Hukum Menunjukkan Kemesraan Suami Isteri Pada Khalayak
Media sosial merupakan sebuah alat untuk berkongsi, baik dari sudut kebahagiaan, tips, ilmu dan sebagainya. Kita melihat ramai manusia yang menggunakan media sosial dengan penuh bermanfaat.
Namun, tidak kurang juga ada yang tanpa segan silu mempamerkan sesuatu yang tidak wajar dipamerkan, iaitu hubungan kemesraan sesama pasangan baik yang sudah berkahwin mahupun belum.
Hubungan perkahwinan merupakan sesuatu yang halal dan perlu diraikan sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan.
Walau bagaimanapun, ramai di kalangan kita pada hari ini terlalu menonjolkan kemesraan sehingga pada tahap yang tidak sepatutnya dan menimbulkan reaksi yang kurang senang kepada semua pengguna media sosial.
Malah, berdasarkan ‘posting-posting’ tersebut juga, terdapat di kalangan warga net yang akan melontarkan komen-komen yang negatif berbanding yang baik-baik.
Dan rata-rata mereka yang dikritik akan membalas dengan hujah – media sosial ini adalah hak dan urusan masing-masing. Warga net atau para pengikut di media sosial tidak ada hak untuk memberi komen atau nasihat yang kurang menyenangkan.
Malah, ada di kalangan kita juga yang berpendapat bahawa – “Jika tidak suka untuk melihat, maka boleh unfollow“.
Apabila difikirkan semula, adakah wajar sesama kita bergaduh dan bertikam lidah di media sosial disebabkan oleh perkara-perkara seperti ini?
Sebagai pengguna media sosial yang mengamalkan sikap keterbukaan dan bebas untuk melakukan apa sahaja, kita tidak boleh melupakan etika di media sosial iaitu etika dan hak sebagai pengguna dan juga terhadap pengguna yang lain.
Menjalankan hak sebagai pengguna adalah mudah sahaja, iaitu tidak memuat naik perkara-perkara yang melibatkan isu dan sensitiviti semua orang. Seperti pesan ilmuwan, lakukan perkara yang menyenangkan mata yang melihat.
Manakala menunaikan hak terhadap pengguna yang lain ialah dengan menimbang-tara setiap tindakan yang dilakukan, adakah mampu memberi manfaat kepada orang lain atau tidak.
Jika memuat naik gambar makanan di media sosial dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia membuktikan bahawa tiada kebaikan yang akan diperoleh oleh anda mahupun pengguna yang lain.
Namun, jika gambar tersebut disekalikan dengan perkara yang bermanfaat seperti menu atau cara mudah memasaknya, pandangan peribadi anda mengenai tahap kelazatan dan di mana boleh didapati, maka ia adalah tidak mengapa.
Sama sahaja dengan memuat naik gambar kemesraan sesama suami isteri, jika ia gambar yang tidak berlebihan dan tidak menaikkan nafsu syahwat orang lain, maka ia adalah tidak mengapa. Namun, jika gambar tersebut keterlaluan seperti bercumbu atau berpelukan, maka ia adalah tidak dibolehkan.
Apa Kata Islam
Menurut beberapa pandangan jumhur ulama’ berkenaan sikap keterbukaan ini ialah, ia perlu dilakukan secara berpada-pada dan menghormati maruah masing-masing, baik pasangan mahupun perasaan orang yang melihatnya.
Ustaz Azhar Al-Idrus pernah diajukan soalan berkaitan isu ini, menjawab bahawa perkara yang terjadi di dalam rumah, tidak perlu ditunjukkan secara umum, cukup sekadar pasangan sahaja yang mengetahuinya.
Malah, menurut Mufti Wilayah Kelantan, beliau menyifatkan bahawa tindakan menunjukkan kemesraan di media sosial secara melampau adalah tidak wajar dilakukan. Hal ini kerana, ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti mata-mata yang memandang, namun ia juga dikatakan dapat menjatuhkan maruah sesetengah pihak terutamanya pasangan itu sendiri.
Secara umumnya, akaun media sosial itu adalah milik persendirian namun pada realitinya ia dikongsi bersama dengan mereka yang mengikut (follow) anda. Oleh itu, etika di media sosial perlu diterapkan dan diambil berat oleh segenap masyarakat.
Di zaman sekarang, semuanya ingin dikongsi di media sosial. Malah, ada yang menganggap bahawa sesebuah perkongsian itu mampu membuktikan sejauh mana kebahagiaan yang dirasai.
Walau bagaimanapun, menurut beberapa pakar kaunseling, mereka menyatakan bahawa kebahagiaan yang sebenar itu cukuplah dirasai oleh diri sendiri. Malah, mereka yang cenderung untuk meluahkan perasaan di media sosial dikatakan mempunyai sifat yang kurang sihat kerana bimbang boleh menimbulkan penyakit terlalu inginkan perhatian daripada semua orang.
Malah, menurut pandangan jumhur ulama’ lagi menafsirkan bahawa dalam diri manusia itu terkandung satu sifat yang boleh melindungi diri sendiri, iaitu malu.
Malu ini biarlah bertempat. Jika keterlaluan mempunyai sifat malu sehingga tidak mampu melakukan kerja dengan baik, ia akan menimbulkan masalah-masalah lain.
Namun, malu yang dinyatakan di sini ialah malu yang boleh mengawal perlakuan seseorang itu daripada bersikap secara berlebihan dan malu yang boleh membendung diri kita untuk menjadi manusia yang punya etika dan akhlak yang baik.
Sama ada etika di media sosial atau tidak, semuanya saling berkait rapat. Jika tiada perasaan malu, anda boleh melakukan apa sahaja, hatta memuat naik gambar yang tidak bersesuaian di media sosial dan boleh bercumbu di khalayak ramai tanpa segan silu.
الْØ¥ِيمَانُ بِضْعٌ Ùˆَسَبْعُونَ Ø´ُعْبَØ©ً، ÙˆَالْØَÙŠَاءُ Ø´ُعْبَØ©ٌ Ù…ِÙ†َ الْØ¥ِيمَانِ
Maksud: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Hadis Riwayat Muslim, no.35)
Kesimpulan
Tidak salah ingin menunjukkan tanda penghargaan kepada isteri atau suami anda dengan menulis tulisan yang manis-manis di layar skrin dan tidak salah untuk menghiraukan pandangan orang yang melihatnya.
Namun, gunakanlah kata-kata dan bahasa yang baik kerana ia mencerminkan diri anda yang menggunakannya serta muat naik gambar yang sopan yang tidak mengundang fitnah dan menjatuhkan maruah pasangan mahupun ahli keluarga anda.
Wallahu a’lam
Baca juga: Penyakit Ain Boleh Terkena Melalui Media Sosial
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: