Ads Top

Bolehkah Menunaikan Umrah Dan Haji Dalam Keadaan Berhutang

Antara adab sebelum bermusafir adalah meminta maaf kepada orang yang pernah dilakukan kesalahan, serta menyelesaikan hutang yang ada terlebih dahulu.

Hal ini perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan ke tanah suci untuk menunaikan ibadah umrah atau haji. Untuk artikel kali ini, Tzkrh.com akan membincangkan dua persoalan seputar isu haji dan umrah.

Persoalan pertama, adakah dibolehkan berhutang untuk membiayai perjalanan haji atau umrah?

Menurut keterangan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan , dibolehkan dan diharuskan untuk berhutang daripada pihak tertentu untuk menunaikan ibadah haji. Tambahan pula hukum behutang asalnya adalah harus.

Namun hal tersebut mestilah mengikut beberapa syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:

#1- Pinjaman Kewangan Yang Dilakukan Tidak Mempunyai Unsur Riba

Pinjaman kewangan yang dilakukan tidak boleh mempunyai unsur-unsur riba. Hal ini demikian kerana, hukum riba telah jelas dinyatakan haram dan dilarang dalam Al-Quran. Allah berfirman,

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah 2:275)

#2- Mempunyai Pendapatan Yang Mencukupi Keperluan

Mestilah mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya bagi melunaskan hutang dan perbelanjaan yang diperuntukkan untuk mengerjakan ibadah haji.

Maka orang yang tidak mempunyai lebihan wang, serta pendapatannya hanya cukup untuk keperluan sehariannya, maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji telah gugur daripadanya walaupun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan atau pihak yang memberi hutang.

Al-Hattob rahimahullah menerangkan dalam kitabnya Mawāhib Al-Jalil fi Syarhi Mukhtashar Khalil,

Siapa yang tidak mampu sampai ke kota Makkah (untuk menunaikan haji atau umrah) kecuali dengan berhutang, sementara ia tidak memiliki harapan dapat melunasi hutangnya, maka ia tidak diwajibkan untuk berhaji. Kerana ia tidak mampu. Ini sudah menjadi kesepakatan para ulama.

Adapun orang yang memiliki harapan dapat melunasi hutangnya, maka ia dianggap orang yang mampu. Dengan syarat, dana harapan untuk melunasi hutang tersebut, cukup untuk menutup biaya menuju kota Makkah (Mawāhib Al-Jalil 7/116).

#3- Tujuan Untuk Menyegerakan Perintah Allah SWT

Pinjaman dibuat hanya bertujuan untuk menyegerakan perintah Allah SWT dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibn Majah (2883)

Persoalan kedua yang sedikit berbeza daripada persoalan di atas adalah seperti berikut – Adakah boleh menunaikan haji atau umrah dalam keadaan masih ada hutang yang belum dilunaskan? Manakah yang perlu didahulukan – sama ada menyelesaikan hutang atau menunaikan haji dan umrah?

Dalam keadaan kedua ini, sudah pastilah hutang yang ada perlu dilunaskan terlebih dahulu kerana ia melibatkan hak manusia lain. Sedangkan orang yang mati syahid di medan perang pun dosanya akan diampunkan kecuali berhutang.

Sebaiknya duit yang diperuntukkan untuk mengerjakan haji perlu digunakan untuk membayar hutang terlebih dahulu. Namun, jika seseorang itu tetap ingin menunaikan haji (bimbang perlu menunggu giliran yang lama), maka dia perlu meminta izin kepada orang yang memberi hutang agar pembayarannya dapat ditunda dan dia yakin dapat membayarnya apabila tiba tempoh yang ditetapkan.

Kesimpulan

Berazamlah untuk melunaskan hutang tidak kira lah ia dalam jumlah sedikit atau banyak. Ingatlah bahawa kita sedang mengambil hak dan kepunyaan orang lain. Jika kita melakukan kesalahan dengan Allah, maka kita boleh memohon ampun. Namun jika kita melakukan kesalahan kepada manusia, maka ia perlu diselesaikan dengan manusia sendiri.

Sesungguhnya ibadah haji dan umrah perlu dilakukan dalam keadaan bersih dan suci – bukan hanya dari sudut pakaian dan tempat ibadah malah termasuk urusan kewangan dan perbelanjaan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Konsultasi Syariah




No comments:

Powered by Blogger.