Ads Top

Marah Pun Dapat Pahala

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.
(surah Ali-Imran 3:134)

Pernahkah anda berada dalam situasi marah sehinggakan emosi anda tidak terkawal dan terpalit kepada orang sekeliling?

Sudah pasti pernah kerana kita semua hanya manusia biasa yang penuh dengan emosi, bukan robot yang menjalani hari-hari tanpa secalit emosi atau hanya ada satu emosi sahaja.

Oleh itu, ambil masa untuk berfikir sejenak, apa yang selalu anda lakukan apabila mengalami emosi tersebut? Bagaimana perlakuan anda semasa menangani perkara tersebut?

Adakah anda terus-menerus badmood sehingga mengganggu hari orang lain? Atau mungkin anda lepaskan kemarahan anda kepada orang lain? Atau anda terus mengingat Allah?

Sedarkah bahawa dengan marah pun anda boleh mendapat pahala?

Haa, macam mana tu? Mesti pelik bukan? Bukankah kemarahan itu merupakan salah satu api yang datangnya daripada syaitan.

Jawapannya mudah sahaja. Belajarlah mengawal kemarahan dengan tips-tips yang telah diajarkan oleh Baginda SAW dan para sahabat yang terdahulu. Bagaimana keadaan baginda ketika sedang marah. Apa yang sahabat lakukan ketika sedang berhadapan dengan situasi seperti itu.

Oleh itu, hari ini, penulis ingin merungkai beberapa tips yang boleh dilakukan untuk berhadapan dengan situasi seperti ini.

Janganlah Kamu Marah

Dalam sebuah hadis masyhur yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang berbunyi:

أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ تَغْضَبْ ‏”‏‏.‏ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ ‏”‏ لاَ تَغْضَبْ ‏

Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat lain juga, Rasulullah SAW ada bersabda:

إنَّ اللَّهَ لَمَّا قَضَى الْخَلْقَ كَتَبَ عِنْدَهُ فَوْقَ عَرْشِهِ إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي

Maksud: Sesungguhnya Allah SWT sewaktu selesai dengan urusan penciptaan-Nya telah menulis pada ‘Arasy-Nya: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemarahan-Ku.

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan sahih Muslim)

Lihatlah bagaimana Allah sendiri sangat pemaaf dan rahmah kepada hamba-hambaNya hingga dinyatakan bahawa rahmatNya mendahului kemarahanNya.

Marah itu boleh menjadikan seseorang itu berbeza dengan sikap asalnya, boleh membuatkan orang sekeliling berubah persepsi terhadap seseorang dan boleh menyebabkan hari kita berlalu dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Rasulullah SAW telah memberi nasihat agar jangan marah jika ingin hari yang kita lalui dapat berjalan dengan baik.

Namun, sebagai manusia biasa, kita pasti tidak dapat mengelakkan diri daripada perasaan marah. Mesti ada sahaja perkara yang terjadi boleh menyebabkan emosi itu hadir.

Jadi, macam mana ingin mendapatkan pahala dengan perasaan marah? Senang sahaja. Jom ikuti tips di bawah:

#1 – Membaca Taawuz

Rasulullah SAW bersabda: “Ada kalimat kalau diucapkan nescaya akan hilang kemarahan seseorang, iaitu ﺍﻋﻮﺬ ﺑﺎﻟﻠﻪ ﻣﻦ الشيطان ﺍﻟﺮﺟﻴﻢ (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk).

(Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

#2 – Mengubah Posisi Kedudukan

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksud: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring. (Hadis Riwayat Abi Daud)

#3 – Berdiam Diri

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksud: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam. (Kitab al-Adab al-Mufraq)

Lidah itu sifatnya ‘menghiris’ seperti mata pisau. Oleh itu, jagalah lidah anda supaya tidak menyakiti hati-hati orang sekeliling anda. Bahaya mengeluarkan kata-kata yang kesat jika anda sedang marah, bimbang orang akan berdendam dan anda mungkin menyesali perbuatan tersebut.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

#4 – Berwuduk

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksud: Sesunggunya kemarahan itu datang daripada syaitan dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.

(Hadis Riwayat Abi Daud)

Air juga dapat melegakan seseorang. Cuba anda lihat air yang sedang mengalir. Apa perasaan anda? Mesti rasa tenang bukan? Sebab air itu sifatnya suci dan untuk membersihkan. Oleh itu, boleh juga meminum air jika anda sedang marah untuk memberi kelegaan kepada anda.

Kesimpulan

Sebenarnya, senang sahaja untuk mendapat pahala. Celik sahaja mata dan ucapkan syukur pun boleh dapat pahala apatah lagi mencuba mengawal kemarahan. Marah ialah api, maka padamlah ia dengan wuduk dan istighfar. Usah biarkan ia marak membakar setiap kebaikan yang masih ada.




No comments:

Powered by Blogger.