dan isterinya memperbanyakkan sebutan “La haula wala quwata illa billah”.

Yang bermaksud, “tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah”.

Kedua suami isteri itu membanyakkan bacaan itu hinggalah anaknya tiba-tiba sampai ke rumah.

Keadaan tersebut sangat mengejutkan. Rupanya anaknya terlepas daripada tawanan apabila diselamatkan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Kalimah zikir hauqalah ini sangat besar ertinya kerana ia adalah tanda pengharapan seorang hamba kepada RabNya. Ia juga adalah pengakuan bahawa Allah Maha berkuasa dan tidak ada perkara yang mustahil jika Allah mahukan sesuatu terjadi.

Setelah segala jalan keluar telah dirasakan tertutup maka berpalinglah kepada Allah. Panjatkan munajat dan pengharapan hanya kepada Dia. Lakukan muhasabah diri tentang segala kemudahan dan pertolongan yang diperoleh selama ini, sekarang atau di masa hadapan, hakikatnya adalah dari Allah sahaja. Pertolongan yang hadir melalui manusia adalah asbab kemurahan kasihNya.




No comments:

Powered by Blogger.