Setianya Para Sahabat, Hikmah Peristiwa Israk Mikraj
Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa yang terbesar dalam sejarah Islam yang berlaku semasa proses penyampaian wahyu secara langsung. Rasulullah SAW telah diangkat ke langit dengan menaiki seekor binatang yang bernama Buraq. Peristiwa ini hanya berlaku pada satu malam sahaja, namun Rasulullah SAW dapat melalui bermacam-macam peristiwa untuk diperlihatkan sebagai pengajaran dan iktibar kepada semua manusia.
Cuba ambil seminit untuk berfikir sejenak, jika suatu hari nanti ada seseorang yang memberitahu kepada anda bahawa dia telah pergi dari Terengganu ke Sabah dengan berjalan kaki hanya mengambil masa sepanjang satu malam sahaja, apakah reaksi yang akan anda berikan? Pasti anda beranggapan bahawa dia seorang yang kurang akalnya, bukan?
Begitulah Rasulullah yang telah menceritakan peristiwa ini kepada umatnya pada waktu itu. Baginda SAW dianggap sebagai seorang yang gila kerana peristiwa tersebut dianggap takkan mungkin terjadi.
Namun, hebatnya iman para sahabat baginda dan umat yang memeluk Islam pada waktu itu kerana mereka masih berpegang teguh dengan keimanan mereka terhadap agama Allah dan mempercayai peristiwa Israk Mikraj walaupun mereka tidak melihat dan menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepala mereka sendiri.
Ini adalah bukti bahawa akidah para sahabat sangat mantap sehinggakan mereka beriman kepada Allah dan juga peristiwa yang telah dilalui oleh Baginda SAW. Abdullah bin Mas’ud ada meriwayatkan bahawa:
مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَأَسِّيًا فَلْيَتَأَسَّ بِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُمْ كَانُوْا أَبَرَّ هَذِهِ اْلأُمَّةِ قُلُوْبًا، وَأَعْمَقَهَا عِلْمًا، وَأَقَلَّهَا تَكَلُّفًا، وَأَقْوَمَهَا هَدْيًا، وَأَحْسَنَهَا حَالاً، قَوْمٌ اخْتَارَهُمُ اللهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَلإِقَامَةِ دِيْنِهِ، فَاعْرِفُوْا لَهُمْ فَضْلَهُمْ وَاتَّبِعُوْهُمْ فِي آثَارِهِمْ، فَإِنَّهُمْ كَانُوْا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ
Maksud: “Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencontohi, hendaklah mencontohi para Sahabat Rasulullah SAW, kerana sesungguhnya mereka adalah umat yang paling mulia hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit sikap menyusahkan, dan paling lurus petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya, untuk menegakkan agama-Nya, maka ketahuilah kelebihan mereka serta ikutilah jejak langkah mereka, kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (Oleh Ibnu ‘Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih, tahqiq: Abul Asybal)
Hikmah Tersembunyi
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Mafhum: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra’, 17:1)
Allah SWT telah berfirman melalui surah di atas mengenai kebenaran-Nya mengangkat Rasulullah SAW untuk naik sehingga ke langit yang ketujuh bagi menyampaikan wahyu secara langsung kepada baginda termasuklah perintah solat.
Hebatnya Para Sahabat
Abdullah Ibnu Mas’ud RA mengatakan,
إِنَّ اللهَ نَظَرَ فِي قُلُوْبِ الْعِبَادِ فَوَجَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ فَابْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ، ثُمَّ نَظَرَ فِي قُلُوْبِ الْعِبَادِ بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ، فَوَجَدَ قُلُوْبَ أَصْحَابِهِ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى دِيْنِهِ، فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ سَيِّئٌ
“Sesungguhnya Allah memperhatikan hati para hamba-Nya. Allah mendapati hati Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah hati yang paling baik, sehingga Allah memilihnya untuk diri-Nya dan mengutusnya sebagai pembawa risalah-Nya. Kemudian Allah melihat hati para hamba-Nya setelah hati Muhammad. Allah mendapati hati para sahabat beliau adalah hati yang paling baik.
Oleh karena itu, Allah menjadikan mereka sebagai para pendukung Nabi-Nya yang berperang demi membela agama-Nya. Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin (para sahabat), pasti baik di sisi Allah. Apa yang dipandang buruk oleh mereka, pasti buruk di sisi Allah.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad, I/379, no. 3600. Syaikh Ahmad Syakir mengatakan bahawa sanadnya sahih).
Allah mengutuskan seseorang dalam hidup kita, ada sebab-Nya yang tersendiri. Begitu juga dengan para sahabat yang telah diutus oleh Allah ke dalam hidup baginda untuk membantu perjuangan Baginda SAW.
Antara kemuliaan para sahabat yang dapat diambil iktibar ialah, kita dapat melihat bahawa para sahabat sentiasa membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keimanan dan aqidah para sahabat sangatlah kuat sehinggakan mereka percaya apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.
Seperti kisah Israk Mikraj, Abu Bakar AS pernah ditanyakan oleh Abu Jahal mengenai peristiwa tersebut dan beliau berkata bahawa beliau percaya kerana Rasulullah itu merupakan utusan Allah.
Kesimpulan
Melalui dunia yang penuh dengan pancaroba dan ujian ini, kita perlulah tetapkan iman dan jati diri dalam beragama. Bayangkan di zaman Rasulullah SAW yang masih ada, sudah banyak cubaan yang perlu para sahabat tempuh, apatah lagi di zaman ini, kita perlu melalui banyak ujian hidup tanpa adanya Baginda SAW di sisi.
Oleh itu, sentiasalah berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah agar hati kita kita sentiasa berada di jalan-Nya.
Rujukan: Muslim.or.id
No comments: