Ads Top

Ruhainies Mahu Tetap Sedondon Walaupun Kekasih Beraya Di London

Walaupun berada di dua benua berbeza ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, pelakon Ruhainies dan kekasihnya tetap akan menggayakan persalinan raya dalam warna sedondon.

Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, dia ada meminta teman lelakinya yang dikenali sebagai Mr. E untuk pulang beraya di tanah air namun memahami sekiranya buah hatinya itu tidak dapat berbuat demikian.

“Si dia beraya di London tahun ini, saya ada juga minta dia balik beraya di sini, dapat beraya bersama dalam dua atau tiga hari pun tidak mengapa. Namun kalau dia tidak dapat beraya di sini, tak mengapa dan saya memahami.

“Walaupun kami menyambutnya berjauhan, insyaAllah kami akan gayakan pakaian raya warna sedondon dan mungkin juga ini tahun terakhir saya sambut raya berstatus solo. Harap dapat doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Mengenai lokasi sambutannya Aidilfitri pada tahun ini, Ruhainies memberitahu seperti biasa mereka sekeluarga akan beraya di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, dia mengakui sambutan Aidilfitri kini sudah semakin hilang kemeriahannya sejak kehilangan nenek kedua-dua belah ibu dan bapanya.

“Yang pastinya, tradisi mengadakan rumah terbuka selama seminggu akan tetap dijalankan dan ibu saya akan masak juadah raya dalam kuantiti yang banyak bagi menjamu tetamu yang datang.

“Biasanya ibu akan memasak menu istimewa iaitu Ayam Piru yang merupakan Ayam Belanda dan memandangkan adik-beradik saya ramai perempuan, jadi tugas kami memang membantu ibu di dapur. Secara kebiasaannya saya akan ditugaskan untuk memotong bawang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peruntukkannya untuk duit raya, adik kepada Risteena Munim ini berkata, dia sudah menyediakan bajet sebanyak RM3,000 untuk diberikan kepada anak saudara dan sepupunya yang masih kecil.

“Ada rezeki lebih, tahun ini saya sediakan bajet dalam RM3,000. Bukan sahaja diberikan kepada anak saudara dan sepupu, saya juga ada berikan kepada pak cik dan mak cik saya.

“Untuk budak-budak kecil, saya dah sediakan paket raya RM50 seorang. Budak kecil mana boleh pegang duit banyak-banyak,” selorohnya. – KopiPlanet.com

The post Ruhainies Mahu Tetap Sedondon Walaupun Kekasih Beraya Di London appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.