Ads Top

Hukum Berbuka Puasa Di Tempat Keagamaan Bukan Islam

Baru-baru ini dilaporkan ada majlis berbuka puasa telah dianjurkan di Kuil Gurdwara. Ia menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak. Ada netizen yang berpandangan bahawa hal itu tidak membawa kepada sebarang masalah. Ada pula pihak yang melihat ia suatu tindakan yang dapat mengundang fitnah.

Jika difikirkan secara logik sahaja, sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa berbuka puasa di rumah ibadat penganut bukan Islam sama sekali tidak menjejaskan keimanan dan kepercayaan yang ada di hati.

Namun isu ini tidak harus dipandang hanya sekadar isu akidah dan keimanan namun mencakupi soal pelaksanaan ibadah yang disyariatkan. Islam bukan hanya tentang keyakinan yang ada di hati, tetapi turut menitik beratkan bagaimana dan di mana sesuatu ibadah tersebut dilakukan.

Jabatan Mufti Negeri Kedah pula berpendapat bahawa melaksanakan ibadat khusus untuk umat Islam di rumah ibadat bukan Islam adalah makruh yang hampir kepada haram.

Suasana rumah ibadat bukan Islam yang yang biasanya terdapat gambar patung, binatang, lambang dan simbol-simbol tertentu yang jauh tersasar daripada roh Islam dikhuatiri boleh membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah.

Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari (3225) dan Muslim (2106) dari Abu Talhah bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Para malaikat tidak akan masuk rumah yang didalamnya ada anjing dan gambar.”

Selain itu, kata-kata daripada Saidina Umar RA juga ada dinukilkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya (1/167) berbunyi:

إنا لا ندخل كنائسكم من أجل التماثيل التي فيها الصور

“Kami tidak akan masuk gereja-gereja kalian karena patung-patung yang di dalamnya terdapat rupa (patung makhluk bernyawa).”

Pihak Mufti Negeri Kedah menerangkan dengan lebih lanjut bahawa setiap ibadah dalam Islam mempunyai kaedah dan kemuliaan yang tersendiri sama ada dari sudut masa, tempat dan juga kualiti. Contohnya kelebihan solat di masjid melebihi tempat-tempat lain, dan kelebihan bulan Ramadan pula mengatasi bulan-bulan yang lain dalam Islam.

Maka, dalam hal ini, pihak Mufti Negeri berpendapat bahawa ia adalah makruh yang menghampiri kepada haram atas sebab-sebab yang telah dinyatakan.

Berbuka Puasa Di Tempat Bukan Rumah Ibadat

Namun, lain halnya jika majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh orang bukan Islam diadakan di tempat yang lebih umum (bukan di rumah ibadat mereka) contohnya di hotel atau di rumah mereka sendiri. Untuk menjawab isu ini, setidak-tidaknya ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan yang dapat membantu para pembaca untuk memahami hukum berkaitan hal ini dengan lebih jelas. Antaranya:

1. Pertama, siapakah pihak yang menjemput.

2. Kedua, hidangan yang disediakan.

3. Ketiga, pergaulan dengan orang bukan Islam dalam majlis tersebut.

Siapakah Pihak Yang Menjemput Dan Apakah Hidangan Yang Disediakan

Menurut keterangan Syeikh Abu Bakar bin Sayid Muhammad Syatha Dimyathi dalam Hasyiyah I’anatut Thalibin,

( قوله إن دعاه مسلم ) خرج به ما لو كان كافرا فلا تطلب إجابته نعم تسن إجابة ذمي

Ertinya, “(Jika diundang oleh seorang Muslim), kafir (harbi) tidak masuk kategori Muslim. Kalau diundang oleh kafir harbi, Muslim tidak wajib mendatangi undangannya. Tetapi disunahkan mendatangi undangan dzimmi (Orang bukan Islam yang hidup rukun dengan Muslim),” (Lihat Abu Bakar bin Sayid Muhammad Syatha Dimyathi, Hasyiyah I’anatut Thalibin).

Di samping itu, Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menggariskan ringkasan seperti di bawah berkaitan hukum memenuhi jemputan makan orang bukan Islam.

Harus Memenuhi Jemputan Makan

Hukum menjawab jemputan makan bukan Islam tidak sama dengan hukum menjawab jemputan orang Islam. Perbezaan ini adalah kerana ada sedikit kekhuatiran jika makanan yang disediakan tidak menepati syarat halal dan haram dalam hukum Syarak atau dicemari najis. Tetapi, jika aman daripada kekhuatiran tersebut, hukumnya kekal harus untuk memenuhi jemputan tersebut.

Sunat Memenuhi Jemputan Makan

Sunat menjawab jemputan orang bukan Islam yang bertaraf dzimmi iaitu mereka yang memiliki perjanjian aman dan pemeliharaan daripada pemerintah Muslim. Syarat ini bertepatan dengan suasana di Malaysia.

Pergaulan Dengan Orang Bukan Islam Dalam Majlis Yang Dianjurkan

Manakala dalam soal pergaulan dalam majlis, hukumnya makruh jika terdapat bahaya yang boleh mempengaruhi akidah orang Islam. Namun jika tidak ada bahaya, hukumnya harus, di samping peluang tersebut boleh digunakan untuk menyampaikan kebaikan dalam masa yang sama boleh mendekatkan mereka kepada Islam (Rujuk juga al-Mu`tamad fi al-Fiqh aznxdkkl-Syafie (4/77 & 5/98) oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili)

Ertinya, “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sungguh Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sungguh Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Mumtahanah, ayat 8-9)

Setiap hukum dan panduan yang telah digariskan dalam Islam perlu dilihat daripada pelbagai segi. Ada kelonggaran yang diberikan, dalam masa yang sama ada prinsip yang perlu dijaga. Yang paling penting, hukum bukan menyusahkan malah bertujuan membantu umat Islam supaya dapat menjalani hidup dengan lebih baik mengikut aturan Islam yang sebenar.




No comments:

Powered by Blogger.