Berkawan Rapat Dengan Jejaka Cina, Ezlynn Mohon Doakan Baik-Baik
Penyanyi Ezlynn Ariffin mengakui dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka Cina yang juga merupakan rakan perniagaannya.
Menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini, kali ini dia enggan terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas bercerai pada Oktober 2017.
“Kami masih berkawan rapat cuma perbezaan agama membuatkan saya tidak menaruh harapan yang tinggi dalam hal ini. Kalau boleh saya memang mahu cepat kahwin tetapi dalam hal ini banyak hati perlu dijaga.
“Lebih-lebih lagi bila melibatkan perbezaan agama. Saya juga tidak mahu memaksa si dia memeluk Islam kerana saya tetapi biarlah perasaan cintakan Islam itu mendahului segalanya. Doa yang baik-baik,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Warner Music di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ezlynn berkata dia sedikit sebanyak serik dengan kegagalan perkahwinannya yang lalu dan banyak belajar dari situ.
“Jika ditakdirkan saya berkahwin sekali lagi, saya tidak akan membenarikan suami memegang wang simpanan saya. Cukuplah apa yang berlaku dulu sehingga saya tertanya mana pergi duit hasil kerja saya selama 11 tahun.
“Yang penting sekali, saya nak mencari lelaki yang bertanggungjawab dan dapat menerima saya seadanya,” luahnya lagi.
Ezlynn sebelum ini berkahwin dengan bekas pengurusnya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011 namun bercerai enam tahun kemudian. Sepanjang hidup bersama, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Ezlynn
The post Berkawan Rapat Dengan Jejaka Cina, Ezlynn Mohon Doakan Baik-Baik appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: