Teguran Itu Didikan Daripada Allah
Alangkah baiknya nasib seseorang itu sekiranya dia melakukan kesilapan, Allah menegurnya dengan perantaraan sahabat-sahabatnya mahupun orang yang berada disekelilingnya.
Alangkah buruknya nasib seseorang itu, apabila dia melakukan kesilapan atau kesalahan, Allah membiarkannya begitu sahaja.
Satu tuntutan persahabatan yang baik di dalam Islam adalah seorang sahabat itu berani menegur kesalahan sahabatnya dan memperbetulkan kelemahan sahabatnya.
Cukup rugi andai dibiarkan seorang sahabat itu melakukan kesilapan tanpa ada yang memperbetulkan di kala sahabat itu lalai dan alpa melakukan kesalahan.
Semata-mata hanya ingin menjaga perasaan sahabat tersebut lalu dipejamkan sahaja mata bila sahabat tersebut melakukan kesalahan. Sufian bin Uyaynah ada menukilkan:
“Lihatlah kepada Firaun yang bersamanya Haman, lihatlah kepada al-Hajjaj yang bersamanya Yazid bin Abi Muslim yang lebih jahat daripadanya. Lihatlah pula Sulaiman bin Abdil Malik yang bersahabat dengannya Raja’ bin Haywah lalu dia meluruskannya dan memperbetulkannya.Al-Khattabi, al-‘Uzlah, hal. 47
Cumanya sebagai seorang sahabat, ketika menegur hendaklah untuk tujuan membina bukannya menegur untuk menjatuhkan. Isu keras atau lembut sesuatu teguran itu ketika menegur, terpulanglah pada kebijaksaan sendiri.
Tidak ada mana yang betul atau mana yang salah ketika memberi teguran, sama ada perlukah menegur secara keras atau perlukah menegur secara lembut.
Sebab ia bergantung kepada keadaan atau situasi kesalahan yang dilakukan. Jika kesalahan itu berat, mungkin teguran keras perlu dilakukan.
Jika difikirkan orang yang ditegur mungkin akan terasa lalu merajuk sebab sudah diketahui akan sikapnya selama bersahabat, maka tegurlah secara lembut. Di sini pendekatan berhikmah dan bijaksana dalam menegur perlu di ambil kira. Bak kata pepatah melayu lama:
Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak
Terpulang pada cara apa yang ingin digunakan ketika menegur itu. Mudah-mudahan kita dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang baik.
Wallahualam.
No comments: