5 Sifat Munafik Yang Perlu Dihindari
Munafik dari sudut bahasa adalah orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar. Dari sudut syarak pula bermaksud, seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati.
Banyak ayat di dalam al-Quran yang menggambarkan sifat orang munafik. Iaitu antaranya kisah orang munafik yang berada di zaman Rasulullah S.A.W. Antara ayatnya adalah:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.”Surah An-Nisa’ 4:61
Pada surah dan ayat yang lain;
“Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): “Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)”Surah At-Tawbah 9:64
Al-Quran turut menceritakan orang munafik di zaman Nabi S.A.W iaitu:
“Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.”Surah Muhammad 47:16
Dalam artikel ini penulis hanya menfokuskan kepada beberapa sifat munafik. Semoga kita semua terhindar daripada sifat-sifat yang tidak baik yang akan disebutkan selepas ini.
#1- Suka Bercakap Dusta
Daripada Abu Hurairah R.A., bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda;
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati”Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Suka berdusta adalah sifat orang munafik. Tidak mahu berkata benar sebaliknya banyak berbohong. Sifat ini janganlah terdapat pada diri kita. Jauhilah daripada kebiasaan suka berdusta.
Berdusta hanya merendahkan harga diri kita. Kelak orang akan tahu dengan temberang yang dibuat, maka tiada siapa yang mahu percaya lagi dengan kata-kata kita. Sungguh malang sekali kita pada ketika itu.
#2- Tidak Menepati Janji
Jangan mudah mengatakan janji jika kita tidak mampu melaksanakan janji tersebut. Berjanji kepada seseorang melibatkan soal hati dan perasaan. Bagaimana rasanya bila orang telah berjanji dengan kita tetapi dengan mudahnya janji itu dimungkiri? Semestinya kecewa.
Selain itu, dalam berjanji jangan lupa ucapkan juga kalimah Insha Allah. Hal ini kerana, kita hanya mampu merancang dan yang menentukan segalanya adalah Allah S.W.T. Walau semuanya sudah dirancang sempurna namun jika Allah tidak izinkan, ia tidak akan menjadi.
Dan janganlah mencemarkan kalimah Insha Allah untuk memungkiri janji. Ada yang sekadar ‘menyedapkan’ bicara dan janji dengan menambah kalimah itu. Tatkala berjanji tepatilah. Jika tidak mampu tunaikan janganlah ‘ringankan’ perkataan janji.
#3- Amanah Dikhianati
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”Surah Al-Anfal 8:27
Amanah yang diberi bukan satu kebanggaan tetapi satu tanggungan. Tanggungan di dunia, jawab di akhirat kelak. Itulah disebalik tanggungjawab dengan amanah yang diberi. Segalanya akan dihisab di hari akhirat.
Orang yang benar-benar beriman akan takut untuk mengkhianati amanah. Kerana dia sedar bahawa amanah itu perkara yang tidak boleh dibuat main. Dan dia harus bertanggungjawab dan menerima bukan untuk memenuhi kepentingan diri sendiri.
#4- Bermuka-Muka
Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat iaitu yang memiliki dua wajah (munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.”Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Ahmad
Sifat talam dua muka antara sifat yang perlu dihindari. Janganlah sekali-kali mempunyai sikap suka berpura-pura. Di tempat A lain, di tempat B pula lain gayanya.
Ada juga yang manis wajah di hadapan, tetapi di belakang pelbagai kata cercaan yang disimpan. Oleh itu, marilah sama-sama kita perbaiki diri agar menjadi insan yang tidak bermuka-muka. Jujurlah dengan diri sendiri.
#5- Malas Bersolat
Di dalam al-Quran ada disebutkan sifat orang munafik tersebut:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”Surah An-Nisa’ 4:142
Solat dikerjakan mestilah dibuat dengan sebaiknya. Oleh itu, sifat malas mengerjakan solat adalah sifat yang harus dihapus dalam diri kita. Ibadah solat bukan satu beban tatkala kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan kita tahu dengan apa yang kita baca dalam solat.
Latih diri supaya cintakan ibadah solat. Mula-mula mungkin terasa berat tetapi apabila sudah terbiasa, Insha Allah akan terlekat rasa manisnya solat.
Kesimpulan
Janganlah kita mengikuti sifat-sifat orang munafik yang berlaku seperti di zaman Rasulullah S.A.W. Sifat-sifat munafik ini hanya akan merugikan diri kita sendiri. Dalam beriman tetapi masih dalam keraguan.
Peganglah dan genggamlah Islam sebagai cara hidup kita. Hadirnya Islam membawa sinar kepada kehidupan. Ia datang bukan untuk menyusahkan tetapi ia hadir membawa seribu kebaikan kepada diri.
Jika terdapat sifat seperti di atas, bersama-sama kita memohon keampunan kepada Allah. Pintu taubat masih terbuka untuk kita semua.
Berubahlah sedikit demi sedikit. Mintalah kepada Allah kekuatan untuk istiqamah dalam kebaikan. Sesungguhnya Allah itu dekat dengan kita.
Waallahu a’lam.
Rujukan:
1. Sifat Munafik
2. Aku Bukan Pendosa (70 Dosa Besar Yang Wajib Dihindar)
3. Al-Quran dan Terjemahan
No comments: