Ketahui Bagaimana Orang Bisu Dan Pekak Melakukan Ibadat Wajib
Pihak Pengurusan Masjid Tepian Putra telah mengambil inisiatif kepada golongan yang cacat pendengaran dengan menyediakan khidmat jurubahasa isyarat untuk memahami teks khutbah yang disampaikan oleh Khatib ketika solat Jumaat.
Ia merupakan salah sebuah inisiatif daripada Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) yang pertama mula dilakukan di negara ini.
Ia dilakukan sebagai salah sebuah usaha untuk memberi penekanan kepada golongan kurang upaya ini agar boleh turut sama menuntut ilmu dan tidak rasa dipinggirkan apabila sekadar berada di dalam khutbah dan tidak memahami isinya.
Walaupun isu ini sudah agak lama diberitakan dan diluahkan oleh golongan-golongan yang kurang upaya ini, namun masih terdapat lagi banyak tempat yang tidak memberi penekanan kepada golongan ini.
Umum mengetahui, orang kurang upaya dari segi bisu dan pekak ini boleh beribadat sekadar kemampuan mereka, namun ia juga merupakan antara inisiatif yang boleh diambil perhatian oleh golongan berwajib bagi membantu golongan ini.
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksud: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).” (Hadis Riwayat Imam Bukhari, no. 1117)
Bagaimana Orang Bisu Dan Pekak Solat
Jika seseorang itu mempunyai masalah pendengaran, maka dia adalah dikecualikan daripada mendengar khutbah namun wajib ke atasnya untuk berada di dalam majlis itu kerana ia merupakan salah satu syarat sah solat Jumaat.
Adalah lebih baik jika inisiatif seperti yang diambil oleh PADA dilakukan pada masjid-masjid untuk membantu golongan ini memahami khutbah yang disampaikan.
Dalam solat, cukup sekadar dia membaca berdasarkan apa yang dia mampu dan boleh belajar. Solatnya dikira sah kerana bagi golongan ini, boleh melakukan ibadat sekadar yang termampu.
Jika dia menghadapi kesukaran yang tidak mampu, maka dia diberi keringanan dan rukhsah. Sebagai contoh, wajib ke atas orang yang bersolat untuk membaca Al-Fatihah dengan kadar yang didengarinya.
Namun, bagi mereka yang tidak memiliki pendengaran yang sihat, rukun ini adalah dikecualikan. Begitu juga bagi mereka yang bisu atau tidak sempurna percakapannya, maka boleh dibaca di dalam hati atau mulut (sekadar yang mampu).
Mafhum: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah Al-Hajj, 22:78)
Sama juga situasi dengan mereka yang mempunyai kelainan upaya lain seperti tiada tangan atau kaki. Maka, solatlah sekadar yang mampu contohnya secara duduk. Dan mereka juga dikecualikan daripada rukun-rukun lain seperti mengangkat takbir dan sebagainya.
Oleh itu, buat anda yang tergolong dalam golongan ini, maka jangan terlalu risau dengan keadaan diri anda dan beribadatlah mengikut apa yang terdaya kerana pelbagai rukhsah diberikan oleh Islam kepada penganutnya.
Solat diwajibkan ke atas mereka yang berakal termasuk mereka yang bisu dan pekak. Oleh itu, kurang upaya bukan alasan untuk meninggalkan solat namun perlu dilakukan dengan rukhsah yang diberikan.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Bagaimana Orang Bisu dan Pekak Solat
No comments: