Bagaimana Komunikasi Mampu Memberi Kesan Kepada Kehidupan
Ketika melakukan kajian mengenai komunikasi antara guru dan pelajar orang asli di sebuah sekolah rendah, Kelantan, kami mendapati bahawa komunikasi yang betul merupakan faktor kepada komunikasi yang berkesan.
Dalam penelitian yang dilakukan, jika guru tersebut tidak bertutur dalam bahasa Orang Asli atau yang lebih dekat seperti loghat Kelantan, pelajar-pelajar tersebut tidak akan mengambil perhatian terhadap apa yang diujarkan.
Hal ini sekali gus memberikan kesan kepada pembelajaran dan tahap kefahaman para pelajar dan anak-anak orang Asli tersebut.
Disebabkan itu, pelajar-pelajar di sana tidak menitikberatkan urusan pembelajaran dan mereka lebih suka aktiviti di luar bilik darjah berbanding di dalam kelas.
Malah, guru-guru yang ditugaskan untuk mengajar di sekolah pedalaman akan mengambil inisiatif sendiri untuk belajar asas bahasa Orang Asli sebelum menempuh ke alam pengajaran tersebut.
Ini merupakan salah satu contoh yang boleh dilihat mengenai kepentingan komunikasi dalam diri seseorang dengan sekeliling.
Kadang-kadang kita merasakan bahawa isyarat atau perkara yang disampaikan mudah untuk difahami oleh orang sekeliling, walhal ia akan ditafsirkan berdasarkan apa yang otak pendengar itu cuba untuk faham, bukan berdasarkan apa yang kita inginkan.
Disebabkan itu wujudnya bahasa yang tersendiri sama ada bahasa lisan mahupun bahasa badan sebagai alat untuk berkomunikasi.
Jika kita ingin difahami, pasti kita akan bercakap dengan seseorang menggunakan bahasa yang boleh difahami antara kedua pihak.
Jika anda bercakap Bahasa Mandarin dengan orang yang tidak memahaminya, pasti percakapan itu akan menjadi sia-sia.
Jika anda menghantar isyarat badan untuk membuktikan anda merajuk dengan pasangan anda tetapi dia tidak faham dan memahami isyarat tersebut, akhirnya anda yang akan memujuk diri anda sendiri.
Jelaskan Apa Yang Ingin Diberitahu
Konsep di sini mudah sahaja, beritahu secara jelas akan apa yang anda inginkan agar orang sekeliling anda faham.
Tidak kiralah ia dalam bentuk Tweet, tulisan post di Facebook mahupun percakapan secara terus. Ini sekali gus memudahkan pendengar anda memahami apa yang cuba disampaikan, dan jika tidak difahaminya, pasti dia akan kemukakan persoalan.
Ada sebuah kajian mengenai perbezaan komunikasi wanita dan lelaki yang telah dijalankan oleh beberapa orang pakar psikologi barat yang mengatakan bahawa lelaki lebih mudah faham akan sesuatu yang jelas di mata mereka.
Sebagai contoh, jika anda merajuk dan menunjukkan bahasa badan seperti memuncungkan mulut atau tidak membalas wasap, mereka akan mengambil masa yang lama untuk menafsirkan bahawa anda sedang merajuk.
Adalah lebih baik anda jujur dan berkata; “Saya merajuk. Maka pujuklah” berbanding dengan menghantar isyarat yang bukan-bukan sehingga akhirnya anda sendiri yang akan sakit hati.
Komunikasi di sini senang – Anda cuba untuk faham gaya komunikasi pendengar tersebut, maka anda akan cuba untuk berkomunikasi dengan caranya supaya ia akan menjadi satu hala sahaja.
Berbanding dengan anda berkomunikasi dengan cara anda dan berharap agar pendengar akan cuba memahami anda sedangkan kita tidak yakin apa yang akan ditafsirkan oleh otak pendengar.
Belajar Daripada Orang Bisu
Orang bisu bercakap menggunakan bahasa isyarat dengan mereka yang memahaminya. Namun, jika seseorang itu tidak tahu menggunakan bahasa isyarat, pasti dia akan mencari cara lain untuk berbicara seperti menulis di kertas atau menggunakan aplikasi SMS dan WhatsApp.
Mereka tetap akan cuba mencari cara lain supaya boleh berkomunikasi dengan baik agar apa yang disampaikan itu mudah difahami. Bisu itu bukan kekurangan, malah sebenarnya ia adalah anugerah.
Anugerah kepada kita mengenai keunikan bahasa yang wujud dalam komunikasi. Kerana komunikasi itu sebenarnya bukan sekadar pada mulut, bahkan penulisan, gambar dan juga isyarat-isyarat badan lain yang cuba ditonjolkan.
Oleh itu, jika anda ingin mendapatkan komunikasi yang berkesan, maka cuba untuk capai satu titik persamaan dengan pasangan yang dipertuturkan agar ia menjadi komunikasi yang bermanfaat.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1) Kajian Sikap Dan Kefahaman Guru Terhadap Bahasa Orang Asli Dalam Kelangan Pelajar Di Sekolah Rendah
2) Kajian Mengenai Komunikasi Lelaki Dan Perempuan
No comments: