Ads Top

Hukum Menghantar Makanan Kepada Muslim Yang Tidak Berpuasa

Ramadan adalah bulan yang penuh kemeriahan – meriah berpuasa, meriah beribadah di masjid, meriah berniaga di bazar Ramadan termasuklah meriah saat berbuka. Tiba sahaja waktu Asar, bazar akan mula penuh dengan orang ramai yang mencari juadah untuk berbuka. Namun, ada pula yang memilih hanya untuk memesan makanan melalui servis penghantaran makanan yang lebih mudah dan cepat.

Bercakap soal berpuasa dan berbuka, ada pihak yang bertanya, bagaimana pula jika makanan yang dihantar kepada Muslim yang tidak berpuasa. Adakah ianya dibolehkan atau adakah penghantar makanan (beragama Islam) dikira bersubahat sama?

Sebelum menjawab soalan di atas, ada beberapa perkara yang perlu difahami tentang situasi tersebut.

Pertama, biasanya seorang penghantar makanan tidak akan tahu secara jelas siapakah pelanggannya, lelaki atau perempuan, sama ada seorang Islam ataupun bukan.

Kedua, jika penghantar makanan tahu sekalipun identiti seorang pelanggan, dia sudah pasti tidak akan tahu adakah pelanggan beragama Islam itu berpuasa atau tidak. Logiknya, tidak ada bukti yang jelas menunjukkan pelanggan tidak berpuasa.

Kemungkinan seterusnya – katakanlah dia tidak berpuasa, kita tidak tahu apakah sebab di sebaliknya. Berkemungkinan seseorang itu mempunyai sebab yang tersendiri seperti sakit, uzur dan sebagainya yang membuatkan dia tidak berpuasa.

Tidak menjadi keperluan bagi seseorang untuk mencari tahu secara mendalam tentang perihal puasa orang lain, lainlah jika orang tersebut makan secara terang-terangan dan tidak menghormati orang lain yang berpuasa, barulah teguran perlu diberikan.

Bagi memahami hal ini dari pandangan hukum pula, salah satu kaedah fiqh telah digariskan oleh Imam Suyuti iaitu:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.

Kaedah di atas perlu diguna dengan teliti dan bukanlah bermakna boleh diguna secara umum kepada semua perkara. Sesetengah orang keliru dan hanya mengambil separuh daripada keterangan tersebut sahaja. Penjelasan penuhnya adalah seperti di bawah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Maka dalam hal pekerjaan ‘servis penghantaran makanan’ ini, harus bagi penghantar makanan untuk menunaikan tugas dan tanggungjawabnya menghantar makanan kepada pelanggan sekalipun pada bulan puasa.

Melainkan seseorang itu jelas tentang pekerjaannya yang berkait dengan perkara haram seperti menyediakan dan menghantar arak, maka sudah jelas hukumnya haram (hukum berubah mengikut apa yang dikerjakan). Berkenaan perihal pelanggan berpuasa atau tidak, bukanlah dalam lingkungan tanggungjawabnya.

Bagi pihak pelanggan Muslim pula, dinasihatkan supaya tidak menjadikan kemudahan servis penghantaran makanan sebagai cara yang mudah untuk melakukan hal yang dilarang iaitu tidak berpuasa. Memang tidak akan ada orang yang tahu sama ada kita berpuasa atau tidak, tetapi Allah lebih tahu apa yang dilakukan. Istimewanya amalan puasa sehingga Allah berkata bahawa amalan puasa adalah untuk Allah dan Allah sendiri yang akan membalasnya.

“…Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya..” (Petikan hadis riwayat Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)




No comments:

Powered by Blogger.