Ads Top

Sarat Mengandung Tidak Halang Adira Terus Aktif Menyanyi

Penyanyi Adira Suhaimi menyatakan setakat ini dia masih lagi aktif membuat persembahan nyanyian, meskipun kini sedang sarat mengandung anak ketiga.

Adira berkata, dia tidak kisah untuk menerima sebarang tawaran menyanyi selagi kesihatannya masih baik dan mampu untuk membuat persembahan.

“Sebelum ini pun ketika sedang hamil saya tetap menyanyi. Malah, saya pernah menyanyi ketika seminggu sebelum saya bersalin.

“Saya rasa rezeki itu ada memang saya tidak akan tolak selagi masih larat. Ada kalanya akan terasa letih, namun sebab dah minat saya jadi tidak kisah,” ujarnya yang kini sedang hamil enam bulan.

Adira berkata demikian ketika ditemui KopiPlanet.com semasa berlangsungnya rakaman program Melodi Raya yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Sabah itu juga menyatakan suaminya sendiri tidak mampu menghalang memandangnya dirinya seorang yang tidak boleh duduk di rumah setiap masa tanpa melakukan sebarang aktiviti.

“Kalau diikutkan suami pun risau juga, namun saya rasa apabila kita terus aktif melakukan aktiviti ia akan memudahkan saya untuk bersalin nanti,” ujar isteri kepada Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red itu.

Berkenaan dengan perkembangan karier nyanyian pula, Adira memberitahu bahawa berkemungkinan besar dia bakal menghasilkan sebuah lagu duet, namun masih merahsiakan pasangan duetnya. – KopiPlanet.com

The post Sarat Mengandung Tidak Halang Adira Terus Aktif Menyanyi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.