Adakah Boleh Melakukan Akikah Kepada Diri Sendiri Walaupun Telah Dewasa
Selain daripada ibadah korban yang dilakukan pada musim Aidiladha, biasanya orang ramai turut mengambil peluang melaksanakan satu lagi ibadah yang sangat dituntut iaitu akikah. Ada yang memilih untuk menyembelih seekor kambing khusus untuk anak yang dilahirkan, dan ada pula yang mengambil bahagian daging daripada binatang korban untuk dilakukan akikah. Kedua-dua cara tersebut dibolehkan.
Cuma pengurusan dagingnya seperti yang kita ketahui akan jadi sedikit berbeza. Daging korban akan terus dibahagi-bahagikan manakala bahagian untuk akikah akan dimasak dahulu sebelum dijamu atau dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.
Tempoh yang disunatkan untuk dilakukan akikah pula bermula pada hari ke-7 bayi dilahirkan, atau ke-14 atau tanggal ke-21. Kemudian, jika tidak dilaksanakan berikutan kekangan yang dihadapi, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sehingga anak itu baligh. Begitu pendapat para ulama’ Syafi’iyyah.
Hukum Melakukan Akikah Ketika Sudah Dewasa
Menurut pendapat ulama Syafi’eyyah lagi, tanggungjawab untuk melaksanakan akikah sudah gugur apabila anak sudah dewasa. Namun, seseorang yang mengetahui bahawa ibu bapanya belum mengakikahnya ketika kecil, masih mempunyai pilihan untuk mengakikah dirinya sendiri (Boleh rujuk Al-Mawsu’ah Al Fiqhiyyah, 30/279).
Walau bagaimanapun, tidak ditemui juga sebarang hadis daripada Nabi SAW tentang anjuran mengakikahi diri sendiri. Namun terdapat sesetengah pendapat yang melihat bahawa perbuatan ini tidak ada salahnya.
Pendapat Para Ulama Tentang Mengakikahi Diri Sendiri
Contohnya Ibnu Sirin dan Imam Al-Hasan Al-Bashri yang menganjurkan mengakikahi diri sendiri. Ibnu Sirin berkata,
لو أعلم أنه لم يعق عني لعققت عن نفسي
“Seandainya aku tahu bahwa aku belum diakikahi, maka aku akan mengakikahi diriku sendiri.” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam Mushonnaf, 8/235-236. Sanadnya sahih kata Syaikh Al Albani dalam As Silsilah Ash Sahihah, no. 2726).
Manakala Imam Malik pula berpandangan bahawa seseorang tidak perlu mengakikahi diri sendiri.
Imam Malik berkata, “Tidak perlu mengakikahi diri sendiri kerana hadis yang membicarakan hal tersebut dhaif” Hadis yang dimaksdukan adalah hadis di bawah:
أن النبي صلى الله عليه وسلم عق عن نفسه بعدما بعث نبيا
“Nabi SAW mengakikahi dirinya sendiri setelah ia diutus sebagai Nabi” (HR. Al Baihaqi, 9/300).
Imam Nawawi dalam Al Majmu’ (8/250) berkata, “Hadis ini adalah hadis batil”.
Kesimpulan
Di akhirnya, kita perlu kembali memahami hukum asal akikah. Ia adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan. Maka, jika ditinggalkan tanpa keuzuran, hukumnya makruh dan bukannya haram. Manakala jika ditinggalkan kerana tidak mampu mahupun terdapat halangan yang lain, maka hukumnya tidak haram mahupun makruh.
Jika seseorang masih mahu melakukan akikah buat diri sendiri walaupun telah dewasa, maka masih dibolehkan, dan jika tidak mahu sekalipun, tidak ada apa-apa masalah.
No comments: