Drama Sky Castle – Pentingnya Mendalami Isi Hati Anak Anda
Sebagai ibu bapa, melihat pencapaian dan kejayaan anak-anak di peringkat yang tertinggi merupakan suatu kepuasan yang sangat menggembirakan. Ia sekali gus memberi imej yang baik dan membuktikan bahawa cara didikan yang diajar oleh ibu bapa tersebut adalah berkesan.
Itulah realiti kehidupan pada masa kini yang ditekankan melalui drama bersiri 20 episod ini. Drama SKY Castle telah menjadi suatu topik hangat untuk diulas dan dibincangkan mengenai realiti pendidikan dan peranan ibu bapa sendiri.
Drama ini mengisahkan golongan ibu bapa elit yang mempunyai impian tinggi dalam pendidikan anak-anak mereka demi memastikan kemasukan mereka ke universiti yang berprestij di Korea. SKY sendiri merupakan akronim kepada Seoul National University, Korea University dan juga Yonsei University.
Pada mereka, jika anak-anak berjaya menjadi graduan di antara salah satu universiti tersebut, itu merupakan salah satu kejayaan terbesar yang pernah dicapai. Ia sekali gus membantu menaikkan imej dan taraf ibu bapa sendiri baik dari segi karier mahupun pandangan keluarga dan kawan-kawan.
Terlalu banyak nilai dan pengajaran yang tersurat melalui drama ini. Ia secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada keluarga serta cara didikan kita sebagai ibu bapa sendiri.
#1 – Fahami Isi Hati Anak Anda
Tema utama yang dapat dilihat melalui drama ini ialah pentingnya ibu bapa memahami kehendak dan isi hati anak-anak. Apa yang mereka mahukan, apa yang tersirat di sebalik keserabutan dan masalah mereka serta yang paling penting ialah tidak memaksa dengan suatu yang bukan kehendak mereka sendiri.
Pendidikan merupakan suatu aset yang sangat penting demi menjamin masa depan mereka. Namun, jangan terlalu obses sehingga mengatasi tahap dan kemampuan anak-anak. Didiklah mereka untuk belajar dan menuntut ilmu sesuai dengan cita-cita mereka yang ingin dicapai dan bukannya digarap berdasarkan nafsu ibu bapa.
Sebagai ibu dan bapa yang melahir dan membesarkan mereka, seharusnya kita mempunyai naluri yang kuat dalam memahami mereka. Cuba utuk mendalami apa yang mereka mahukan dan bukan apa yang kita perlukan.
Kehidupan mereka adalah perjalanan yang akan dilalui oleh mereka sendiri dengan liku-liku dan ujian yang perlu ditempuh. Tanggungjawab ibu bapa adalah dengan memberi panduan dan tunjuk ajar yang sewajarnya agar mereka tidak mudah jatuh dan boleh kembali ke landasan semula jika tersasar.
Saya sering dengar dan melihat pengalaman kawan-kawan seperjuangan di universiti mahupun semasa di peringkat sekolah yang mengatakan bahawa ibu bapa mereka berkehendakkan mereka menjadi seperti ini dan seperti itu.
“Mak aku nak aku jadi doktor lah.”
“Aku ambil kursus ini sebab mak aku nak aku jadi cikgu.”
“Aku tak nak jadi anak derhaka kalau melawan dan tak tunaikan impian ayah aku.”
Dan berbagai-bagai lagi alasan serta isi hati yang diluahkan apabila ditanya mengapa memilih jurusan ini atau apa cita-cita dan impian mereka. Namun, tatkala diajukan soalan – “Lantas, apa yang akan kamu jadi pada 10 atau 20 tahun akan datang?”
Tiada jawapan. Tidak pasti dengan masa depan sendiri merupakan suatu kebimbangan dan kerisauan yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Sampai bila mereka akan berada di bawah telunjuk kita sedangkan hidup mereka adalah tanggungjawab mereka sendiri. Kepuasan dan kegembiraan yang akan dialami ialah dari hati mereka.
Pernah kan kita melihat orang yang mempunyai segalanya, baik dari segi pangkat, harta dan keluarga namun jiwanya kosong. Tidak mencapai kepuasan yang sebenar-benarnya dalam hidup itu merupakan satu penyakit yang perlu dirawat.
Apa guna duit yang berkepuk-kepuk dan keindahan yang ditayangkan di media sosial jika jiwa sendiri tidak mencapai kebahagiaan yang sebenar dan hati tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkan.
Sebenarnya, kita akan merasa lebih bahagia jika melihat orang yang kita sayang dan cinta bahagia. Mungkin hal ini pernah terjadi kepada anda – Apabila melihat anak-anak kita jatuh sakit atau demam, hati kita akan merasa resah gelisah yang amat sangat. Bimbang jika demamnya itu boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
Jika anak-anak kita mendapat tempat pertama dalam acara lumba lari, mereka akan bersorak kegembiraan sambil dikalungkan medal. Di saat itu, pasti kita juga akan mengukir senyum kerana bahagia mendengar tawanya. Soal bangga itu nombor dua. Yang paling penting anak-anak puas dengan zaman kanak-kanaknya.
Tanpa sedar itulah kebahagiaan yang sebenar. Oleh itu, berusalah menjadi orang tua yang terbaik seiring dengan zamannya. Belajar menjadi kawan, ibu, doktor, kaunselor, teman lelaki dan polis kepadanya. Kerana tanggungjawab kita adalah menunjukkan arah supaya mereka sampai ke destinasi dengan selamat.
#2 – Taburkan Kasih Sayang Kepada Ahli Keluarga
Saya tertarik dengan dialog yang diungkapkan oleh ibu Soo Han, sala satu watak penting dalam cerita tersebut iaitu – “Susahnya menjadi ibu bapa, tetapi anak-anak tidak pernah faham.”
Ya, tidak disangkal bahawa tugas sebagai orang tua adalah sangat berat. Mendidik dan menjadikan anak-anak sebagai insan yang berpendidikan dan berjaya dalam masa yang sama tanpa mengabaikan aspek agama dan akhlak bukanlah tugas yang mudah.
Kita diasak dari pelbagai sudut, iaitu perubahan zaman dan teknologi yang semakin berkembang, dimensi digital yang mengeluarkan informasi dengan mudah, pengaruh rakan sebaya dan sebagainya.
Belum lagi disebutkan kerisauan terhadap maruah anak-anak yang perlu dijaga. Jika elok perangainya, maka orang sekeliling akan memandang tinggi. Jika buruk akhlaknya, maka datanglah kecaman dan cemuhan bukan sahaja kepada dirinya, tapi ahli keluarga baik dari sebelah mentua atau keluarga sendiri.
Kerisauan inilah yang bermain di minda dan benak setiap insan yang bergelar ibu bapa. Tidak cukup dengan masalah di tempat kerja, ditambah dengan fikiran terhadap anak-anak.
Yang paling penting ialah, follow the flow, namun harus didasari ilmu dan kasih sayang. Nilai kasih sayang ialah suatu yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan.
Dalam setiap perbuatan kita sebagai ibu bapa, unsur cinta kepada ahli keluarga perlu dimasukkan kerana mereka belajar dari teladan. Dalam ketegasan pasti ada nilai sayangnya, dalam manja pasti wujud cinta dan dalam kesedihan pasti akan timbul kasih. Itulah erti keluarga yang akan dilihat sehinggakan mereka akan rasa selesa dengan keluarga sendiri.
Dalam masa yang sama ia akan memberi kesan kepada anak-anak sendiri. Mereka sendiri yang akan memahami kehendak dan kemahuan ibu bapa dan tahu untuk memilih jalan hidupnya tanpa kepentingan diri sendiri.
Anak-anak perlu sedar bahawa tidak mudah untuk menjadi ibu bapa. Oleh itu, berikan ibu dan ayah anda ruang yang secukupnya untuk belajar dan memahami isi hati anak-anak. Yang paling penting, jangan mudah memberontak dan lontarkanlah kasih sayang anda kepada ibu bapa anda dengan sebaiknya kerana itu yang boleh memberi kesempurnaan kepada jiwa mereka.
Kesimpulan
Kadang-kadang kita merasakan keputusan yang dilakukan itu sudah betul dan sempurna, namun kita tidak tahu dari sudut yang lain, mungkin ada sedikit kesilapan untuk menjadikan kita seorang insan yang belajar dari pengalaman.
Pengajaran yang ditunjukkan pada akhir cerita ini ialah, sederhana itu lebih indah. Tidak terlalu taksub dengan harta, pangkat dan taraf itu yang menjadikan kita sebagai orang yang cukup segalanya. Wallahu a’alam.
“Kesederhanaan itu sebenarnya yang memberi kebahagiaan.”
No comments: