Ads Top

Ikuti Sunnah Rasulullah Ketika Masuk Ke Tandas

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak beliau (Nabi SAW) adalah (melaksanakan seluruh yang ada dalam) Al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasai)

Rasulullah SAW merupakan contoh tauladan yang terbaik dan wajar diikuti. Adab yang telah diajarkan oleh Baginda bukan sahaja untuk umat Islam, malah untuk semua makhluk. Ini membuktikan bahawa Islam itu sifatnya syumul.

Betapa pentingnya perihal adab dan akhlak dalam kehidupan seharian sehinggakan diberi perumpamaan sebegitu rupa.

Ada seorang alim juga yang mengajarkan kepada muridnya dengan memberikan perumpamaan, “orang yang berilmu tanpa adab ibarat seutas kalung berlian yang dipakaikan ke leher seekor babi.”

Perumpamaan ini diibaratkan jika seseorang itu mempunyai ilmu setinggi langit namun meletakkan nilai adab serendah bumi, maka ia adalah sia-sia.

Bayangkan jika seorang yang bekerjaya, memiliki ijazah sarjana, menaiki kereta besar, duit berkepuk, namun tiada adab terhadap sekeliling, keluar tandas tidak reti pam semula, membuang sampah merata-rata. Apa perasaan anda? Tidak suka, bukan?

Letaklah adab sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian kita. Hal ini kerana adab itulah yang mencerminkan sisi islam yang cukup istimewa.

Sekecil-Kecil Adab

Adab atau akhlak membawa maksud perilaku dan perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun serta kemanusiaan.

Setiap perbuatan dan perlakuan Rasulullah merupakan sunnah yang wajar diikuti oleh umat Islam kerana ia merupakan pegangan dan panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasul Ulul Azmi ini.

Sunnah Rasulullah SAw bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada perkara yang paling besar dalam kehidupan muslim, mukmin dan manusia sejagat. Hatta, adab untuk masuk ke tandas pun baginda ajarkan. Bukan calang-calang agama yang kita ikuti ini.

Tandas itu sifatnya kotor dan tempat untuk membuang benda-benda yang kotor untuk membersihkan diri kita. Ia juga diberi perumpamaan sebagai rumah syaitan kerana di situlah tempat syaitan dan segala jenis kaum kerabatnya tinggal.

Sebuah hadis Rasulullah SAW bercerita bahawa Iblis meminta tempat tinggal kepada Allah seperti halnya Allah swt memberikan tempat tinggal anak-anak Adam yang berada di bumi.

“Ya Allah, Adam dan keturunannya Engkau beri tempat tinggal di bumi, maka berilah pula aku tempat tinggal,” kata Iblis

Allah swt berfirman: “Tempat tinggalmu adalah bilik air (bilik mandi atau jamban),” (Hadis riwayat Bukhari, no. 7437)

Sebab itulah orang tua-tua selalu berpesan, apabila masuk tandas, buanglah hajat dan segeralah keluar, tidak elok berlama-lama di rumah ‘mereka’.

Justeru, hindarilah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya ketika berada di dalam tandas seperti menyanyi kerana ia merupakan tipu daya mereka yang telah berusaha untuk menghasut anak Adam supaya lalai dan tidak memperingati Allah ketika berada di dalam tandas.

Amalkan 5 Adab Ini

Tahukah anda, sebenarnya terdapat banyak adab yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk masuk ke tandas, ketika dan selepas keluar dari tandas. Namun, anda boleh mengikut lima adab ini sebagai permulaan kerana ia merupakan sunnah yang telah ditekankan oleh Baginda. Antaranya ialah:

#1 – Menjaga Aurat

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا ذَهَبَ الْمَذْهَبَ أَبْعَدَ

Mafhumnya: “Nabi SAW apabila pergi ke tempat pembuangan air, maka baginda menjauhi.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, An-Nasa’I dan Ibnu Majah)

Dalam hadis lain yang telah diriwayatkan oleh Habib bin Salih, “Apabila Rasulullah SAW memasuki tandas, baginda akan menggunakan kasut dan menutup kepalanya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Menerusi hadis di atas, jelaslah bahawa sunnah Baginda adalah menjaga aurat ketika berada di dalam tandas. Baginda akan menutup kepala ketika membuang hajat

#2 – Membaca Doa Masuk Tandas

Doa ialah pelengkap kepada setiap perbuatan yang dilakukan. Doa itu bukti kita sentiasa meletakkan pergantungan dan perlindungan hanya kepada-Nya. Hatta ingin masuk ke tandas juga, baginda mengajarkan untuk berdoa. Seperti sabda Rasulullah yang berbunyi:

قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ قَالَ : اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث.

Mafhumnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW jika hendak masuk ke tempat pembuangan air, maka baginda akan berkata (berdoa): (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari para syaitan jantan dan betina). (Hadis riwayat Jama’ah)

#3 – Masuk Tandas Kaki Kiri

Al- Imam an-Nawawi dalam kitab beliau, Syarhu Shahih Muslim dan Al-Imam Ibnu Daqiqil ‘Id serta ada beberapa ulama’ lain lagi yang menyebutkan bahawa masuklah tandas dimulai dengan kaki kiri dan keluarlah tandas dengan kaki kanan berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan daripada Aisyah RA:

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِى تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِى شَأْنِهِ كُلِّهِ

Mafhumnya: “Rasulullah SAW sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik.”

Berdasarkan kajian saintifik yang membuktikan kehebatan sunnah Rasulullah SAW bahawa sifat kaki kiri adalah menarik ke belakang manakala sifat kaki kanan adalah menolak ke hadapan. Jika masuk tandas kaki kiri, maka jika hampir tergelincir, kaki kiri akan menarik ke belakang.

Justeru, badan akan diimbang dan tidak terjatuh. Kebanyakan daripada pesakit yang mengalami koma atau strok adalah berpunca daripada jatuh di dalam bilik air.

#4 – Tidak Menghadap Kiblat

إذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا. رواه البخاري

Mafhumnya: “Jika kalian mendatangi tempat pembuangan air (untuk buang air), maka janganlah menghadap kiblat, dan jangan pula membelakanginya ketika kencing. Mahupun berak.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah sangat menekankan kedudukan kita saat membuang air. Kaabah yang dijadikan sebagai kiblat umat Islam merupakan tempat ibadah. Maka, adalah tidak sesuai jika tempat bersujud dijadikan sama arah dengan membuang air.

#5 – Membaca Doa Keluar Tandas

Selepas keluar tandas, keluarlah dengan kaki kanan dan berdoalah dengan doa yang telah diajarkan oleh Baginda seperti sabdanya, iaitu:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا خَرَجَ مِنْ الْخَلَاءِ قَالَ :” غُفْرَانَكَ”.

Mafhumnya: “Adalah Nabi SAW jika keluar dari tandas, maka baginda berdoa, Ghufroonaka (aku memohon ampunan-Mu).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)

Berusahalah semaksima mungkin untuk mengikuti walau sedikit akhlak dan sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda SAW. Carilah pahala walau di mana jua tempat hatta di rumah syaitan.

Janganlah kita menjadi hanya sekadar muslim di atas kad pengenalan sahaja tanpa mengamalkan sunnah yang telah diamalkan oleh Baginda dan umat-umat terdahulu.

Rujukan:
Prinsip Kebersihan




No comments:

Powered by Blogger.