Bicara Hati Di Sebalik Tragedi
Hanya menjadi seorang Islam (Muslim) belum menjamin kejayaan menundukkan musuh. Tegasnya, hanya para muttaqin iaitu mereka yang memiliki dua kekuatan iaitu;
#1- Kekuatan rohaniah yang bersumberkan ibadah dan sifat-sifat mahmudah.
#2- Kekuatan lahiriah yang dibangunkan secara optimum mengikut batas keupayaan yang paling tinggi, barulah umat Islam akan berjaya mengatasi musuh-musuhnya.
Maksudnya, orang bertaqwa ialah mereka yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Bahkan mereka juga cemerlang dan profesional dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan kehidupannya.
Ini selaras dengan peranan manusia di muka bumi seperti mana yang tercatat dalam al-Quran mengenai hamba dan khalifah adalah untuk memakmurkan muka bumi ini dengan tamadun rohani dan material yang tinggi.
Dilihat dari sudut ini, jelas Muslim yang berfahaman sosialis, nasionalis, kapitalis dan liberalis tidak mempunyai kelayakan tersebut.
Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai kepimpinan Muslim kini masih belum meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan dalam seluruh sistem hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Dari segi kekuatan lahiriah khususnya di bidang ketenteraan, jelas kekuatan yang ada di pihak tentera musuh jauh mengatasi kita. Kita tidak boleh meminggirkan faktor ini justeru Allah sendiri telah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud:
”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang. Dengan begitu, kamu menggetarkan musuh Allah dan musuh kamu.”Surah Al-Anfal: 60
Maksudnya, orang yang bertaqwa, tidak sekali-kali mengabaikan kekuatan lahiriah, justeru itu adalah perintah Allah. Bahkan, merekalah yang paling serius mempersiapkan diri seoptimum mungkin.
Cuma nantinya apabila berhadapan dengan musuh, bantuan Allah akan menampung ’kekurangan’ lahiriah dengan syarat ketaqwaan mereka sudah mencapai piawaian yang layak dibantu.
Adalah salah sekali jika dikatakan para muttaqin hanya bersenjatakan doa dan zikir untuk menentang musuh-musuhnya. Muttaqin yakin, taqwa kekuatan primer dan lahiriah adalah kekuatan sekunder.
Malangnya, ketaqwaan dan kekuatan lahiriah kita belum mencapai tahap yang dimaksudkan. Kecanggihan teknologi dan perancangan yang strategik musuh jauh mengatasi umat Islam. Ditambah dengan kekurangan sifat taqwa, maka umat Islam mudah diratah oleh kekuatan musuh.
Kesedihan, kemarahan dan bantuan kemanusiaan sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam dunia Islam kini. Kita perlu mencungkil rahsia di sebalik takdir Tuhan dalam hal ini.
Carilah tujuan Allah melaksanakan qada dan qadar-Nya di sebalik penindasan musuh, kerana pasti ada mesej istimewa yang perlu difahami dan dihayati oleh kita. Kata bijak pandai;
Carilah tujuan di sebalik semua peristiwa, nescaya hidup kita akan sentiasa bertujuan dan perjuangan kita akan terpandu.
Apa yang berlaku ke atas kita (umat Islam), sekalipun dalam bentuk tragedi, tidak sia-sia. Peristiwa itu tentu ada tujuannya. Ada pelajaran dan ‘pendidikan’ yang Allah ingin sampaikan kepada kita.
Mari kita bandingkan pemimpin Islam hari ini dengan pemimpin-pemimpin Islam zaman silam yang pernah mengalahkan ‘kuasa besar’ pada zaman mereka. Dalam catatan sejarah terdekat, ada dua tokoh besar Islam yang telah mencatat kemenangan ke atas musuhnya.
Sultan Muhammad Al-Fateh
Pada kurun ke-14, muncul Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya membebaskan kota Konstantinopel (kini Istanbul) daripada penjajahan empayar Rom Timur.
Muhammad al-Fateh, sultan yang ke-4 dalam empayar Bani Uthmaniyah telah berjaya merealisasikan cita-citanya untuk menjadi orang yang pernah diisyaratkan oleh Nabi S.A.W. dalam hadis Baginda:
“Sesungguhnya akan dibuka kota Konstantinopel, sebaik-baik pemimpin adalah yang memimpin saat itu, dan sebaik-baik pasukan adalah pasukan perang saat itu”
Hadis yang turut dinukilkan oleh Profesor Dr. Hamka dalam bukunya Sejarah Umat Islam, telah menjadi satu dorongan yang kuat kepada pemimpin-pemimpin Islam dari pelbagai generasi untuk membebaskan kota Konstantinopel yang terkenal kukuh bentengnya itu.
Jeneral Yazid di zaman Umaiyyah pernah mencubanya, diikuti oleh Sultan Beyazid, Sultan Murad dan lain-lain kemudiannya. Namun tidak seorang pun berjaya membebaskan kota Konstantinopel, sekaligus menepati maksud hadis tersebut.
Akhirnya pada tahun 1425, Konstantinopel jatuh jua iaitu di tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Jelas, bagindalah yang layak dinobatkan sebagai sebaik-baik pemimpin, tenteranya sebagai sebaik-baik tentera dan rakyatnya sebagai sebaik-baik rakyat.
Apa istimewanya Sultan Muhammad al-Fateh? Dan tentera dan rakyat Turki pada waktu itu? Sejarah menunjukkan Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai kedua-dua kekuatan iaitu rohaniah dan lahiriah.
Baginda adalah pemimpin yang bertaqwa dan memiliki kekuatan serta kecanggihan teknologi ketenteraan yang tinggi. Baginda terkenal dengan ketekunan solat berjemaah dan tahjudnya, sama-sama bekerja dengan rakyat mengangkat batu membina kota dan memiliki ilmu ketenteraan yang tinggi.
Misalnya, Muhammad al-Fateh telah menggunakan lemak-lemak binatang yang dilumuri pada batang-batang kayu, sebagai landasan membawa kapalnya ‘berlayar’ di atas daratan untuk memintas kapal-kapal musuh yang berada di Selat Bosphorus.
Peluru meriamnya dapat merobohkan benteng teguh kota Konstantinopel. Selain itu, tenteranya terkenal jujur dan berdisiplin. Pernah mereka melalui satu kebun anggur, tanpa memetik sebijipun buah-buahnya yang sedang masak.
Begitu juga Sultan Muhammad al-Fateh pernah menyamar sebagai seorang pengemis untuk menguji kedermawan rakyat-rakyatnya terutama yang berada di sempadan Empayar Rom Timur.
Apabila baginda yakin pada kebaikan tentera dan rakyatnya, barulah baginda melancarkan misi membebaskan kota Konstantinopel.
Salehuddin Al-Ayubi
Seorang lagi pemimpin besar d Islam yang seumpamanya ialah Salehuddin al-Ayubi. Cerita ketaqwaan, kejujuran, kesantunan dan keadilannya sudah tersohor bukan sahaja dikalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam. King Richard dari England sendiri mengakui kehebatan peribadi dan ketangkasannya.
Bukan rahsia lagi yang tentera-tentera barisan hadapan Sultan Salehuddin terdiri daripada mereka yang istiqamah mengerjakan solat tahajjud, membaca Al-Quran dan berpuasa sunat.
Juga mereka mempunyai pedang yang ringan, baju besi yang ringkas dan kuda Arab yang tangkas berbanding dengan tentera-tentera Salib pimpinan Barat.
Dua pemimpin besar itu patut kita jadikan ‘timbang-tara’ untuk mengukur pemimpin-pemimpin Islam tidak keterlaluan kalau dikatakan, pemimpin Islam masa kini belum benar-benar serius untuk mencapai dua keunggulan yang dimaksudkan. Mereka belum benar-benar serius membina taqwa dan juga kekuatan lahiriah.
Malah lebih buruk lagi, ramai pemimpin Islam yang bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran tetapi berkokok berdegar-degar untuk mengalahkan musuh-musuhnya.
Ada yang tidak kenal lagi siapa lawan dan siapa kawan dalam percaturan politik antarabangsa. Kekayaan hasil bumi mengalir ke kantong musuh, dan digunakan kembali oleh Barat untuk menghancurkan Islam.
Kita tidak boleh berselindung lagi bahawa ramai umat Islam terlibat dengan pelbagai kemungkaran seperti dadah, sumbang mahram, jenayah, riba, arak dan sebagainya.
Hakikatnya, jika kita masih enggan berubah, kita sebenarnya sedang menunggu giliran untuk kalah.Kepada umat Islam yang dilanda tragedi berdarah, kita hulurkan rasa simpati.
Ujian yang menimpa mereka bukanlah satu kezaliman dari Allah. Cuma ia agak pahit dan pedih, justeru itulah tabiat dan sifat ubat yang selalu menyembuhkan.
Bagi yang berdosa, tragedi adalah ujian untuk membersihkan dosa. Kita terhukum di dunia, mudah-mudahan diampunkan di akhirat.
Bagi yang taat dan saleh, mereka terkena juga bala yang menimpa, justeru Allah ingin mengurniakan pahala serta derjat yang lebih tinggi buat mereka di dunia dan akhirat. Yang penting sekarang ialah bukan apa yang telah berlaku tetapi apa yang harus kita lakukan (respon) terhadapnya. Kata ahli yang bijaksana;
“Tuhan sering mengingatkan manusia dengan ‘melontar’ batu-batu kecil, tetapi jika peringatan itu diabaikan, Tuhan mula ‘melontar’ dengan batu-batu besar.”
Dan jangan tunggu dihempap gunung untuk kita mula berubah. Apakah perubahan yang perlu dan segera dilakukan? Tentulah bermula dari dalam ke luar (inside-out).
Maksudnya, umat Islam mesti mengubah hati, akal dan nafsunya untuk membina ketaqwaan. Untuk itu kita memerlukan ilmu, keyakinan dan latihan untuk membina sifat-sifat mulia dalam diri kita. Ibadah-ibadah khusus (berbentuk fardu Ain) perlu dihayati bukan dari segi aspek ritualnya sahaja, tetapi sebagai mekanisme pembentukan peribadi muttaqin.
Di atas tapak itu, kita perlu seiring pula membina kekuatan lahiriah (berbentuk fardu Kifayah) seperti ekonomi, sosial, ketenteraan, teknologi dan lain-lain sebagai persiapan membina kekuatan fizikal dan material.
Dengan ketaqwaan yang teguh dan kekuatan fizikal yang ampuh, pemimpin Islam dan rakyatnya harus berganding bahu untuk mempertahankan serangan-serangan Barat menerusi ‘senjata’ media, budaya, ekonomi dan akhirnya ketenteraan.
Jangan silap lagi dalam memahami ‘bicara’ Allah di sebalik tragedi. Kita tidak boleh lagi terus berangan-angan menantikan ‘keajaiban’ dari langit sedangkan Allah memerintahkan kita supaya ‘berpijak’ dan berusaha di atas muka bumi.
The long breath war (perang nafas panjang), yakni membina ketaqwaan, ekonomi, teknologi harus dimulakan dengan lebih serius walaupun terpaksa memakan masa berpuluh-puluh atau beratus-ratus tahun.
Kita memerlukan kebijaksanan dan keberanian ‘nafas baru’ untuk berdepan dengan musuh Islam dan sekutunya.
Namun perang senjata bukan ‘medan’ sebenar untuk mendaulatkan Islam pada zaman mutakhir ini. Umat Islam tidak akan jatuh ‘ke lubang biawak’ dua kali, begitu lebih kurang maksud sabda nabi.
Maka sudah sewajar, ada pemimpin Islam yang dengan ketaqwaan dan kekuatan lahiriahnya mencipta satu medan baru bagi mengatasi Amerika dan konco-konconya.
Ingat, bagaimana bangsa Mongol yang begitu brutal akhirnya tunduk kepada kemurnian Islam? Bukan dengan senjata tetapi dengan operasi pembersihan hati dan ‘perang pemikiran’. Perangi kejahilan dan kedegilan manusia ini dengan senjata kasih sayang!
Bilakah akan muncul pemimpin Islam yang bakal memiliki ketaqwaan seperti Muhammad al-Fateh dan Salehuddin al-Ayubi tetapi kekuatan lahiriahnya bukan pada senjata dan gelanggangnya bukan medan peperangan?
Ini mengingatkan saya kepada satu kisah yang diriwayat melalui sebuah hadis. Pernah seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah;
“Bila berlaku Kiamat?”
Rasulullah S.A.W menyoal kembali;
“Apa yang kamu telah sediakan untuk menghadapinya?”
Ya, sesungguhnya, persoalan ini juga perlu dijawab. Bukan dengan penantian, tetapi dengan tindakan.
Kita perlu membina taqwa (iman, kerohanian, zikir, munajat) dan quwwah (kekuatan ilmu, ekonomi dan teknologi). Inilah mungkin maksud ‘bicara’ Allah melalui tragedi yang menimpa umat Islam kini. Ya, kita semua harus bangun;
#1- Bangun untuk benar-benar solat.
#2- Bangun untuk tinggalkan maksiat. Musuh bergerak cepat, kerana kita bergerak lambat!
No comments: