Ads Top

Empat Individu Ditahan Sebar Posting Isu Agama Dan Perkauman

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan polis pada Rabu, kerana disyaki terlibat dalam penyebaran hantaran berkaitan isu agama dan perkauman di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata tangkapan pertama melibatkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Zahrein Zakariah.

Lelaki itu ditahan pada kira-kira 2.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan peralatan digital yang digunakan untuk memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW pada 9 Julai lepas, juga telah dirampas.

Selain itu, tangkapan kedua juga melibatkan seorang lelaki yang ditahan di Pelabuhan Klang, juga pada hari yang sama, kerana disyaki memuatnaik hantaran menghina orang Melayu pada 16 Ogos lepas.

Huzir berkata suspek ditahan pada kira-kira pukul 5 petang dan polis merampas beberapa peralatan digital yang digunakan suspek memuatnaik posting ke Facebook.

Huzir berkata tangkapan ketiga adalah seorang wanita tempatan yang ditahan di Seremban 3, Negeri Sembilan kerana dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira di laman Facebook miliknya pada 8 Sept lepas.

“Suspek ditahan pada kira-kira pukul 4.30 petang Rabu dan beberapa peralatan digital yang digunakan memuat naik posting ke laman sosial juga dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek keempat yang ditahan adalah seorang lelaki tempatan disyaki memuat naik sebuah video mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di laman Youtube.

Huzir berkata lelaki itu menggunakan nama akaun Youtube Arunaikiri ditahan di Kelana Jaya dan polis turut merampas beberapa peralatan digital yang digunakan merakam serta memuat naik video itu di laman berkenana juga telah dirampas.

“Kesemua tangkapan ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang telah membantu mengesan pemilik-pemilik akaun laman sosial berkenaan.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Sabtu, manakala bagi kes Arunakiri pula suspek direman selama dua hari mulai hari ini sehingga esok, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katnaya.

Oleh yang demikian, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang posting atau berkongsi perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi Diraja di mana-mana laman sosial.- BERNAMA




No comments:

Powered by Blogger.