Ads Top

Filem Warkah Runtun Emosi, Papar Kesedaran Tuntutan Perkeso

Tajuk: Warkah
Tarikh Tayangan: 15 Ogos 2019
Durasi: 1 jam 37 minit
Genre: Drama
Pengarah: Opie Zami
Pelakon: Namron, Syazwan Zulkifli, Isyariana, Mohd Wafiy, Rayyana Rayqa
Klasifikasi: U

Filem berbentuk khidmat pesanan masyarakat (public service announcement PSA) jarang-jarang sekali diketengahkan oleh produser tempatan. Bertitik tolak dari situ, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil membawakan filem Warkah bagi memupuk dan memberi kesedaran kepada penonton di luar sana.

Menerusi Warkah, Perkeso bekerjasama dengan Opy Global Pictures Sdn Bhd untuk membawakan filem Warkah yang diinspirasikan daripada kisah benar.

Dibintangi pelakon hebat seperti Namron dan Syazwan Zulkifli, filem ini turut diserikan dengan dua pelakon cilik, Wafiq Ilhan Johan dan adik Puteri Rayyana Rayqa selain kemunculan pertama Isyariana di layar perak.

Warkah mengisarkan kehidupan sebenar seorang remaja, Ikmal yang merupakan seorang pelajar cemerlang yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Ketika saat menghampiri ambang peperiksaan, ayahnya Kamil ditimpa kemalangan sehingga mengakibatkan lumpuh seluruh badan. Ikmal mula bergelut dengan cabaran kehidupan. Namun, kehadiran Cikgu Nur membawa harapan baru. Ikmal dibelenggu dengan dilema antara konflik keluarga dan masa depannya.

Secara keseluruhannya, filem ini mengajak penonton supaya sentiasa tabah dan berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik biarpun ditimpa musibah. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Paparan amalan cara kerja yang selamat dan sihat dalam apa-apa jua keadaan menerusi filem ini diharapkan dapat dipraktikkan seterusnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian para penonton.

Filem ini turut meruntun perasaan dan emosi menerusi lakonan cemerlang dua pelakon cilik iaitu Wafiy dan Rayyana Rayqa. Lakonan mereka yang mantap dan sampai ke jiwa mampu membuatkan penonton mengalir air mata melihat keikhlasan mereka menyayangi bapa yang sedang terlantar sakit.

Lakonan Namron dan Syazwan tidak perlu dipertikaikan lagi apabila mereka memberikan lakonan yang cukup berkesan sehingga kita mampu merasai hubungan adik-beradik yang dipotretkan kedua-dua aktor berkaliber itu.

Satu-satunya ‘bunga’ dalam filem ini, walaupun merupakan percubaan pertama dalam layar perak, Isyariana memberikan lakonan cukup menyakinkan sebagai Cikgu Nur yang perlu menyimpan seribu satu misteri mengenai kehadirannya dalam keluarga Kamil sekeluarga.

Penulis berasakan mesej yang dingin dijelaskan pengarah Opie Zami berjaya disampaikan dengan baik dan sebaik menonton filem ini, pastinya terdetik dalam fikiran kita untuk menyimpan dalam Perkeso demi kesejahteraan hidup keluarga dan diri sendiri.

Dari sudut sinematografi, filem ini boleh dipuji teknik cinematic-nya yang cukup redup dan sesuai dengan perkampungan nelayan. Lokasi-lokasinya juga menarik serta menggambarkan kehidupan masyarakat di kampung.

Warkah ditayangkan bermula 15 Ogos lalu di 50 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei. Jangan lupa temu janji anda untuk menonton Warkah sebagai hiburan bermanfaat anda sekeluarga minggu ini! – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.