Setiap Perkara Ada Ahlinya
Baru-baru ini Mufti Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Yusof Ahmad memberi kenyataan bahawa Kementerian Pendidikan tidak wajar mendapatkan pandangan orang bukan Islam dalam usaha menambah baik silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Hal ini dikatakan kerana orang bukan Islam tidak memahami mengenai hukum dan pengetahuan agama Islam dengan baik.
Kebiasaannya, orang bukan Islam akan menghukum mengikut akal dan logik sahaja. Ia amat bercanggah dengan gaya pemikiran dan hidup umat Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah untuk mendapatkan ilmu serta mengamalkan iktikad, akidah dan amalan Islam yang lain. Beliau turut mengatakan bahawa hal ini adalah sama apabila umat Islam yang diminta untuk memberi pandangan atau mencampuri urusan ibadah agama lain.
Kita akan menghukum berdasarkan ilmu yang kita ada dan tidak melihat berdasarkan budaya dan gaya hidup yang telah mereka amalkan berdasarkan kepercayaan mereka. Penulis memahami situasi ini seperti contoh arak.
Dalam Islam, arak adalah haram, maka segala perbuatan yang melibatkan arak termasuk mereka yang hanya bekerja sebagai tukang penghantar arak dikira berdosa. Namun, dalam agama Kristian, arak adalah halal. Meminumnya dikira halal, begitu juga dengan mereka yang bekerja dalam bidang itu.
Ia merupakan dua pendapat dan kepercayaan yang berbeza berdasarkan ilmu dan agama yang dianuti. Oleh itu, apabila diminta untuk memberikan pendapat, maka masing-masing akan bercakap dan memberi hujah berdasarkan apa yang telah diamalkan dan dipercayai betul melalui pegangan mereka, sedangkan ia merupakan dua pegangan yang berbeza dan salah dalam agama masing-masing.
Oleh disebabkan itulah, kita tidak boleh meminta pendapat daripada yang bukan ahlinya. Jika urusan dan hal ehwal orang Islam, maka ia perlu diuruskan oleh orang Islam sahaja. Jika dicampuri oleh tangan-tangan lain, maka kesuciannya sudah dikira tercemar. Begitu juga dengan mereka. Walau bagaimanapun, jika kita sekadar ingin mendapatkan pandangan dan bantuan seperti dalam bentuk perbincangan mengenai solusi sesebuah masalah, maka ia adalah tidak mengapa.
Bahkan, Rasulullah SAW juga mengamalkan syura dalam kepimpinan baginda dan menerima atau menolak dengan baik setiap pendapat yang diajukan. Baginda juga pernah meminta pandangan musuh jika ingin melalukan pendamaian.
Namun, dalam hal ilmu agama dan urusan hal ehwal umat Islam seperti pendidikan, hukum hakam dan ibadah, maka adalah lebih baik jika ia diserahkan seratus-peratus kepada umat Islam. Hal ini bimbang jika berlakunya percanggahan pendapat dan kecelaruan ilmu sehingga menyebabkan boleh terpesongnya akidah.
Syeikh Atiyyah bin Muhammad Salim telah mengulas bahawa agama daripada Allah itu wajib dijaga dengan baik untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah, iaitu:
أما الْأَدْيَان: فضرورة اجتماعية فَلَا تُوجد أمة بِدُونِ تدين سَوَاء كَانَ دينهَا صَحِيحا أَو فَاسِدا فَإِذا كَانَ من عِنْد الله وَجب حفظه. لِأَن بِهِ نظام الْمُجْتَمع وارتباطه. وَعَلِيهِ أَمر الله الْمُسلمين بِقِتَال الْمُشْركين {وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ} وَقَالَ: {تُقَاتِلُونَهُمْ أَوْ يُسْلِمُونَ} والْحَدِيث: “أمرت أَن أقَاتل النَّاس حَتَّى يشْهدُوا أَن لَا إِلَه إِلَّا الله “.. إِلَى آخر الحَدِيث..
فَإِذا أسلم العَبْد وَجب الْحفاظ على دينه فشرع قتل الْمُرْتَد وتتمة لذَلِك حرم الابتداع فِي الدّين وَحرمت الزندقة وَفسق المبتدع وَقتل الزنديق.
Maksud: “Dalam beragama, maka telah menjadi keperluan kepada setiap masyarakat. Tidak ada bangsa yang tidak beragama sama ada agama itu benar atau agama yang rosak. Sedangkan agama daripada Allah itulah yang wajib dijaga kerana ia mengatur masyarakat dan mengikatnya. Oleh sebab itu, Allah telah memerintahkan kaum Muslimin untuk berperang melawan kaum musyrikin dengan firmanNya yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan sehingga menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.” (Surah Al-Anfal, 8:39)
Melalui kenyataan ini, kita dapat lihat bahawa ia menunjukkan kewajipan kita dalam mempertahankan agama sendiri serta berusaha untuk menyebarkannya.
Kesimpulan
Menurut Imam Syatibi, kita wajib menjaga agama sendiri dengan sebaik-baiknya tanpa dicemari oleh mana-mana pihak yang boleh merosakkan agama kita. Hal ini ada dijelaskan melalui pendapatnya yang berbunyi:
الأول: حفظ الدين من جانب الوجود، وذلك بالمحافظة على ما يقيم أركانه ويثبت قواعده الثاني: حفظ الدين من جانب العدم وذلك برفع الفساد الواقع أو دفع الفساد المتوقع
Maksud: “Pertama, menjaga agama (Islam) dari sudut kewujudannya, iaitu memelihara rukun-rukunnya dan memperkukuhkan hukum-hukumnya dan kedua; menjaganya daripada binasa dengan menjauhkan apa sahaja kerosakan yang boleh menghilangkannya atau menghalang kerosakan yang mendatang.” (Al-Syatibi, al-Muwafaqat II/18)
No comments: