Ads Top

Cerpen Cikgu, Alias Dan Beruk – Perlunya Bijak Mengawal Emosi Dalam Mendidik

Cerpen Cikgu, Alias dan Beruk telah mengemukakan kisah Alias yang tinggal dengan ibunya yang lumpuh dan bergantung kepada seekor beruk untuk membantunya mencari rezeki buat kelangsungan hidup mereka.

Cerpen oleh Allahyarham Azizi Haji Abdullah ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada Disember 1970 dan telah memberikan kesan yang mendalam terhadap mereka yang sedang berada dalam profesion dan etika perguruan. Karya ini juga telah dikaji dan dibincangkan di dunia akademik.

Alias diceritakan sebagai seorang yang sering ponteng sekolah dan kadang-kadang akan datang lambat ke sekolah. Apabila ditanya oleh gurunya, jawapannya hanya satu – “Beruk saya terlepas, cikgu.”

Sehingga pada suatu hari, gurunya berasa sangat marah dan geram dengan perkara yang berulang kali terjadi itu, menyebabkan amarahnya dilemparkan kepada Alias di dalam kelas.

Sejurus selepas peristiwa itu, Alias diberitakan ingin berhenti sekolah. Tiada alasan yang kukuh yang diberikan. Namun, ia sedikit sebanyak menimbulkan kekesalan dalam diri cikgu itu di atas tindakannya yang sentiasa memarahi Alias.

Apabila diselidiki, ternyata Alias merupakan seorang anak yang daif, tinggal empat kilometer dari sekolah dan hanya mempunyai beruk sebagai sumber untuk mencari rezeki.

Bijaknya seorang penulis bernama Azizi Haji Abdullah ini apabila beliau berupaya menceritakan realiti masyarakat. Hal itu membuatkan kita sedikit sebanyak dapat merasai kesusahan dan kepayahan yang selama ini dialami oleh Alias ketika ke sekolah.

Guru Yang Kita Perlu Adalah Guru Yang Mengambil Tahu

Sebagai seorang guru, adalah penting untuk tidak menghamburkan kemarahan yang ada di hadapan khalayak sehingga memalukan anak didik.

Ia sekali gus akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap emosi anak didik dan pelajar pada zaman sekarang. Mungkin ada yang mengatakan bahawa, anak-anak sekarang terlampau manja sehingga tidak boleh dididik dengan tangan.

Kita melihat kepada peredaran masa dan juga didikan yang wajar diberikan pada zaman sekarang. Usah dibandingkan dengan zaman kita melainkan untuk tujuan penambahbaikan atau rujukan.

Anak-anak zaman ini lebih disuakan dengan gajet dan teknologi semata-mata. Malah, jika dilihat kepada peningkatan masalah-masalah yang berlaku seperti penyakit mental banyak juga yang datangnya daripada kalangan mereka.

Oleh hal yang demikian, para guru terutamanya perlu mengambil pendekatan dan inisiatif yang lebih baik bersesuaian dengan keadaan yang dilalui oleh pelajar tersebut.

Isu rotan, pukul dan gunakan tangan dalam didikan, bukan tidak wajar dilaksanakan, namun perlu behati-hati. Hal ini kerana, tidak semua memahami konsep didikan yang sebenar. Malah ibu bapa sendiri akan mengambil tindakan yang serius berkenaan hal ini jika anak-anaknya diperlakukan dengan sekeras mungkin.

Walaupun kadang-kadang kita merasakan bahawa, dengan rotanlah kita membesar menjadi manusia seperti hari ini. Namun, ia tidak membuktikan bahawa ia wajar dilakukan dalam dunia yang penuh dengan fitnah dan kontroversi sekarang.

Bak kata Saidina Umar – “Didiklah anak sesuai dengan waktu dan zamannya.”

Maksud Guru Yang Diibaratkan Pelita

Guru itu tidak lain dan tidak bukan merupakan warga yang bertanggungjawab dalam urusan mendidik di sekolah, baik dari sudut pembelajaran untuk kehidupan dunia, mahupun santapan rohani. Pembentukan akhlak anak-anak adalah sangat penting terutamanya ketika mereka bergaul dengan rakan-rakan di sekolah.

Didikan di rumah itu penting, namun tidak dinafikan mereka lebih banyak menghabiskan masa di sekolah. Setiap yang berlaku di sekolah akan lebih mudah dihadam dan diikuti kerana mereka bergaul dengan ramai orang dan kebanyakannya orang dewasa.

Seorang guru itu merupakan pelita yang boleh memberikan cahaya kepada anak didiknya.

Itulah perumpamaan yang sering kita dengar sejak di bangku sekolah lagi. Pelita itu sendiri menunjukkan bahawa guru itu merupakan orang yang sanggup berkorban untuk membakar dirinya demi memberikan yang terbaik untuk anak didiknya.

Kadang-kadang, mereka dilihat lebih mengutamakan anak murid berbanding anak kandung sendiri. Hujung minggu dihabiskan dengan kelas-kelas tambahan di sekolah. Waktu persekolahan juga habis sehingga lewat petang kemudian disambung dengan kelas pada waktu malam.

Mereka juga perlu duduk di hadapan komputer dan menghadap sistem-sistem baru yang diperkenalkan oleh kerajaan demi menjamin kemaslahatan pelajar terjaga. Itulah realiti yang perlu dihadap.

Namun, disebabkan kecintaan dan tanggungjawab terhadap anak bangsa yang perlu diberikan didikan, segala penat lelah itu dianggap sebagai perkara yang biasa sahaja.

Oleh itu, sebagai golongan yang bukan dalam profesion perguruan, kita sepatutnya memberi sokongan yang padu dan jitu kepada mereka, dan bukannya bertindak dengan menghentam mereka apabila dirasakan perbuatan itu suatu kesilapan.

Guru juga manusia. Bekerja dengan dibayar gaji dan bukannya robot yang boleh melakukan apa sahaja dalam masa 24 jam tanpa henti. Sebagai ibu bapa terutamanya, kita juga punya tanggungjawab yang penuh terhadap anak-anak kita. Pendidikan yang sebenar itu bermula dari rumah.

Kesimpulan

Sebagai guru yang memainkan peranan yang sangat besar dalam mendidik pelajar, sebaiknya jangan terlalu dikawal emosi. Hal ini bimbang jika anak-anak akan terkesan dengan amarah guru sehingga meninggalkan parut yang mendalam dalam dirinya.

Ia bukanlah bermaksud tidak boleh langsung memarahi anak murid, namun perlu berpada dan marah dengan tujuan dan niat untuk mendidik, bukan untuk melepaskan geram.




No comments:

Powered by Blogger.