Ads Top

Memanggil Dengan Gelaran Yang Baik Merupakan Ibadah

Saya teringat ketika menonton salah satu drama bersiri Korea beberapa bulan lepas yang bertemakan kecantikan dan juga pembedahan plastik yang rata-ratanya dilakukan oleh penduduk di sana.

Mereka cenderung untuk melakukan pembedahan plastik bagi membaiki dan mengubah sama ada bahagian muka atau badan untuk mengelakkan daripada menjadi bahan bualan dan juga cemuhan oleh orang-orang sekeliling.

Melalui drama ini juga ada ditunjukkan bagaimana watak utamanya menghadapi tekanan hidup yang melampau disebabkan cemuhan yang diterima sehingga kurang keyakinan diri untuk menghadapi kehidupan dan akhirnya membuat keputusan untuk melakukan pembedahan plastik.

Sebenarnya, itulah realiti masyarakat di luar sana yang terlalu banyak menghadapi isu ‘body shaming‘ tidak kira dari sudut badan mahupun wajah sehingga akhirnya boleh menimbulkan gelaran yang kurang menyenangkan.

Malah, gelaran yang kurang menyenangkan ini bukan sahaja datang dari rupa paras atau wajah, namun juga disebabkan oleh ketidakpuasan hati yang timbul sehingga mewujudkan panggilan yang tidak enak didengar seperti ‘gemuk macam badak’, ‘lambat macam siput’ dan sebagainya.

Kadang-kadang orang yang melontarkan kata-kata tersebut menganggapnya sebagai gurauan, namun hakikatnya tidak ada gurauan sebegitu dalam agama. Ia adalah ejeka atau kritikan kepada tubuh badan seseorang. Ia adalah ‘body shaming’.

ومن الألفاظ المذمومة المستعملة في العادة قوله لمن يخاصمه: يا حمار، يا تيس، يا كلب، ونحو ذلك، فهذا قبيح لوجهين: أحدهما: أنه كذب. والآخر: أنه إيذاء

Maksud: “Di antara lafaz yang tercela yang biasa digunakan orang untuk mencela orang yang berselisih dengannya adalah perkataan ‘wahai keldai’, ‘wahai kambing’, ‘wahai anjing’ atau semacamnya. Perkataan ini tercela dari dua sisi: yang pertama merupakan dusta dan yang kedua merupakan gangguan terhadap orang lain. (Kitab Al-Adzkar)

Menggelar seseorang dengan panggilan yang tidak disukainya boleh jatuh hukum haram dan berdosa. Hal ini kerana, kata-kata dan panggilan itu merupakan doa dan kita juga dianjurkan untuk mengucapkan perkara yang baik-baik.

Jika seseorang itu kurang senang atau tidak suka dengan panggilan dan gelaran yang diberikan, maka seeloknya dielakkan untuk menggunakannya. Hal ini juga sama dengan perihal nama yang kadang-kadang dipendekkan atau digabungkan dengan menjadi sesuatu yang tidak disenangi.

Hal ini telah disebut melalui firman Allah dalam Al-Quran yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat, 49:11)

Dalam riwayat lain, Ibrahim an-Nakaha’i Rahimahullah ada berkata bahawa:

كَانُوا يَقُولُونَ: إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لِلرَّجُلِ: يَا حِمَارُ، يَا كَلْبُ، يَا خِنْزِيرُ؛ قَالَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَتَرَانِي خَلَقْتُ كَلْبًا أَوْ حِمَارًا أَوْ خِنْزِيرً

Maksud: “Mereka (para tabi’in) dahulu mengatakan, jika seseorang mencela orang lain dengan perkataan ‘wahai keldai’, ‘wahai anjing’, ‘wahai babi’ maka kelak Allah Ta’ala akan bertanya kepadanya di hari kiamat: “Apakah engkau melihat Aku menciptakan (dia) sebagai anjing atau keldai atau babi?” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf)

Disebabkan itu, kita disuruh untuk bertaaruf terlebih dahulu dengan seseorang dan mengetahui panggilan apa yang disukainya sebelum kita memanggilnya dengan gelaran yang kurang disenangi.

Jika seseorang itu tidak kisah dengan panggilan yang diberikan seperti, ‘comel macam arnab’ atau ‘tinggi seperti zirafah’, maka ia adalah tidak mengapa kerana dianggap sudah reda dan tidak akan menimbulkan apa-apa isu.

Bolehkah Membalas Hinaan

Jika ingin membalas hinaan dengan tujuan dan niat untuk membela diri, maka ia adalah dibolehkan tetapi bukan dengan syarat untuk membalas dendam.

Sebagai contoh, jika kita sudah tidak tahan dengan cacian oleh seseorang yang selalu memanggil kita seperti gemuk seperti lembu, maka dibolehkan untuk membela diri.

Walau bagaimanapun, bukankah kita digalakkan untuk sabar dalam setiap urusan dan ujian yang telah dilalui. Sebagaimana firman Allah swt yang berbunyi:

قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ عَسَى اللَّـهُ أَن يَأْتِيَنِي بِهِمْ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Mafhum: “(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakana itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah Yusuf, 12:83)

Kesimpulan

Menjaga hati sesama insan dengan memanggilnya dengan ungkapan dan gelaran yang baik-baik serta disukai merupakan salah satu doa dan juga ibadah buat diri kita dan sesama manusia sama ada sesama muslim atau tidak.

Ia merupakan ‘common sense’ yang perlu dititikberatkan dan diambil perhatian agar tidak menimbulkan isu yang kurang enak didengar.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.