Menanti Kelahiran Cahaya Mata, Hanez Suraya Tidak Beraya Sakan
Pelakon Hanez Suraya menyatakan dirinya tidak terlalu teruja untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini memandangkan kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata kedua.
Menurutnya, dia sendiri tidak melakukan banyak persiapan untuk dirinya. Sebaliknya persiapan lebih ditumpukan kepada anak dan suami.
“Kalau diikutkan jadual saya dijangka bersalin pada awal Julai ini. Namun, ketika membuat pemeriksaan doktor beritahu saya mungkin bersalin lebih awal.
“Jadi, memang saya tidak beraya sakan tahun ini kerana lebih menantikan kelahiran cahaya mata kedua. Untuk persiapan anak dan suami pula saya buat lebih awal,” katanya.
Menurut Hanez, persiapan awal terpaksa dilakukan memandangkan sepanjang bulan puasa ini dia memang sibuk memberi tumpuan kepada perniagaan.
Ketika ditanya mengenai lokasi untuk sambutan Aidilfitri pula, Hanez memberitahu tahun ini merupakan giliran pulang ke kampung halamannya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Kalau diikutkan saya dan suami tiada masalah pun untuk tentukan giliran pulan ke kampung mana. Lagipun jarak antara kampung saya dan suami di Banting pun tidaklah terlalu jauh.
“Misalnya kalau hari raya pertama tu kami pulang ke Banting, pada petangnya pula kami akan pulang ke Seremban. Biasanya macam itulah rutin kami saban tahun,” ujarnya. – KopiPlanet.com.
The post Menanti Kelahiran Cahaya Mata, Hanez Suraya Tidak Beraya Sakan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: