Ads Top

Ujian , Tanda Allah Ingat Kepada HambaNya

يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

Mafhum: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumannya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.” (Surah an-Nisa, 4:28)

Manusia itu telah diciptakan oleh Allah dengan sifatnya yang lemah dan memerlukan pergantungan hanya kepada-Nya. Berdasarkan daripada kalam Allah di atas sudah cukup membuktikan sifat manusia yang lemah.

Namun, seringkali manusia terlupa pada kekuatan dan kekuasaan sang Pencipta ini sehingga selalu bergantung harap kepada makhluk lain seperti mengharap bantuan daripada manusia bahkan ada yang sanggup menduakan Allah dengan memohon pertolongan kepada alam ghaib.

Dari sisi Islam, perbuatan menyekutukan Allah adalah salah seratus-peratus dan ia termasuk dalam golongan dosa besar yang hanya boleh diampuni dengan melakukan taubat nasuha, iaitu taubat yang sebenar-benarnya. Berdasarkan kalam Allah dalam surah al-Maidah yang berbunyi:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّـهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّـهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّـهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Mafhumnya: “Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah al-Masih Ibni Maryam”. Padahal al-Masih sendiri berkata: “Wahai bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Maidah, 5:72)

Letaklah Pergantungan Hanya kepadaNya

Antara bukti manusia diciptakan lemah ialah, Allah ada menciptakan manusia yang miskin, ada yang kurang cerdik, ada yang kurang upaya, ada yang cacat fizikalnya dan pelbagai lagi. Tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini.

Ada juga yang diuji dengan kelebihan yang Allah berikan seperti orang kaya yang diuji dengan hutang, orang cantik yang diuji dengan pujian, orang cerdik yang diuji dengan penyakit hati dan pelbagai lagi.

Mengapa ujian ini diberikan? Mengapakah Allah tidak menjadikan manusia semua sama rata agar masing-masing boleh hidup tanpa perbezaan? Adakah ujian itu satu bebanan?

Ujian itu bukan bermaksud untuk bebanan dan ia juga bukanlah diberikan untuk merendahkan manusia kerana manusia itu merupakan sebaik-baik penciptaan dan makhluk. Sebenarnya ia adalah untuk menguatkan lagi manusia. Ujian itu bukti bahawa manusia itu sifatnya lemah dan hanya Allah yang Maha Kuat dan Maha Menguasai.

Apabila lemah, manusia akan mencari pergantungan. Oleh itu, carilah Allah dan sentiasalah bergantung harap hanya kepada-Nya. Ibnu Qayyim rahimahullah berkata: Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah berkata sekali kepadaku;

“Segala rintangan dan ujian bagaikan rasa dingin dan panas. Jika seseorang mengetahui bahawa ia pasti akan merasakan keduanya, maka niscaya ia tidak akan marah kerana tertimpa keduanya, tidak pula merasa sedih dan berduka.” (Kitab Madarijus Salikin, 3/36)

Jika kita meletakkan pengharapan hanya kepada Allah serta percaya aturan yang terjadi ini bukanlah sesuatu yang sia-sia, maka kelemahan dan kesedihan yang dialami akan dapat diatasi dengan mudah kerana hati kita sudah berpaut pada kekuasaan Allah.

Ujian Tanda Allah Cinta

Pernahkah anda berada dalam sebuah perhubungan jarak jauh? Jika terdetik perasaan rindu pada pasangan anda, apa yang akan anda lakukan? Sudah pasti menelefon atau menghantar pesanan ringkas kepadanya, bukan?

Ia adalah bukti bahawa anda mempunyai perasaan rindu dan cinta kepadanya dan ingin si dia mengetahui kewujudan perasaan itu sekaligus supaya si dia tidak melupakan anda.

Nah, begitu juga situasi ini. Allah menghantar ujian bukan tanda suka-suka, bukan juga sebagai amarahNya pada kita, namun ia merupakan suatu bentuk peringatan buat kita sebagai manusia dan hamba kepada-Nya. Ujian itu sebagai ‘hadiah’ supaya kita sentiasa ingat kepadaNya dan sentiasa mencari tuhan sebagai tempat bergantung.

Berdoa dan mohonlah hanya kepadaNya kerana Allah sentiasa merindui untuk mendengar rintihan jiwa-jiwa yang diciptakannya. Walaupun Allah itu sifatNya Maha Mengetahui apatah lagi Maha Melihat, namun berdoalah, merintihlah dan mengadulah kepadaNya sebagai bukti kita ini hanyalah hamba yang tidak sombong.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Mafhum: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Allah tidak pernah mengabaikan hamba-hambaNya. Setiap ‘hadiah’ yang telah dihantarNya dalam bentuk ujian itu adalah bukti Allah masih ingat kepada anda.

Maka bersyukurlah dan sentiasa letakkan di dalam hati bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang sedang menanti. Takutlah kalian jika merasa hidupmu tidak pernah diuji kerana itu merupakan ujian buat iman kalian.

Ujian itu membuat kita semakin sedar apa tujuan kita hidup. Setiap kelemahan yang kita ada mengingatkan kita bahawa hanya Allah yang memiliki segala kekuasaan di langit dan bumi, hanya Allah yang layak dijadikan tempat pergantungan, dan setiap ujian itu menjadikan kita semakin dekat pada-Nya.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.