Bagaimana ‘Jerebu’ Pada Zaman Nabi Muhammad
Jika melihat paras jerebu pada hari ini, pasti kita semua dilanda kebimbangan yang mendalam. Hati kita pasti dihujani dengan pelbagai soalan berkenaan mengapa dan bagaimana perkara ini boleh terjadi.
Malah, ramai yang mengaitkan ia dengan peristiwa dukhan, iaitu asap yang akan keluar dari perut bumi sebagai tanda kiamat bakal bermula seperti yang diriwayatkan oleh Baginda SAW:
إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ”.
Maksud: “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda.” Baginda SAW menyebut (tanda-tanda tersebut): “Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana, iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2901)
Para ulama’ mengaitkan ia adalah sebagai sebuah peringatan yang diturunkan Allah kepada hambaNya agar sentiasa beringat bahawa bumi ini sifatnya sementara dan kiamat semakin menghampiri.
Sudah tiba masanya untuk kita bertaubat dan kembali ke jalanNya sebelum dukhan yang sebenar keluar menggelapkan bumi dan pandangan kita semua. Malah, jika dilihat peristiwa yang pernah berlaku kepada umat terdahulu bahawa Allah menghantar peringatan seperti ini buat mereka yang menolak dan menentang keras ajarannya.
Peristiwa ini ada dirakam di dalam Al-Quran melalui surah Ad-Dukhan yang bermaksud asap yang tebal. Kisah yang sungguh dahsyat ini cukup menggerunkan kita semua jika nasib yang sama bakal menimpa kita.
فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ
يَغْشَى النَّاسَ ۖ هَـٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ
Mafhum: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan).” (Surah Ad-Dukhan, 44: 10-11)
Bagaimana Ajaran Baginda Ditolak
Kaum Musyrikin Mekah telah menolak ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi. Mereka menolak dan ragu-ragu dengan ajaran Baginda kerana tidak mengenal Allah dan tidak ingin belajar agama dengan benar.
Kaum ini sekadar mengetahui apa yang mereka dengari sahaja dari mulut ke mulut dan sering berburuk sangka denganNya seperti Tuhan tidak akan mengabulkan doa yang diminta dari mulut mereka, namun akan mengabulkan setiap doa yang diujar oleh Nabi SAW.
Malah, pelbagai lagi alasan yang diberikan untuk mengelakkan diri daripada berdoa. Contohnya tidak fasih berbahasa Arab walhal Allah mendengar setiap doa yang diujarkan tidak kiralah dari mulut para nabi atau tidak, malah boleh difahami walau dalam apa jenis bahasa juga.
Banyak lagi perkara yang menjadi keraguan dalam diri mereka dan ia mengakibatkan ajaran tersebut dipermain-mainkan. Sama ada dengan kalam Allah, ajaran Baginda mengenai Islam dan sebagainya.
Begitulah juga dengan kita. Jika agama hanya didengari dari mulut ke mulut dan bukan dipelajari secara bersungguh-sungguh daripada mereka yang berilmu, tidak mustahil kita juga cenderung untuk mempermain-mainkan agama sendiri. Nauzubillahiminzalik.
Jika lihat pada masa kini, berapa ramai manusia yang begitu mudah meletakkan fatwa sendiri, menafsirkan Al-Quran dan hadis secara semberono dan mempersoalkan sesuatu tanpa adab dan menolak pandangan golongan alim dalam menyuarakan sesuatu.
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang diazab olehNya sama seperti kaum terdahulu.
Baginda Mendoakan Diturunkan Peringatan Kepada Kaum Tersebut
Setelah pelbagai peringatan dan juga dakwah yang disampaikan oleh Baginda ditolak dan dipermainkan oleh kaum Musyrikin ini, Baginda telah berdoa kepada Allah agar memberikan peringatanNya.
Oleh itu, Allah telah menimpakan kemarau panjang sehingga debu berterbangan di kawasan tersebut. Disebabkan tanah yang terlampau kering, keadaannya seolah-olah diliputi oleh asap.
Para ulama’ mentafsirkan bahawa, kemarau yang berlaku mengakibatkan sumber makanan sukar untuk didapati. Maka, kelaparan tersebut telah memberikan ilusi kepada mata mereka sehingga melihat langit dan keadaan sekeliling seperti berasap dan gelap.
Malah, dikatakan melalui peristiwa ini, orang-orang yang beriman terlepas daripada asap-asap ini kerana kejadian tersebut berlaku selepas Baginda SAW berhijrah ke Madinah.
وَإِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُمْ أَن تَرْجُمُونِ
وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا لِي فَاعْتَزِلُونِ
Mafhum: “Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada tuhanku dan tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku. Dan sekiranya kami tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah menganggu daku).” (Surah Ad-Dukhan, 44:19-20)
Kesimpulan
Jangan menunggu untuk munculnya azab, barulah kita akan kembali kepada Tuhan. Sebaliknya, apabila celik sahaja mata, kita perlu sedar dan bersyukur kerana dikurniakan satu hari lagi untuk bernafas sebagai ruang dan peluang agar nafas tersebut merupakan nafas yang diberkahiNya.
Ambil iktibar daripada kisah-kisah ssebelum ini untuk sentiasa ingat kepadaNya.
Wallahu a’lam.
No comments: