Bagaimana Untuk Membentuk Akhirat ‘Minded’
Seseorang pernah mengungkapkan bahawa kita sebenarnya adalah makhluk spiritual (roh) yang melalui pengalaman material (yang bersifat fizikal). Diri kita mempunyai elemen fizikal yang mampu dilihat (badan) dan juga elemen rohani yang tidak mampu dilihat oleh sesiapa (roh).
Maka pengalaman-pengalaman di dunia ini mempunyai tujuan dan pengaruh buat diri. Sama ada kita membiarkan diri hanya berfikir tentang dunia atau memberi hak kepada rohani iaitu dengan memikirkan akhirat serta amalan-amalan yang mampu mengenyangkan rohani.
Tumpuan Fikiran Mengarah Kepada Akhirat (Akhirat Minded)
Para sahabat yang menyedari hakikat ini selalu bertanyakan soalan-soalan kepada Rasulullah SAW contohnya amalan terbaik yang boleh dilakukan dari sudut kekeluargaan, amalan kepada ibu bapa, anak-anak, kepada jiran tetangga termasuklah amalan yang mampu menyelamatkan mereka daripada neraka serta dapat memasukkan mereka ke dalam syurga.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad mencatatkan hadis di bawah:
قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ
Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah. Aku lalu berkata,
“Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ‘ Lalu Rasulullah SAW mendongakkan kepalanya ke langit dan menurunkannya semula, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh.
Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku: sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka.
Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka.” (HR Ahmad No. 25901, Status Hadis Sahih)
Jika diteliti, hadis di atas telah menggariskan dua komponen utama:
#1- Amalan Yang Menghubungkan Seseorang Dengan Allah
Contohnya beriman kepada Allah, mendirikan solat dan juga berpuasa pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga amalan ini adalah manifestasi keabdian seorang hamba kepada Tuhannya. Islam bukan hanya tentang iman di dalam hati sahaja, pembuktian iman juga perlu dilakukan melalui amalan fizikal.
#2- Amalan Yang Boleh Menghubungkan Seseorang Dengan Manusia Lain
Contoh yang disebutkan dalam hadis di atas adalah mengeluarkan zakat serta membina hubungan baik dengan orang lain. Rasullah SAW menyebut secara jelas prinsip sosial yang perlu diamalkan agar keharmonian hidup dapat dicapai.
“Jika kamu ingin manusia melakukan suatu kebaikan kepadamu, lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu,
jika kamu benci orang lain melakukan kebaikan kepadamu, maka janganlah melakukan keburukan itu terlebih dahulu kepada mereka”
Ringkas, tetapi akan memberi impak yang besar jika diamalkan bersungguh-sungguh. Ini kerana, seseorang yang berpegang kepada pesanan ini pasti akan memelihara percakapan, tingkah laku serta mengelak daripada bermusuh dengan orang yang akhirnya akan menatijahkan kehidupan yang aman dan tenteram.
Bagaimana Untuk ‘Bertanya’ Kepada Rasulullah SAW
Pasti kita pernah terfikir bahawa betapa beruntungnya umat terdahulu kerana apabila mereka mempunyai persoalan atau rasa ingin tahu tentang sesuatu (curiousity), mereka boleh terus bertanya kepada Rasulullah SAW.
Tetapi sebenarnya, kita juga masih mempunyai ruang dan peluang tersebut, iaitu dengan mendalami ucapan serta pesanan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis yang ada.
Sekalipun banyak hal baru yang timbul, namun jika diteliti prinsip asas kepada perkara tersebut serta mengikuti jalan ilmu yang betul, hadis yang sahih, konteks yang tepat, serta bantuan ijtihad para ulama’, maka pasti kita akan menemui jawapan yang benar.
Kesimpulan
Usah melupakan hakikat sebenar penciptaan diri yang mempunyai elemen fizikal dan juga rohani. Kita boleh hidup sebagaimana yang kita mahukan. Namun, Allah berkata bahawa jika kita mahukan dunia, maka kita hanya akan mendapat dunia sahaja. Namun di penghujungnya jika kita mahukan akhirat , maka itulah ganjaran dan pengakhiran terbaik buat kita.
No comments: