Ads Top

Berikut 5 Perkara Yang Menyebabkan Penyesalan Di Hari Akhirat

Pernahkah anda tersilap membuat keputusan? Timbul sedikit perasaan tidak senang dan kesal yang tiba-tiba datang. Ia berlaku apabila natijah daripada keputusan yang dibuat tidak selari dengan apa yang kita mahukan.

Ketahuilah jika kita tersilap membuat keputusan di dunia, ia masih boleh diperbaiki, namun jika kita tersilap membuat keputusan dan menyebabkan penyesalan di akhirat kelak, sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan. Jadi mari lihat apakah perkara yang boleh menyebabkan penyesalan di akhirat kelak.

#1- Tidak Memberi Perhatian Kepada Surah Al-Baqarah

Perkara pertama yang menyebabkan penyesalan di akhirat kelak adalah tidak memberi perhatian kepada Surah Al-Baqarah. Mereka tidak membaca apa yang terkandung dalam surah tersebut apatah lagi mengamalkannya. Berikut adalah potongan daripada hadis berkenaan anjuran membaca Surah Al-Baqarah.

“…bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya akan memperoleh barakah, dan dengan tidak membacanya akan menyebabkan penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan) oleh tukang-tukang sihir.” (HR Muslim, No 1337 – Status Sahih)

#2- Setiap Pertemuan Yang Tidak Disebutkan Nama Allah

Perkara kedua yang menyebabkan penyesalan ialah orang-orang yang berada dalam suatu perkumpulan atau pertemuan, sama ada dengan rakan-rakan, keluarga atau sesiapa sahaja namun tidak mengingati atau menyebut nama Allah, maka kerugian baginya pada hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda:

مَا قَعَدَ قَوْمٌ مَقْعَدًا لَا يَذْكُرُونَ فِيهِ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، وَيُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَإِنْ دَخَلُوا الْجَنَّةَ لِلثَّوَابِ

“Tidaklah suatu kaum duduk di majlis, dan mereka tidak menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla di dalamnya, dan tidak berselawat kepada Nabi SAW melainkan kesedihan akan menimpa mereka pada hari kiamat, dan jika mereka masuk ke dalam syurga, itu adalah kerana ganjarannya”

#3- Individu Yang Mempunyai Kuasa

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

إنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإمَارَةِ ، وَسَتَكونُ نَدَامَةً يَوْمَ القِيَامَة

“Nanti engkau akan begitu tamak pada kekuasaan. Namun kelak di hari kiamat, engkau akan benar-benar menyesal” (HR. Bukhari, no. 7148)

Kita dapat menyaksikan bahawa semakin hari manusia semakin berlumba-lumba untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Tetapi orang yang paling menyesal kelak di hari akhirat, adalah orang yang sebenarnya tidak memikul tanggungjawab dan amanah tersebut dengan baik.

#4- Orang Yang Melakukan Ibadah Wajib Namun Di Dalam Hatinya Mempunyai Rasa Bangga Dan Menunjuk

Allah mengatakan bahawa orang yang beribadah dalam keadaan ingin menunjuk-nunjukkan ibadatnya kepada orang lain adalah orang yang dihukum celaka di akhirat kelak. Ibadatnya menjadi sia-sia.

“…(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya
(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)” (Surah Al-Ma’un 107:4-5)

#5- Orang Yang Muflis Pada Hari Kiamat Kerana Terpaksa Memberikan Pahala Amalan Kepada Orang Lain

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Ahmad, no. 8062, Status Hasan Sahih)

Bayangkan jika anda hidup selama 50 tahun – anda tidak pernah meninggalkan puasa Ramadan setiap tahun, sentiasa bangun solat malam, sentiasa bersedekah – kemudian rupa-rupanya anda perlu menyerahkan pahala ibadah selama 50 tahun itu kepada orang lain kerana kezaliman yang dilakukan kepada mereka. Anda muflis tanpa sedar!

Hakikatnya di akhirat kelak, kita semua ingin menyelamatkan diri sendiri dan tidak rela pun untuk memberikan sekelumit pahala kepada orang lain, hatta kepada orang yang disayangi. Penyesalan yang akan dialami di akhirat pula tidak sebanding dengan penyesalan ketika di dunia. Disebabkan itu, Rasulullah SAW meninggalkan banyak pesanan kepada umat manusia tentang bagaimana untuk hidup di dunia dan akhirat dengan jayanya. Wallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.