Ads Top

10 Kelebihan Perut Kosong Menurut Imam Ghazali

Jika anda pernah membaca cerita-cerita tentang para ilmuwan dan ahli sufi pada masa lampau, maka pasti anda akan kerap mendengar tentang bagaimana mereka sangat memelihara banyak hal dalam kehidupan. Mereka sedikit tidur, sedikit berehat dan sedikit pula makan. Salah seorang ilmuwan terkenal yang pernah membicarakan tentang manfaat memelihara perut dan menjaga pemakanan ialah Imam Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin. Mari kita lihat 10 manfaat yang telah digariskan beliau:

#1- Dapat Menjernihkan Dan Menghidupkan Hati

Perut yang kosong dapat menjernihkan dan menghidupkan hati. Perut yang kenyang dapat menumpulkan fikiran – ia menjadikan fikiran kabur, sama seperti keadaan seseorang ketika mabuk, sehingga ia menguasai proses berfikir, memberatkan hati dan melambatkan proses berfikir.

#2- Menemukan Kelazatan Dalam Ibadah

Kelebihan kedua yang dapat diraih apabila dalam keadaan lapar ialah dapat melembutkan dan menyucikan hati sehingga menemukan kelazatan dalam ketekunan. Selain itu manfaat daripada zikir pula akan lebih terasa.

#3- Akan Menghilangkan Rasa Seronok Kepada Dunia

Kelebihan ketiga yang bakal diperoleh daripada perut yang lapar ialah merasa hina diri sebagai hamba, akan hilang keseronokan, serta hilang rasa bongkak yang menjadi penyebab kepada kelalaian seseorang daripada menyedari kebesaran TuhanNya. Dengan rasa lapar, manusia bakal menyedari keterbatasan diri yang ada sebagai manusia biasa.

#4- Tidak Lupa Dengan Azab Dan Balasan Allah

Orang yang dalam keadaan lapar tidak akan lupa tentang azab dan balasan Allah, sedangkan rasa kenyang akan membuatkan seseorang lupa kepada orang yang lapar dan kepada rasa lapar itu sendiri.

Maka hamba yang menyedari keadaan lapar yang dialami oleh orang lain akan sedar tentang keadaan yang bakal dihadapi semasa hari pembalasan (dalam keadaan panas terik dan kelaparan).

#5- Dapat Mematahkan Keinginan Nafsu

Manfaat kelima, dan terbesar berbanding manfaat yang lain ialah dapat mematahkan keinginan nafsu terhadap apa jua bentuk maksiat. Mereka terlebih dahulu dapat menguasai diri daripada dikuasai oleh nafsu. Kegembiraan dapat dicapai apabila seseorang mampu menguasai dirinya sendiri.

#6- Dapat Menjadikan Badan Sentiasa Berjaga

Manfaat lapar yang seterusnya ialah dapat mengurangkan tidur dan menjadikan badan sentiasa berjaga. Orang yang memenuhi seleranya akan minum dengan banyak, dan orang yang minum dengan banyak akan tidur banyak.

Para sufi pada waktu dahulu, saat makanan dihidangkan, akan sering mengingatkan murid-muridnya: “Wahai pengikutku, jangan makan banyak, kerana kalian akan minum dengan banyak dan kalian akan cepat kenyang, kemudian kalian akan kehilangan banyak perkara”

#7- Rasa Lapar Akan Membantu Ibadah Dalam Masa Yang Panjang

Manfaat yang seterusnya, ia dapat membantu seseorang untuk fokus kepada ibadah dalam masa yang panjang. Makanan akan menghalang banyak amal ibadah daripada dilakukan. Ia mencuri masa, malah akan menyibukkan seseorang dengannya kerana perlu membeli dan memasak makanan.

#8- Kesihatan Tubuh Badan

Manfaat kelapan adalah kesihatan tubuh badan. Ia diperoleh dengan makan sedikit, dan mempertahankan diri daripada penyakit yang disebabkan makan yang berlebihan.

Badan yang sakit dapat menyebabkan ibadah terhalang, memberi kesan kepada hati, menghalang daripada berfikir dan berzikir serta meningkatkan tekanan dalam kehidupan. Semua hal ini akan membawa kesan pula kepada urusan kewangan kerana perlu mencari penawar untuk mengubati penyakit.

#9- Mengurangkan Perbelanjaan

Mereka yang makan sedikit akan berbelanja sedikit, namun mereka yang biasa berbelanja untuk memuaskan keinginannya akan selalu menjadi penghutang kepada perutnya. Setiap hari ia akan bertanya; “Apa yang engkau akan makan hari ini?”

#10- Akan Menjadi Pemurah

Orang yang biasa lapar akan lebih murah hati untuk memberi makanan kepada anak yatim dan orang miskin. Mereka di akhirat kelak, akan dilindungi dengan amalan sedekahnya.

Demikian sepuluh manfaat yang tersembunyi di sebalik keadaan perut yang kosong. Disebabkan itu para ilmuwan sangat suka berpuasa sunat. Mereka juga mengekang diri daripada makan terlalu kenyang kerana ia dapat membantu menajamkan fikiran seterusnya dapat membantu proses menuntut ilmu.

Rujukan: Diterjemah dan diolah daripada Kitab Ihya’ Ulumuddin oleh Imam Ghazali




No comments:

Powered by Blogger.