Ads Top

Berhati-Hatilah Pada Setiap Putaran Waktu

Waktu yang kita miliki cuma 24 jam sehari. Jarum jam tetap bergerak seperti bumi yang kekal berputar, menukar kegelapan malam kepada siang yang terang-benderang.

Waktu meskipun tidak bersuara namun tidak pernah terhenti. Cuba kita bertanya kepada diri kita, adakah telah menggunakan setiap waktu dengan sebaiknya atau mungkin membiarkan sahaja masa berlalu.

Setiap putaran waktu itu terlalu bermakna. Umpama peribahasa masa itu emas yakni kita mestilah menghargai masa dengan menggunakannya sebaik yang boleh.

Pada waktu yang sama, kita harus berwaspada dengan apa-apa yang kita lakukan. Nyawa dan sepanjang mana usia kita tetap menjadi rahsia.

Permulaan Hidup Yang Indah Tidak Akan Menjamin Tirai Akhir Yang Indah

Tersebutlah kisah dua orang rakan yang sangat berbeza gaya hidup dan pemikirannya. Ahmad dan Badrul iaitu hamba Allah S.W.T yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Ahmad sentiasa melakukan amalan yang menuju ke jalan Allah S.W.T. Dia tidak lesu daripada melaksanakan amal kebajikan kepada masyarakat seperti melibatkan diri sebagai sukarelawan, menunaikan ibadah sunat dan rajin berkongsi ilmu berguna dengan kawan-kawan.

Badrul pula jauh sekali daripada amal kebaikan. Dia lebih banyak menghabiskan masanya untuk bermain ‘games’ di telefon pintarnya, melepak sehingga waktu pagi dan berborak hal duniawi. Malahan Badrul bergaul tanpa mengira batas.

Suatu malam, Ahmad menunaikan solat sunat. Badrul terbuka hati pada malam itu kerana dia kagum melihat rakannya. Ahmad tidak henti-henti cuba mendekatkan diri kepada Tuhan. Ahmad setia beribadah kepada Allah S.W.T.

Badrul sedar bahawa dirinya begitu hina. Malam itu, Badrul terdetik untuk melalui perubahan. Dia mahu kembali kepada Allah S.W.T. Keesokan harinya, Ahmad melihat Badrul menunaikan solat.

Hati Badrul terisi dengan perkara yang bermanfaat sehinggakan Ahmad berasa Badrul telahpun lengkap mencukupkan ibadah wajib dan kini cuba mencari kebaikan. Ahmad merasakan pelik melihat Badrul kerana selalunya Badrul akan bermain ‘games’ dengan memasang latar suara yang kuat. Mulut Badrul juga sudah tiada makian.

Lalu, Ahmad membuat keputusan untuk bermain ‘games’ pada petang itu. Dia teringin sekali merasakan apa yang dirasai Badrul ketika dulu. Ahmad keluar meninggalkan Badrul seorang di bilik dan seterusnya menuju ke tangga.

Tanpa disedari, seorang lagi rakan Ahmad memanggilnya untuk turun ke bawah. Diam-diam, kebakaran telah berlaku pada waktu itu. Ahmad berlari menuruni tangga sambil matanya menghadap telefon pintar.

Ahmad tergelincir lalu tertusuk sesuatu yang tajam pada dadanya. Badrul pula masih di bilik sedang berzikir di atas sejadah. Badrul masih diberikan kesempatan untuk hidup manakala Ahmad meninggal dunia dalam sekelip mata dengan cara sebegitu.

Lihatlah cara pengakhiran hidup yang semestinya berbeza. Sesungguhnya, setiap masa itu perlu diperincikan demi mendapatkan penggunaan masa yang efisyen.

Firaun Dan Tentera, Bukti Perlu Berhati-Hati Dengan Segala Amalan Di Dunia

Firaun seorang raja yang sombong dan takbur. Dia menganggap dirinya sebagai Tuhan setaraf dengan Allah S.W.T. Firaun dan tenteranya tenggelam di dalam lautan dengan kuasa Allah Yang Maha Besar.

Seorang raja yang disangka hebat dan besar pada zaman itu dihancurkan dalam sekelip mata. Firaun kekal menjadi warisan. Langit dan bumi langsung tidak meratapi pemergian Firaun dan pengikutnya.

Mereka tidak ditangisi kerana tiada amalan baik yang dilakukan dan tiada amalan yang dibawa naik ke langit. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya seorang hamba Allah yang Muslim mempunyai dua pintu di langit. Satu pintu diturunkan kepadanya rezeki dan satu lagi dibawa naik amalan dan pertuturan melaluinya. Apabila kedua-dua pintu itu tidak dilalui, dia akan ditangisi.”HR Anas ibn Malik

Sememangnya, kita tidak akan tahu-menahu tentang akhir hidup kita. Kematian sememangnya sama sekali tidak dapat diteka. Bagaimana cara kita meninggalkan dunia, di mana dan pada waktu bila adalah sesuatu yang kekal disimpan. Hanya Allah S.W.T yang mengetahui segala-galanya.

Oleh yang demikian, kaedah terbaik untuk dilakukan setiap waktu adalah dengan mengisi hidup dengan amalan kebaikan. Di samping itu, doa menjadi senjata utama kita sepanjang hidup. Jadi, sentiasalah berdoa dan mohonlah kepada Allah S.W.T untuk mengurniakan kita saat akhir yang baik (Khusnul Khatimah). Doa untuk dikurniakan khusnul khatimah:

Ya Allah, tolonglah akhiri hidupku dengan khusnul khatimah.

Allah S.W.T Maha Adil. Jangan pernah ragu-ragu kerana Allah S.W.T pasti akan mengurniakan ganjaran sesuai mengikut perilaku hambanya di dunia. Oleh itu, masa yang diberikan di dunia ini perlulah dititikberatkan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Lakukan amalan dengan cara yang betul dan hampirinya, ketahuilah amalan seseorang tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Sahabat bertanya. “Adakah kamu juga begitu wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW, “Aku juga begitu, melainkan Allah S.W.T melimpahkan rahmat serta anugerahNya kepada aku.”HR Muslim

Sesungguhnya, betapa banyaknya kebaikan dan keburukan pada masa lalu tidak akan menentukan bagaimana akhir hidup kita. Pesan ke hati: Amal boleh terhapus dengan secebis rasa dengki yang tak pernah habis.

Dosa pula boleh semakin menipis dengan taubat yang setiap hari ditemani air mata yang menitis. Maka, berhati-hatilah sepanjang masa kerana kita sentiasa diperhatikan dan dinilai.

Anggaplah kehidupan di dunia ini seperti menjalani peperiksaan yang perlu mendapatkan markah tinggi dengan masa yang diberikan demi menuju ke syurga. Semoga masa yang masih ada ini dimanfaatkan sebaik-baiknya.




No comments:

Powered by Blogger.