Ads Top

Kalimah Yang Tersimpan Dalam Perbendaharaan Syurga

Gambaran syurga yang sering kita baca di dalam kitab suci Al-Quran dan juga hadis selalunya bercerita tentang taman yang indah, berwarna hijau, mempunyai sungai-sungai yang mengalir dan juga bidadari yang cantik dengan mata yang jernih memukau.

Selain itu syurga juga mempunyai perbendaharaannya. Jika diteliti maksudnya dalam Bahasa Melayu, perbendaharaan adalah suatu tempat untuk menyimpan harta kekayaan yang tidak terkira banyaknya. Jika di dunia, kita mungkin akan membayangkan ia tempat yang dipenuhi wang, permata dan emas yang berkilauan. Namun syurga adalah tempat yang tidak dapat dibayang oleh fikiran manusia. Ia adalah kewujudan di luar jangkaan dan logik akal.

Rasulullah SAW juga pernah menyebutkan tentang suatu perkara yang akan disimpan di perbendaharaan syurga ini. Terlebih dahulu, mari kita ikuti kisah di bawah.

Pada suatu hari, Nabi SAW dan rombongan umat Islam pernah berjalan melewati suatu lembah.

Menurut penceritaan Abu Musa Al-Asy’ari, ketika itu beliau berada di belakang Rasulullah SAW yang berada di atas tunggangan. Baginda berkata kepada Abu Musa:

“Wahai Abu Musa, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu kalimah yang termasuk dari perbendaharaan syurga?

Abu Musa menjawab: “Mahu ya Rasulullah”.

Lalu Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Maksudnya: “Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah”

Ada beberapa tafsiran tentang kalimah ini. Salah satunya seperti yang diterangkan oleh Ibnu Mas’ud RA seperti di bawah,

“Tidak ada daya untuk menghindarkan diri dari maksiat selain dengan perlindungan daripada Allah. Tidak ada kekuatan untuk melaksanakan ketaatan selain dengan pertolongan Allah.”

Bacaan zikir ini dipanggil zikir hauqalah. Ia sangat ringkas dan sesuai dibaca pada bila-bila masa. Ia juga menggambarkan penyerahan diri kepada Allah secara menyeluruh dalam apa jua urusan kita. Wallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.