Ads Top

Dengan Kisah Kematian, Kita Belajar Untuk Lebih Menghargai Orang

“Lepas dah meninggal, baru nak cakap rapat, baik dengan arwah, nak puji lah, masa hidup, tak ada orang peduli”

Begitu lebih kurang komen-komen yang pernah kita dengar apabila ada berita tentang seseorang meninggal dunia. Tiba-tiba, muncul seseorang yang mengaku kenal setelah tidak bersua, setelah tidak bertanya khabar bertahun lamanya. Orang yang melontarkan kata-kata di atas pula mungkin orang yang rapat dengan si mati, tidak dapat mengelak rasa kesal dan kecewa – mungkin arwah tidak dilayan sebaiknya ketika masih hidup.

Kadang-kadang timbul di benak, adakah kematian dan perpisahan sahaja yang mampu membuatkan kita tersedar dan kembali menghargai orang. Dan biasanya hal itu terjadi apabila keadaan telah terlambat. Mungkin rasa ‘ditinggalkan’ atau ‘sunyi’ yang dirasai oleh diri sendiri lebih kita takuti daripada kehilangan mereka sebenarnya.

Menghargai Hal-Hal Kecil Tentang Kehidupan

Kehidupan terdiri daripada hal-hal yang besar dan kecil. Saat kita sedang mengejar apa yang kita mahukan – kerjaya, duit, keselesaan, pendidikan – saat itu juga ada hal-hal yang kita anggap kecil sedang berlaku di sekeliling kita yang mungkin kita abaikan.

Contohnya ibu bapa yang sedang melalui hari-hari tua mereka, rakan-rakan yang sentiasa bertanya khabar lewat telefon dan juga orang yang sentiasa meluangkan masa mendengar celoteh dan luahan kita.

Apabila akhirnya kita berjaya meraih apa yang dimahukan, rasa ‘euforia’ dan gembira itu sebenarnya sekejap sahaja. Hidup akan kembali tenang dan kita akan menjalani rutin yang lain pula (atau kembali kepada rutin yang lama).

Apa yang membuatkan hidup lebih istimewa dan berharga bukanlah ‘kejayaan’ yang kita dapat, tetapi apa yang telah dilalui di sepanjang jalan menuju kejayaan tersebut. Ada rakan-rakan yang sentiasa menyokong, ibu bapa yang menghulurkan bantuan kewangan, mentor yang memberi tunjuk ajar dan lain-lain.

Rasa senang dan bahagia bukan hanya muncul apabila anda berjaya, mampu berjalan-jalan ke luar negara, jatuh cinta, atau apabila mendapat hadiah yang tidak disangka-sangka dari seseorang yang istimewa. Rasa bahagia bukan hanya pada hal-hal yang terlihat ‘besar’ tetapi perkara-perkara kecil yang dirasakan ‘biasa’, membosankan dan yang dilalui setiap hari. Ia himpunan peristiwa-peristiwa yang membentuk siapa diri kita.

Contohnya ketika waktu makan bersama ahli keluarga, ketika memasak dan menghidangkan makanan untuk ahli keluarga, apabila menerima pesanan ringkas dari rakan lama yang memberitahu bahawa mereka tiba-tiba teringat pada kita, atau apa sahaja momen-momen yang mampu membuatkan kita tersenyum dalam kegawatan hidup yang dilalui.

Justeru, tidak salah untuk sesekali memuji, berterima kasih kepada mereka dan berbuat baik kepada mereka tanpa mengharapkan pembalasan.

Dari Aisyah R.anha, Nabi SAW bersabda.

إِنَّالرِّفْقَ لاَيَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَ عُ مِنْ شَيءٍ إِلاَّ شَانَهُ

“Sungguh, segala sesuatu yang dihiasi kelembutan akan nampak indah. Sebaliknya, tanpa kelembutan segala sesuatu akan nampak jelek” (HR. Muslim, no.2594 – Status hadis sahih)

Jika orang yang kita sayangi telah meninggal dunia pula bagaimana?

Kita memang tidak boleh memutar kembali masa untuk menghargai dan melayan mereka dengan lebih baik. Tetapi kita masih boleh melakukan kebaikan kepada orang di sekeliling yang masih hidup. Semoga dengan cerita-cerita tentang kematian yang kita dengar saban hari, mampu meningkatkan rasa untuk menghargai orang-orang di sekeliling dengan lebih baik.




No comments:

Powered by Blogger.