Muat Naik Status Meragukan, Ujang Nafi Rumah Tangga Bermasalah
Pemain dram kumpulan Exist, Saharudin Saniman atau Ujang, 46, menafikan dia mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya. Isu itu timbul selepas Ujang selalu memuat naik status meragukan mengenai status dirinya di laman sosial sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Ujang, dia menulis status-status tersebut hanyalah sekadar gurauan di antaranya dan anak-anak.
“Apa yang saya tulis ini hanya sekadar suka-suka dan gurauan semata-mata, tidak ada maksud yang tersirat. Namun saya tidak nafikan isteri turut merajuk dengan status yang ditulis.
“Secara jujurnya, saya tidak ada niat untuk menyakiti hatinya kerana niat menulis ini sekadar gurauan sahaja,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran kayu dram siri signature Promark di JS Music, Jalan Imbi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujang turut menjelaskan dia sudah memohon maaf terhadap isterinya dan berjanji tidak akan mengulangi hal sebegitu lagi.
“Saya sudah menjelaskan kepada isteri dan memohon maaf mengenai perkara ini. Hubungan kami masih seperti dulu, tiada apa pun yang berlaku. Saya rasa lepas ini saya kena tarik balik status-status tersebut,” ujar Ujang lagi.
Sementara itu, Ujang turut melahirkan perasaan terujanya apabila namanya dipilih untuk berkolaborasi dengan jenama pembuatan stik dram popular dunia, Promark.
Sepanjang 28 tahun bergelar pemain drum profesional ini merupakan momen paling manis dalam hidupnya.
“Saya teruja dengan kolaborasi ini dan sebanyak 144 stik dram yang memaparkan tanda tangan saya akan dijual pada harga RM79.90 seunit.
“Sebagai pemain dram saya memang mementingkan stik yang berkualiti agar kita dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya lagi. – KopiPlanet.com
The post Muat Naik Status Meragukan, Ujang Nafi Rumah Tangga Bermasalah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: