Ads Top

Baca Doa Makan, Perlu Atau Tidak?

Sejak kecil lagi kita diajarkan untuk membaca doa sebelum makan.

“Allahumma baarik lana fii maa rozaqtanaa wa qinaa ‘adzaaban naar”

Maksudnya: (Ya Allah, berkatilah makanan yang telah engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka).

Kadang-kadang ia dilagukan oleh anak-anak kecil agar mudah dihafal.

Asal Usul Doa Makan

Apabila diteliti, dikatakan sebenarnya doa ini berasal daripada hadis yang telah diriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni.

Sebagaimana disebutkan semula oleh An Nawawi dalam kitabnya Al Adzkar,

روينا في كتاب ابن السني عن عبد اللّه بن عمرو بن العاص رضي اللّه عنهما عن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم أنه كان يقول في الطعام إذا قُرِّبَ إليه : ” اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا فِيما رَزَقْتَنا وَقِنا عَذَابَ النَّارِ باسم اللَّهِ “

Telah diriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash R.anhuma, dari Nabi SAW bahawa ketika makanan didekatkan kepadanya, beliau biasa mengucapkan “Allahumma baarik lanaa fii maa rozaqtanaa wa qinaa ‘adzaaban naar, bismillah”.

Ibnu Hajar Al-Asqolani memberi komen bahawa di dalam riwayat tersebut terdapat Muhammad bin Abi Az Zu’ayzi’ah, dan Abu Hatim mengatakan bahawa ia adalah munkarul hadis jiddan (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak dipercayai). Pendapat yang sama juga dinyatakan oleh Imam Al-Bukhari.

Antara komen lain terhadap hadis tersebut menyebut bahawa sanadnya dhaif. Terdapat juga seorang lelaki bernama ‘Isa bin Al Qosim ibnu Sami’ dalam senarai perawi hadis itu yang dipercayai sering melakukan kesalahan apabila meriwayatkan hadis.

Doa di atas sebenarnya dianjurkan untuk dibaca selepas makan, dan bukan sebelum makan.

Ia disandarkan kepada riwayat Hisyam bin ‘Urwah secara mauquf (sesuatu yang disandarkan kepada sahabat).

Diriwayat oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/934), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/139), al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (1/448) dengan lafaz:

أنه كان لا يؤتى أبدا بطعام، ولا شراب حتى الدواء فيطعمه أو يشربه، إلا قال: «الحمد لله الذي هدانا، وأطعمنا وسقانا، ونعمنا، الله أكبر، اللهم ألفتنا نعمتك بكل شر، فأصبحنا منها وأمسينا بكل خير، نسألك تمامها، وشكرها لا خير إلا خيرك، ولا إله غيرك، إله الصالحين، ورب العالمين، الحمد لله ولا إله إلا الله، ما شاء الله ولا قوة إلا بالله، اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار»

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Urwah bin al-Zubair tidak sesekali dihidangkan dengan makanan atau minuman atau ubat kecuali dia akan menyebut selepas memakannya atau meminumnya:

“Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, memberi minum, memberi nikmat. Allah maha besar. Ya Allah, nikmat Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan baik.

Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran atas nikmat Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang-orang salih dan Tuhan sekelian alam.

Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka”

Sanad riwayat ini sahih. Tetapi doa ini sebenarnya dibaca selepas makan kerana ucapan pujian lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, Jilid 8, hlm. 387)

Apakah Doa Makan Yang Sebenarnya Diajarkan Oleh Nabi SAW

Sebenarnya ada doa lain yang lebih mudah, yang diajarkan oleh Nabi SAW. Doa tersebut ialah kalimah ‘Bismillah’ sahaja.

Nabi SAW tidak memberatkan kita untuk membaca doa khusus sebelum makan. Saranan untuk membaca bismillah sahaja bersandarkan kepada hadis di bawah:

عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ»

Maksudnya: “Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW, tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambil lah makanan) yang hampir denganmu”. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain pula, dinyatakan:

وعن رجل خدم النبي صلى الله عليه وسلم : أنه كان يسمع النبي صلى الله عليه وسلم إذا قرب إليه طعاما يقول : بسم الله

Dari seseorang yang mengabdi pada Nabi SAW, ia berkata bahawa ia mendengar Nabi SAW ketika makanan mendekatinya, beliau mengucapkan “bismillah”. (Disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Al Kalimuth Thoyyib, no. 190 – Sheikh Al Albani mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan)

Kesimpulan

Tidak salah untuk membaca doa makan sebagaimana yang sering kita amalkan sejak kecil, kerana di dalam doa tersebut juga terkandung permohonan doa yang baik. Namun penting untuk kita sedar tentang asal sesuatu amalan. Dalam hal ini, doa makan yang sering kita baca tersebut bukanlah berdasarkan hadis yang sahih yang disandarkan kepada Nabi SAW.

Sebaliknya, doa itu adalah potongan doa yang diamalkan oleh sahabat iaitu Urwah bin Al-Zubair, selepas makan dan bukan sebelum makan, kerana ia lebih dekat kepada rasa syukur yang ingin dizahirkan setelah mendapat nikmat daripada Allah SWT.

Namun dari sisi lainnya, penulis melihat ia sebagai satu amalan yang mengharmonikan suasana dan menyatukan sesama kita terutamanya dalam majlis makan-makan secara beramai-ramai.

Cuma tidak boleh sampai ada iktikad bahawa memang itu doa sebelum makan yang diajarkan oleh Nabi SAW sedangkan riwayat itu adalah sangat dhaif. Apa jua doa boleh dibaca dan tidak terhad kepada doa itu sahaja. Wallahua’lam.

Rujukan:

Status Hadis Berkaitan Doa Makan
Amalan Membaca Bismillah




No comments:

Powered by Blogger.