Apa Maksud Kaya Yang Sebenar?
Jika ditanya mengenai nilai kekayaan, apa yang akan terlintas di hati kita? Mungkin kaya dengan wang atau kaya dengan harta pusaka atau kaya dengan ilmu? Rata-rata dari kita akan memberi jawapan yang lebih kurang sama dengan di atas.
Namun, jika ditanya mengenai jenis kaya yang diinginkan, apa pula yang kita mahu? Adakah sama dengan di atas atau mungkin sedikit berbeza? Itu semua bergantung pada diri anda sendiri.
Tidak salah untuk menjadi kaya, dan tidak salah untuk berdoa diberikan kekayaan walau dari sudut mana pun kerana Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk berdoa dan berusaha ke arah kekayaan.
Namun, menurut sebuah perkongsian yang telah disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal baru-baru ini di ekspo halal terbesar 2019, maksud kaya yang sebenar apabila ia memberikan kebahagiaan serta ketenangan kepada anda. Ia adalah kaya hati.
Jika punya wang yang melimpah, tetapi hati tidak tenang dan puas dengan semua itu, ia bererti hati anda belum cukup bahagia dengan apa yang anda miliki. Begitu juga jika anda merasakan bahawa anda sudah mendapatkan segala yang diinginkan, lantas apa lagi yang perlu dicapai.
Kadang-kadang, kita cenderung untuk merasakan bahawa dengan memperoleh kekayaan bererti anda juga boleh memperoleh kebahagiaan.
Walhal, duit tidak boleh membeli kebahagiaan kerana ia datang dari hati.
Jadi, bagaimana untuk memastikan bahawa rezeki dan kekayaan yang anda ada itu mampu memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada anda?
Gembira Dalam Memberi
Lihat bagaimana keadaan hati anda apabila memberi. Adakah anda akan gembira dan hati anda merasa tenang atau sebaliknya? Sesetengah orang akan merasa bahawa pemberian tadi tidak sepetutnya dilakukan. Jumlah yang diberikan tidak setimpal dan mungkin tidak perlu dilakukan.
“Sepatutnya bagi RM 1 sahaja dekat pak cik tadi, sekarang ni aku pula yang tak cukup duit.”
Itu antara kata-kata yang dilontarkan. Percaya atau tidak, bukan saya sahaja yang pernah berada dalam situasi tersebut namun pasti kebanyakan orang juga pernah melaluinya.
Ujian itu datang berdasarkan apa yang kita niatkan. Ia bukan untuk menjatuhkan semangat dan menolak pahala kita, namun untuk menaikkan lagi taraf manusia di sisi Allah.
Adakah kita ikhlas dalam memberi atau tidak, ia semua bergantung kepada hati.
Disebabkan itu wujudnya istilah ‘tajdid niat.’ Tajdid atau perbaharui niat perlu sentiasa dilakukan. Jika kita memperbaharui azam setahun sekali, cuba perbaharui niat setiap kali sebelum melakukan sesuatu.
Jika setiap kali solat juga kita dianjur untuk berniat, sama sahaja dengan ibadah-ibadah lain. Niat kerana Allah, pasti hati mudah tenang. Bukan bersedekah RM 10 untuk diganjarkan RM 100, tetapi sedekah kerana Allah.
Nescaya Allah akan membalasnya dengan sesuatu yang lebih lagi, sesuatu yang boleh memberi kekayaan di hati dan juga luaran.
Itulah yang dimaksudkan dengan kekayaan yang sebenar.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Ustaz Don Daniyal – Kalau Aku Kaya (6 September 2019 – Ekspo Halal Terbesar Malaysia )
No comments: