Mengapa Wujudnya Lima Kematian Yang Dikira Syahid
Salah satu syarat untuk mati ialah hidup. Apabila kita bernafas, bernyawa dan menjalani kehidupan di muka bumi ini, ia dikira sebagai cukup syarat untuk menghadapi kematian.
Tua atau mempunyai penyakit tidak dikira sebagai syarat untuk mati. Ada bayi yang baru dilahirkan tetapi sudah meninggal beberapa hari selepas itu, ada orang muda yang juga meninggal sebelum sempat tua, ada orang sihat yang meninggal sebelum sempatnya merasa sakit.
Kematian akan datang dalam perkara yang tidak diduga dan dijangka. Malah, kadang-kadang kita melihat ia masih jauh namun sedarlah bahawa semakin hari kita semakin hampir dengan kematian. Bak kata pepatah, apabila meningkatnya umur, maka rumah kata pergi dan kubur mula kata mari.
Ada manusia yang beruntung dan diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat dengan mengetahui masa dan tarikh kematian mereka. Sebagai contoh, banduan yang telah diberi hukuman hukum gantung atau pesakit barah yang hanya menghitung hari menunggu kematian dan sebagainya.
اللَّـهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah Az-Zumar, 39:42)
Ia merupakan suatu rahmat dan peluang besar yang telah dianugerahkan Allah hanya kepada insan terpilih untuk mereka menebus semula dosa dan kembali bertaubat kepada Allah.
Walaupun ada yang mengatakan tidak adil dan mempersoalkan mengapa orang yang banyak dosa ini masih disayangi Allah sebegitu rupa, ingatlah bahawa rahmat Allah itu Maha Luas dan boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Kita juga tidak tahu melalui amalan mana yang boleh menarik kita untuk masuk ke syurga dan melalui kebaikan mana Allah boleh melimpahkan rahmatNya kepada kita. Disebabkan itulah, Rasulullah sentiasa berpesan untuk sentiasa berbuat baik walau setinggi mana pun dosa yang telah kita lakukan.
Hatta, pada zaman Rasulullah pun pernah diceritakan kisah perempuan pelacur yang masuk syurga hanya kerana memberi minum kepada anjing dengan menggunakan kasutnya sahaja untuk mengambil air telaga. Oleh itu, kita tidak boleh memandang rendah kepada sesiapa sahaja yang kita jumpa walau banyak mana dosa yang pernah mereka lakukan.
Boleh jadi, dengan pandangan sedemikian, kita sebenarnya sedang mengheret diri sendiri ke neraka. Malah, terdapat sebuah kata-kata yang menyebut, jangan pandang rendah pada pendosa kerana mungkin terdetik di hatinya untuk bertaubat dan jangan meninggi diri dengan kebaikan yang kita buat kerana mungkin kebaikan itu hanyalah sesuatu yang meriakkan diri sendiri.
Rebutlah Husnul Khatimah
Ramai di kalangan umat Islam yang ingin merebut husnul khatimah. Malah di setiap doa kita selepas solat, biasanya kita akan selitkan dengan doa, “Ya Allah, matikanlah aku dalam husnul khatimah.”
Namun, adakah amalan kita setaraf dan layak untuk mencapai husnul khatimah? Adakah cukup dengan hanya doa sahaja tanpa berusaha untuk merebut pahala bagi mencapai keredaanNya? Atau adakah tanpa sedar kita sedang melakukan dosa yang boleh menarik diri sendiri ke arah su’ul khatimah?
Apa itu husnul khatimah dan su’ul khatimah? Para ulama’ menerangkan bahawa husnul khatimah ialah pengakhiran yang baik manakala su’ul khatimah ialah pengakhiran yang buruk.
Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh seorang hamba berkenaan husnul khatimah yang telah diceritakan melalui hadis Anas bin Malik, iaitu:
ذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
“Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana membuatnya beramal.” Baginda menjawab: “Allah akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum dia meninggal.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Terdapat beberapa tanda seseorang itu dikurniakan husnul khatimah berdasarkan dalil Al-Quran dan sunnah, iaitu:
#1 – Mengucap Dua Kalimah Syahadah
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksud: “Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah ‘Laa ilaaha illallah’, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
#2 – Ada Peluh Di Dahi
عَنِ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّه كَانَ بِخُرَاسَانَ فَعَادَ أَخًا لَهُ وَهُوَ مَرِيضٌ فَوَجَدَهُ بِالْمَوْتِ وَإِذَا هُوَ يَعْرَقُ جَبِينُهُ فَقَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَوْتُ الْمُؤْمِنِ بِعَرَقِ الْجَبِينِ
Maksud: “Dari Ibn Buraidah dari ayahnya bahawa ia berada di Khurasan, ia menjenguk saudaranya yang sakit dan nazak, di dahinya berpeluh dan ia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin meninggal dunia dengan (mengeluarkan) keringat di dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
#3 – Meninggal Pada Hari Jumaat
ما مِن مسلمٍ يموتُ يومَ الجمعةِ أو ليلةَ الجمعةِ إلَّا وقاهُ اللَّهُ فِتنةَ القبرِ
Maksud: “Seorang muslim yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat, maka Allah akan menjaganya dari fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sebenarnya banyak lagi tanda seseorang itu dikurniakan husnul khatimah oleh Allah SWT yang telah ditekankan melalui dalilNya. Oleh itu, sebagai seorang muslim, kita perlulah merebut ganjaran dan nikmat ini kerana akhirat merupakan kehidupan abadi.
Pasti kita semua tidak mahu dan takut untuk meninggal dalam keadaan yang buruk kerana akan diseksa dan diazab disebabkan dosa-dosa yang lalu, bukan?
Syahid Dikira Husnul Khatimah
Malaysia pernah digemparkan dengan berita kematian enam orang anggota bomba yang telah mati lemas dalam usaha mereka untuk menyelamatkan seorang remaja. Sejurus selepas itu, Mufti Wilayah telah mengeluarkan kenyataan bahawa kematian mereka dianggap sebagai mati syahid.
Penulis melihat rata-rata netizen yang menulis komen mengapa dan atas alasan apa ia dikira syahid? Adakah disebabkan usaha mereka untuk menyelamatkan remaja tersebut?
Sebenarnya, gelaran syahid ini telah dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih yang berbunyi:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ : المَطْعُونُ ، وَالمَبْطُونُ ، وَالغَرِيقُ ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksud: “Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid, iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Nawawi, lima jenis kematian ini dianggap sebagai syahid kerana kematian mereka tidak sama dengan kematian biasa. Dalam erti kata lain, seksaan yang mereka alami lebih sakit dari yang lain, oleh itu mereka telah diberi syahid akhirat.
Menurut pendapat yang telah dinyatakan oleh Al-Hafidz Ibnu Hajar melalui penerangan Ibnu Tin yang bermaksud:
“Semua kejadian kematian tersebut, deritanya sangat berat sehingga Allah memberi keistimewaan bagi umat Muhammad SAW dengan menjadikan semua penderitaan itu sebagai penghapus dosa dan ditambah pahala untuknya yang menyebabkan mereka sampai kepada darjat orang yang mati syahid.” (Fathul Bari)
Walau bagaimanapun, pengurusan jenazahnya masih dikira sama seperti mati biasa, iaitu perlu dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan dengan sempurna tidak seperti mereka yang syahid perang kerana menurut pendapat ulama’, syahid mereka adalah berdasarkan pahala yang Allah ganjarkan dan bukan berdasarkan peperangan.
Mereka yang sampai taraf mati syahid ini diyakini diampuni dosanya oleh Allah SWT kecuali dosa hutang. Oleh disebabkan itulah, jika arwah mempunyai hutang yang tertunggak, hendaklah dilunaskan oleh ahli keluarga atau warisnya agar rohnya tidak tergantung.
يغفر الله للشهيد كل ذنب إلا الدين
Maksud: “Allah mengampunkan semua dosa bagi mereka yang syahid kecuali hutang.” (Hadis Riwayat Ibnu Umar)
Kesimpulan
Sebagai muslim yang percaya kepada alam akhirat, maka kita perlu sentiasa menjaga diri sendiri dan ahli keluarga serta orang sekeliling daripada terjerumus ke lembah maksiat. Hal ini kerana, Allah telah menjanjikan syurga buat mereka yang mempunyai keimanan terhadap Allah.
Rujukan: Mufti Wilayah
No comments: