Ads Top

Demi Watak, Uqasha Senrose Sanggup Masuk Sungai Kotor Dipenuhi Najis

Terbabit dengan filem Sumpahan Jerunei dengan memegang watak utama ternyata memberi cabaran tersendiri buat pelakon Uqasha Senrose.

Menurut Uqasha, antara cabaran yang paling utama adalah dia perlu masuk ke dalam sungai kotor yang dipenuhi najis serta binatang seperti biawak.

“Apabila melihat air sungai kotor yang berkeladak serta melihat biawak berenang-renang memang saya cuba untuk tolak, namun permintaan saya itu langsung tidak dilayan.

“Perasaan takut itu memang ada sebab tak tahu apa yang ada dalam air, tetapi kerana tidak mahu menyusahkan semua pihak saya teruskan juga,” ujarnya.

Pelakon berkenaan berkata demikian ketika ditemui semasa sesi penggambaran filem arahan Jason Chong di Kuching Sarawak baru-baru ini. Selain Kuching, penggambaran filem tersebut turut dibuat di Mukah.

Mengakui ia babak paling ekstrem yang perlu dilakukan sepanjang bergelar pelakon, Uqasha menyatakan rasa syukur kerana berjaya melakukannya.

Ketika ditanya apa yang membuatkan dia tertarik untuk membintangi filem tersebut, Uqasha menyatakan jalan cerita yang dipaparkan menjadi faktor paling utama.

Menurutnya, sudah menjadi rezeki buat dirinya untuk berlakon dalam filem terbitan Produksi Seni 2020 memandangkan beberapa nama pelakon lain turut tersenarai.

“Watak saya dalam filem ini memang sangat berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan sebelum ini. Selain itu, saya seronok kerana dapat berganding dengan pelakon-pelakon hebat lain seperti Bront Palarae, Amerul Affendi dan Syafie Naswip,” ujarnya.

Sumpahan Jerunei merupakan sebuah karya yang memaparkan kisah budaya silam masyarakat Melanau di Sarawak dan dijangka bakal tayang di pawagam pada tahun hadapan. – KopiPlanet.com

The post Demi Watak, Uqasha Senrose Sanggup Masuk Sungai Kotor Dipenuhi Najis appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.