Ads Top

Hazama Puas Pujuk Tam Selama Setahun Dapatkan Lagu Peneman

Penyanyi Hazama menjelaskan dia berhadapan situasi sukar untuk memujuk komposer, Tam Spider dalam menyakinkannya untuk memberikan lagu tersebut kepada Hazama.

Menurut Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 35, pada mulanya Tam berhasrat mahu menyanyikan sendiri lagu Peneman namun setelah mendengarnya Hazama terus tertarik untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Puas juga saya pujuk Tam untuk dia bagi lagu ini pada saya. Saya pujuk adalah dalam lebih setahun sebelum dia bersetuju memberikan lagu Peneman kepada saya.

“Saya nak menyanyikan lagu ini kerana saya suka pada penceritaan lirik ini yang kena dengan semua orang, yang mana kita perlukan peneman dalam menjalani kehidupan kita,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single Peneman di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Hazama turut mendedikasikan lagu Peneman kepada pemain bass yang pernah mengiringi persembahannya iaitu Wan Kelly Abdul Rahman yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 4 Mei lalu.

“Kelly sebelum ini merupakan antara pemuzik yang selalu mengiringi persembahan saya, Hazama & The Penglipur Lara. Saya cukup terasa dengan kehilangan dia yang cukup banyak berjasa dalam perjalanan muzik saya,” ujarnya.

Peneman yang sebelum ini pernah menjadi lagu tema bagi drama bersiri Asalkan Dia Bahagia lakonan Ayda Jebat dan Shukri Yahaya kini sudah boleh didapati menerusi aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, Joox, KKBox dan iTunes.

Single ini diedarkan Nova Music yang merupakan syarikat rakaman yang dinaungi Hazama sekarang. – KopiPlanet.com

The post Hazama Puas Pujuk Tam Selama Setahun Dapatkan Lagu Peneman appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.