Ads Top

Zul Ariffin Tak Berkira Promosi Naskhah Lakonannya Di Media Sosial

Pelakon Zul Ariffin, 33, berkata dia tidak pernah meletakkan sebarang harga sekiranya pihak produksi mahukan dirinya mempromosikan filem dan drama lakonannya di media sosial.

Menurut Zul, dia merasakan perkara itu perlu dilakukan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon serta menarik peminat untuk menonton nashkah yang dilakonnya.

“Saya tidak pernah berkira sekiranya pihak produksi atau stesen televisyen minta promosikan drama atau filem lakonan saya di media sosial saya sendiri.

“Saya beranggapan ia tanggungjawab saya juga sebagai pelakon utama dalam drama atau filem itu bagi menarik minta penonton.

“Bagi saya bila kita bertolak ansur, syarikat produksi dan stesen tv pun seronok nak panggil kita lagi. Saya memang tidak ada masalah untuk minta tolong promosi.

“Lagipun sekarang dah ada platform media sosial yang memudahkan kita untuk promosikan naskhah lakonan kita. Bila drama dan filem dapat perhatian, kita juga yang rasa puas hati,” kata Zul kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, semalam.

Sebelum ini aktres Sharifah Sakinah pernah menimbulkan isu mengenai kekecewaannya terhadap pihak produksi dan stesen tv yang meminta pelakon untuk mempromosikan drama atau filem lakonan mereka di media sosial secara percuma.

Sementara itu, Zul turut berkongsi perasaan terujanya untuk menantikan respon peminat terhadap filem terbaharu lakonannya, Sangkar yang bakal ditayangkan bermula 29 Ogos ini.

Menerusi filem arahan Khabir Bhatia itu, Zul diberi tanggungjawab menjayakan watak Adam, seorang peninju MMA.

“Saya cukup teruja filem ini akhirnya dapat direalisasikan. Jarang-jarang filem Malaysia ketengahkan aksi sukan ‘martial art’ sebagai subjek utama filem.

“Saya memang enjoy sepanjang buat penggambaran filem ini walaupun ada mengalami sedikit kecederaan. Biasalah buat filem aksi, kecederaan itu sedikit sebanyak tidak boleh dielakkan.

“Filem ini pun sangat seimbang daripada jalan ceritanya, ada babak aksi dan drama yang menguatkan lagi Sangkar.

“Tiada istilah saya ‘overshadow’ Remy atau sebaliknya sebab setiap karakter itu ada kekuatannya yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Selain Zul, Sangkar turut dibintangi Remy Ishak, Mira Filzah, Niezam Zaidi, Fadzlan Hazim, Ray Era dan Nik Adam Mika.

Sangkar merupakan filem terbitan bersama empat produksi iaitu Primeworks Studio, Igfinitus Gold, Astro Shaw dan MM2. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

No comments:

Powered by Blogger.